14 Jul 2009

Keterbukaan Najib sekadar kosmetik

Aktivis Sosial :
Keterbukaan Najib sekadar kosmetik

Oleh Wong Shu Qi

"Segala-galanya kekal seperti dahulu, kita tidak nampak perubahan yang ketara."

Demikianlah komentar yang dilontarkan terhadap Najib oleh aktivis sosial dan penganalisis politik, ketika mengulas dasar media dalam pentadbiran 100 hari pertama Perdana Menteri yang ke-6 ini.

Dengan sebulat suara, mereka menyimpulkan sikap "keterbukaan" Najib sekadar langkah "diplomasi", bahkan tiada pembinaan yang konkrit dan realistik dalam pembukaan ruang kebebasan media dan pembangunan masyarakat sivil.

Barisan Nasional mula memandang berat alam siber setelah ditimpa kekalahan dalam pilihan raya umum ke-12. Malah, Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan Rais Yatim, dan timbalannya Heng Seai Kie telah mengadakan jamuan bersama blogger dari aliran bahasa yang berlainan.

Dibelenggu fikiran lapuk

Ketika menjawab soalan Senator Shamsudin Mehat pada 7 Julai tahun ini , Rais Yatim mengakui perjumpaan dan dialog yang diadakan secara berkala dengan penulis blog itu bertujuan mengingatkan mereka supaya bertindak selari dengan dasar kerajaan terutama untuk menjaga keselamatan negara dan keharmonian antara kaum.

Penganalisis politik, Tang Ah Chai (gambar kanan)berkongsi pemerhatian beliau dengan Merdeka Review. Dari kandungan rancangan yang disiarkan, beliau mendapati dua saluran televisyen awam, dan saluran TV3 di bawah Media Prima, memperlihatkan kesan-kesan undur.

"Apa yang dilakukan kementerian buat sekarang, kadang-kala memberi tanggapan yang salah, seolah-olah kita perlu kembali ke zaman 1960-an atau 1970-an. Dengan andaian sekiranya televisyen memperbanyakkan siaran lagu patriotik, maka kita akan menjadi lebih patriotik."

Untuk menyahut laungan slogan "1Malaysia", Kementerian Penerangan telah menerbitkan satu lagu patriotik. Malah, lampu neon yang berkelipan di bangunan Angkasapuri telah berubah bentuk, dari Wawasan 2020 kepada 1Malaysia.

Ketua Pengarang Siasah, Zulkifli Sulong (gambar kiri) dan Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim juga menganggap setelah Najib berkuasa, kandungan stesen radio mahupun televisyen semakin "Barisan Nasional".

Zulkifli Sulong ketika ditemuramah Merdeka Review berkata, dari TV1 ke TV3, kandungan rancangan semakin teruk. "Musuh politik BN digambarkan sebagai perusuh. Ini media BN sebulat-bulatnya, ini bukan media kerajaan," katanya.

Syed Ibrahim pula mendakwa media tersebut berat sebelah ketika membuat liputan, malah pendirian media lebih memihak kepada BN, seolah-olah "media BN".


Cuma Tukar "Muka"

Najib dalam ucapan beliau selepas mengangkat sumpah sebagai PM ke-6, mengumumkan pembebasan 13 orang tahanan ISA, bahkan berjanji untuk mengkaji semula ISA.

Walaupun Najib cuba menyakinkan khalayak ramai bahawa beliau mungkin membawa perubahan selepas menyandang jawatan PM, namun secara terus-terang Syed Ibrahim berkata, "Hakikatnya, tiada sebarang perubahan. Media masih dikawal oleh mereka."

Aktivis sosial, Hishamudin Rais (gambar kanan) pula menjurus ke arah soal pokok, iaitu korporat media. "Tiada perubahan langsung, hanya tukar gerombolan yang baru, digantikan dengan orang dari puak Najib untuk mengawal media secara ketat."

Dalam tempoh 100 hari pentadbiran Najib, bekas Ketua Editor Utusan Malaysia, Johan Jaafar masuk ke gelanggang semula untuk menerajui Media Prima Berhad. Malah, bekas editor New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Ahmad Abd Talib kini menjawat Pengarah Eksekutif, Berita dan Operasi Editorial Media Prima Bhd, merangkap Pengarah Editorial The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd, menggantikan Kamarulzaman Zainal dan Hishammuddin Aun di era Abdullah Badawi.

"Ini cerita lapuk, Abdullah Badawi juga pernah berbuat demikian. Tiada perubahan langsung," kata Hishamudin Rais.

Untuk bekas tahanan ISA ini, walaupun tidak menampakkan sesuatu yang baru dalam 100 hari pertama pentadbiran Najib, beliau tetap memberi penilaian "lulus" untuk "diplomasi" Najib. Hishamudin Rais menganggap Najib melontar terlalu banyak slogan dan publisiti, namun tiada tindakan yang realistik.

Bukan hanya ekonomi

Tang Ah Chai juga Ketua Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor. Beliau mendapati Najib menghadapi kesukaran untuk memperbaiki imej sendiri. "Sebagai seorang pemimpin yang tidak pernah ditaruh harapan oleh rakyatnya, apabila Najib turun ke padang untuk membuat tinjauan mesra, kesannya tidak memberangsangkan."

"Beliau cuba merendah diri dalam gerak-gerinya, menampilkan imej yang mesra rakyat, namun kesannya tidak jelas," ulasnya. Malah, Tang menganggap rombongan ke China yang diketuai Najib juga tidak memperlihatkan kesan yang jelas.

Apa yang terpampang di depan mata adalah, Najib memberi keutamaan dalam bidang ekonomi, dan memberi tumpuan untuk menghadapi krisis ekonomi global. Langkah ini dilihat sama seperti Perdana Menteri ke-4, Mahathir Mohamad yang mengabaikan pembangunan bidang lain dengan agenda ekonomi.

Maka, Syed Ibrahim (gambar kanan) mengingatkan, PM tidak seharusnya hanya tertumpu kepada ekonomi. "Sistem kehakiman, sistem demokrasi juga masalah yang harus diselesaikan," tekannya.

Sebagai Pengerusi GMI, Syed Ibrahim menganggap apa yang dilakukan oleh Najib untuk memperluaskan hak asasi rakyat masih tidak mencukupi. "Beliau sudah mula membuat sesuatu, tetapi tidak cukup. Beliau menyebut nak mengkaji semula ISA, tetapi setelah 100 hari, kita tidak nampak rancangan yang konkrit."

Syed Ibrahim melihat sikap Najib yang nampaknya "terbuka" itu sebagai "sandiwara" untuk meraih undi. Malah, walau mengakui langkah seperti memansuhkan kuota ekuiti bumiputera memanfaatkan rakyat, Zulkifli Sulong tetap mengingatkan langkah ini bertujuan untuk memancing undi Cina dan India.

Syed Ibrahim mahu Najib membuktikan, sekiranya beliau ikhlas untuk melakukan reformasi, beliau perlu membubarkan DUN Perak, memberi laluan kepada rakyat Perak untuk menyelesaikan krisis Perak dengan prinsip satu orang satu undi.

Malah, Syed Ibrahim menuntut Najib membebaskan sistem kehakiman dari campur tangan kuasa politik, mengkaji dan mansuhkan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960), AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971), PPPA (Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 ) dan akta-akta lain yang mencengkam.

Lebih abstrak daripada Wawasan 2020

Selain itu, gagasan "1Malaysia"juga mengundang sindiran. Tang Ah Chai mempersoalkan bagaimana Koh Tsu Koon, sebagai Menteri Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam Hal-Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi, dapat menilai sejauh manakah slogan ini berjaya.

"Bagaimana Koh menilai, perpaduan rakyat akan bertambah kukuh pada tahun depan, berbanding tahun ini?"

Berbanding gagasan Wawasan 2020, Tang Ah Chai merasakan "1Malaysia" memerlukan matlamat yang jelas, agar dapat dijadikan kayu ukur ketika menilai. "Jikalau tidak, ini hanya slogan kosong yang sukar diuji."

Hishamudin Rais juga menganggap konsep 1Malaysia lebih abstrak daripada Wawasan 2020, tanpa kandungan, malah tiada struktur langsung. Beliau menambah, "100 hari bukannya apa. Apabila ekonomi mula merudum sehingga mengganggu hidup setiap rakyat, baru bermulanya cabaran Najib."


*Analisa ini ditulis Wong Shu Qi, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang. Sila rujuk teks asal.