Oleh Chia Wei Loon
Zaman yang mana seseorang itu hilang diri dengan pakaian tidur, kini muncul semula, dalam dada akhbar yang disaratkan kepiluan.
Pada Julai tahun 1981, aktivis pergerakan demokrasi di Taiwan, Chen Wen-Chen (lelaki dalam gambar kanan) yang memperolehi gelaran doktor falsafahnya di Amerika Syarikat, menghadiri temujanji di ibu pejabat polis. Pada keesokannya, mayatnya terlantar di kampus Univerisiti Taiwan Nasional. Maka dengan itu, satu keluarga, isteri dan anak kehilangan seorang yang tersayang.
Inilah insiden Chen Wen-Chen yang menggemparkan. Ia seolah-olah nasib yang ditakdirkan pada zaman itu. Mereka yang cintakan tanahair, malah menterjemahkan perasaannya kepada tindakan, mesti dihukum pihak berkuasa, malah mengundang malapetaka yang menggadaikan nyawa.
Sehingga kini, insiden Chen Wen-Chen belum diketahui kebenarannya. Sepanjang 28 tahun ini, aktiviti kenangan dalam masyarakat Taiwan tidak pernah berakhir. Tuntutan untuk mencari kebenaran, sehingga terjananya proses keadilan transisional (Transitional Justice).
Malah, usaha mendukung keperihatinan terhadap hak asasi manusia, toleransi terhadap etnik, keinsafan terhadap budaya, menjadi lambang setiap langkah menuju ke arah demokrasi. Ia turut memperlihatkan kesabaran dan ketabahan yang perlu pada sesebuah masyarakat dalam perjalanan ke arah menegakkan keadilan. Isteri dan keluarganya Chen tetap berada bersama perjuangan.
Langkah peragut nyawa kelihatan jauh, ada kalanya menghampiri secara mengejut. Ia meninggalkan ketakutan dan kemarahan dalam ingatan khalayak ramai. Takut apabila melihat rakan dimangsakan tanpa sebab, marah kerana mendapati semua peragut nyawa adalah angkara manusia, merupakan kesan yang ditinggalkan oleh kegelapan yang ada pada kemanusiaan itu sendiri.
Dalam zaman white terror, demi keperluan kuasa daulah, semua tindakan yang terpesong dari kemanusiaan diwajarkan. Aktivis yang dipukul mati pasukan keselamatan, dan banyak lagi kes yang tergantung, kes silap... segala-gala ini terlaksana dengan menyalahgunakan undang-undang, dengan "kepentingan negara" sebagai alasannya. Atas nama soal-siasat, nyawa diumpamakan lalang.
Mencari kebenaran dalam sejarah
Pada ketika masyarakat rancak membincangkan apa sebenarnya yang berlaku dalam kejadian Teoh Beng Hock, kita sebenarnya juga perlu memanggil siasatan untuk semua "kebenaran" dalam zaman pemerintahan Barisan Nasional, meneliti dan mengembalikan apa yang benar dalam sejarah. Kesengsaraan mangsa perlu dibelai satu demi satu, tanggungjawab pemangsa, perlu dipersoal satu demi satu.
Hanya apabila pemangsa yang tangannya berdarah dihukum dengan undang-undang, barulah sesebuah masyarakat itu memperolehi keadilan. Seperti apa yang dihujahkan penerima hadiah nobel dalam keamanan, penulis Yahudi, Elie Wiesel, siasatan yang tidak menemui kebenaran, atau dilupai secara ansur-ansur, bermakna membunuh mangsa untuk kali yang kedua. Kita tidak mampu menghalang malapetaka pada kali pertama ia berlaku, namun tidak boleh membenarkannya berlaku untuk kali yang kedua.
Pada saat kini, perbincangan kes kematian Teoh membawa makna yang besar. Ia bermakna kita perlu kembali ke titik asal, melihat kes maut itu sebagai kes maut. Dengan kata lain, negara kita yang mengalami tsunami politik pada 8 Mac 2008, dengan kebangkitan kuasa pembangkang yang diiktiraf, kita perlu membedah setiap kenyataan yang diputar-belitkan ke atas kes ini.
Berbalik ke tempat kejadian, rujuk pada bukti, mengambil berat tentang beberapa persoalan asas, apa puncanya kematian Teoh? Seandainya Teoh dibunuh, bila dan bagaimana? Yang lebih penting, kita hendak bertanya, apakah motif pembunuhan?
Sekiranya persoalan ini tidak dibaca dalam konteks masyarakat kita, maka sesiapa yang tahu serba sedikit untuk menalar bagaimana pembunuhan berlaku, semestinya tercengang. Bukankah semua kes kematian semestinya dimulakan dengan soalan tersebut?
Sekiranya persoalan ini tidak dibaca dalam konteks masyarakat kita, maka sesiapa yang tahu serba sedikit untuk menalar bagaimana pembunuhan berlaku, semestinya tercengang. Bukankah semua kes kematian semestinya dimulakan dengan soalan tersebut?
Namun, sekali imbas, sebelum soalan-soalan asas ini terjawab, pegawai kita mendakwa tidak tahu ada atau tidak CCTV, atau mendakwa Teoh bunuh diri..., langsung mengabaikan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh pihak yang berkenaan. Dibawa perginya seorang yang hidup, dipulangkannya satu mayat yang dingin. Mangsa dan keluarganya dimangsakan untuk kali kedua.
Malah dalam kes ini, banyak "andaian" diperkukuh, dan tidak membenarkan permintaan keluarga untuk "mempersoal", secara terang-terang menghina daya logik sesebuah masyarakat untuk berfikir dan menalar.
Dari tangisan ke arah tuntutan keadilan
Berbalik kepada persoalan asas, kes kematian Teoh mula memperlihatkan perubahannya, dari tangisan dalam sejarah yang terpendam, menuju ke arah tuntutan keadilan.
Sepanjang masa ini, pembangkang dengan sumber yang serba kurang, bertembung dalam sistem yang autokrasi, sering menjadikan insiden keganasan sebagai sasaran, ketika mengerah tenaga menentang musuh politik. Dalam suasana sedemikian, wacana politik Malaysia di luar arus perdana, disarat penuh dengan kes yang tidak diketahui kebenarannya. Kes demi kes dihubungkaitkan, menjadi simbol autokratik yang utama.
Penindasan politik
Senang kalau mengenang yang sudah meninggal, susah jika menatapi yang masih hidup. Terdapat dua kelemahan sekiranya kita membincang kes politik dengan hujah seperti di atas.
Yang pertamanya, pembunuhan dan kurungan adalah penindasan politik yang paling ekstrem. Apabila keabsahan pemerintah semakin terhakis, maka muslihat yang kasar digunakan. Namun, menggunakan pembunuhan dan kurungan untuk mengukuhkan kuasa adalah salah. Tetapi, sebaliknya, seandainya tiada pembunuhan dan kurungan, ia tidak bermakna penindasan politik tidak berlaku. Penindasan politik tidak semestinya melalui pendekatan keganasan.
Yang keduanya, semua kes penindasan politik ini telah diseragamkan, dibincangkan "ketidakwarasan secara kolektif" dalam Kementerian Dalam Negeri tanpa meneliti setiap kes.
Seandainya fungsi sejarah adalah untuk dihayati dan dijadikan sebagai pengajaran, catatannya semestinya terperinci, dan bukan membuat kesimpulan yang penuh emosi. Hanya apabila proses setiap kes keganasan diteliti, barulah kita dapat memahami ideologi, perintah dan arahan dalam birokrat, bagaimana kuasa yang tidak dipantau mengakibatkan malapetaka berlaku. Hanya dengan ini, pengulangan sejarah dapat dihalang.
Di antara peperangan dengan keamanan, diktator dengan demokrasi, penyalahgunaan kuasa dengan pentadbiran undang-undang, semua negara terpaksa berdepan dengan sejarah yang berdarah, harapan pada masa depan, dan melarang agar aniaya dahulu berulang. Dalam jangka setengah abab ini, ramai yang dijadikan mangsa dalam pemerintahan BN. Kepiluan ini merupakan emosi yang tidak dapat dielakkan pada ketika negara kita dalam proses peralihan.
Usaha menegakkan keadilan perlu diperluaskan ke setiap pelusuk. Membangun semula maruah manusia yang dihina oleh sistem yang autokrasi, adalah asas yang perlu dalam peringkat peralihan ke masyarakat demokrasi. Apabila kita membincangkan keadilan transisional, kita perlu membebaskan diri dari kurungan sejarah, barulah objektiviti tercapai.
Kematian Teoh Beng Hock dan keganasan terhadap mereka yang cuba menegakkan keadilan untuk Teoh, menjadikan masyarakat antarabangsa lebih prihatin terhadap tindak-tanduk Barisan Nasional. Ia juga memaparkan wajah sengsara dalam perjuangan demokrasi.
Ini tanda musnahnya BN, membuktikan bahawa pengambil-alihan Najib sekadar warisan kuasa, gagal memperbetulkan penyelewengan dalam parti-negara. Luka yang terguris dalam zaman autokrasi, belum dirawat. Rakyat masih belum terbebas dari ketakutan. Negara yang merahmatkan bahagia belum lagi muncul, seperti 1Malaysia yang dilakarkan Najib, bukan sahaja telah mati, malah belum lahir.
*Chia Wei Loon kini bekerja di Badan Bukan Kerajaan (NGO), pernah berkhidmat dalam industri media. Artikel ini diterjemah dan disunting Lim Hong Siang.