31 Jul 2009

Kami sudah berpindah!

Merdekareview bm telah berpindah!

Merdekareview BM telah berpindah ke www.merdekareview.com/bm

Terima kasih!

Editor

29 Jul 2009

Testimoni Anak Seorang Tahanan ISA

Testimoni Anak Seorang Tahanan ISA

Oleh Suhaib Mat Sah

Nama saya Suhaib. Saya berusia 16 tahun. Ketika bapa saya, Mat Sah Satray ditahan di bawah ISA pada 18 April tahun 2002, saya berusia 8 tahun 5 bulan. Saya masih terlalu kecil dan tidak dapat mengingati semua peristiwa. Ketika itu saya sedang tidur, tetapi terjaga apabila beberapa orang polis masuk ke bilik tidur saya dan dengan kasar menyelak cadar, mengangkat hujung tilam, menarik rak baju, membuka serta menutup almari pakaian hingga mengeluarkan bunyi kuat yang membuatkan saya terjaga. Umi, panggilan saya pada emak, mendukung saya dan diletakkan di sebelah abah yang ketika itu duduk di sofa di ruang tamu. Aku menoleh ke arah Abah dan nampak kedua-dua tangannya bergari. Aku menangis kerana terlalu takut melihat gari itu. Gambaran gari yang melengkar di kedua-dua belah tangan Abah amat sukar untuk hilang dari minda saya......

Agak lama juga polis menggeledah rumah kami. Seorang wanita sibuk menyoal Abah dan Umi bergilir-gilir dan kemudian menulis sesuatu di atas kertas. Manakala lima orang lelaki yang lain, sibuk membuka rak buku Abah, mengeluarkan Quran dan buku-buku agama serta menyelak-nyelak setiap muka surat dengan pantas. Saya tidak tahu, apa yang mereka cari. Tidak lama selepas itu, mereka membawa Abah masuk ke dalam van putih. Umi dukung saya dan kami berdua sempat melambai tangan kepada Abah. Sebaik sahaja van putih hilang dari pandangan, aku menangis lagi sambil memanggil-manggil Abah. Saya baring di riba Umi hingga tertidur...

Saya bagaikan melalui satu mimpi buruk di mana Abah dilarikan dari rumah oleh sekumpulan lelaki. Bila terjaga dari tidur, saya mencari Abah di semua bilik termasuk bilik air tetapi tidak ditemui. Saya mendapatkan Umi yang sedang membancuh minuman untuk bertanya tentang Abah, tetapi saya nampak Umi juga sedang menangis....

Saya asyik teringatkan Abah. Dari pagi saya tunggu Abah, tengah hari, hinggalah cuaca gelap dan masuk waktu maghrib, Abah masih juga belum pulang. Saya mula menangis kerana rindukan Abah... Ketika itu telefon rumah berdering, saya dan Umi berlari ke arah telefon tetapi apabila gagang diangkat, tiada siapa yang bercakap di hujung talian....

7 tahun telah berlalu

Peristiwa buruk itu telah berlalu tujuh tahun yang lalu, namun ianya sukar untuk hilang semuanya dari fikiran saya. Tujuh tahun lalu Abah saya dibawa pergi, hingga kini beliau tidak pernah balik ke rumah kami.

Pada tahun 2009 ini, maknanya hampir separuh usia saya membesar tanpa belaian kasih sayang, bimbingan dan sentuhan Abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan barang-barang peribadinya seperti jam tangan, dompet, baju, seluar, kain pelikat dan buku-buku beliau. Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kirimannya. Jika rasa terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju, seluar dan kain pelikat beliau. Saya letak gambar Abah di dompet duit bersebelahan dengan gambar saya.

Umi akan memastikan kami melawat Abah sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Namun waktu lawatan selama 45 minit itu jauh dari mencukupi untuk Abah menghilangkan rindu, memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta melepaskan kasih sayangnya kepada saya.

Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika lawatan pertama ke Kem pada 24 Jun 2002. Setelah hampir tiga minggu tidak melihat Abah sejak pertemuan terakhir di Bukit Aman, saya rasa terlalu rindu kepadanya. Kami berbual selama 45 minit dan di akhir pertemuan, Abah dibenarkan keluar dari bilik kurungan untuk bersalaman dengan saya dan Umi. Abah mengangkat, mendukung dan mencium saya berkali-kali. Saya terlalu rindukan Abah dan apabila warden bertugas menyuruh Abah masuk kembali ke bilik kurungan, saya menangis dan tidak mahu melepaskan pegangan pada lengan Abah...

Bagaikan binatang di zoo

Sejak hari pertama penahanan Abah hinggalah di saat ini, saya tidak pernah berpeluang mengerjakan solat dan membaca quran bersama beliau. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama. Namun, satu perkara yang lebih memedihkan bermula pada bulan April 2005, kami keluarga tahanan hanya dibenarkan bertemu menggunakan interkom di sebalik dinding kaca lutsinar. Bila sahaja melihat Abah di sebalik cermin kaca, hati saya terasa hancur... Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Apakah dosa dan kesalahan Abah diperlakukan sedemikian rupa. Sejak tarikh itu, setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca. Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya...hati ini memang pedih yang teramat sangat.

Tujuh tahun saya dipisahkan dari Abah, namun tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan. Walaupun pada tahun 2009 ini ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di dada media, namun nama Abah saya tiada dalam kedua-dua senarai pembebasan tersebut....

Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa rendah diri dan terpinggir. Saya terlalu ingin menjalani kehidupan harian bersama Abah. Saya ingin makan, berbual, bergurau senda dan melakukan pelbagai aktiviti harian bersamanya. Saya juga punya keinginan mempunyai keluarga yang lengkap, sama seperti orang lain.

Hingga kini saya tidak faham kenapa Abah saya, seorang yang pendiam dan mudah tersenyum, masih juga belum dibebaskan. Saya tidak tahu apakah sebenarnya kesalahan beliau kerana tahanan ISA lain yang ditahan bersama Abah tujuh tahun dulu, hampir semuanya telah pun dibebaskan... namun Abah masih tetap dikurung di Kem. Saya setuju dengan pendapat Umi bahawa Abah sepatutnya dibicarakan di mahkamah. Kalau benar ada bukti menyatakan dia salah, sekurang-kurangnya hakim akan menetapkan, bilakah tarikh akhir dia menjalani kehidupan sebagai banduan. Saya amat sedih mengenangkan kehidupan Abah dalam ketidakpastian selama tujuh tahun dan terus berlarutan.

Saya akan terus berdoa pada Allah supaya Abah segera dibebaskan...


*Testimoni ini ditulis oleh Suhaib Mat Sah, anak kepada tahanan ISA Mat Sah Satray. Mat Sah Satray ditahan sejak tahun 2002, dituduh terlibat dalam aktiviti Jemaah Islamiah, namun tidak pernah dibuktikan di mahkamah.

27 Jul 2009

Pergelutan MCA kian runcing

Pergelutan MCA kian runcing

Oleh Lim Hong Siang

Minggu lalu, sementara kepiluan menyelubungi masyarakat Malaysia selepas pemergian Teoh Beng Hock, Menteri dan Timbalan Menteri MCA secara tiba-tibanya, telah menyatakan sokongan kepada Presiden MCA, Ong Tee Keat merangkap Menteri Pengangkutan, untuk menangani skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Kemudiannya, Timbalan Presiden MCA, Chua Soi Lek pula menyusul dengan kenyataan bahawa, "yang pentingnya, rakyat ingin tahu kebenaran". Namun demikian, apa yang penting dalam kenyataan tersebut sebenarnya tidak kena-mengena dengan PKFZ. Sebaliknya, Chua Soi Lek menyelit maksud tersiratnya dalam ayat "rakyat tidak akan mengambil berat (terhadap kenyataan menyokong Ong)".

"Saya yakin, selagi Presiden MCA melakukan sesuatu yang betul, semua ahli MCA akan menyokong beliau dengan sepenuhnya," tambahnya sebagai kesimpulan dalam kenyataan tersebut. Kenyataan ringkas ini telah dihubungkait dengan "desas-desus" bahawa mereka yang tidak berpuas hati dalam MCA, bakal memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk menggulingkan Ong Tee Keat.

Sejarah pergelutan MCA

Ong Tee Keat, 53, berjaya mendaki ke puncak kuasa MCA selepas tsunami politik 8 Mac, 2008. Ong ketika menerajui Pemuda MCA dalam era pimpinan Ling Liong Sik, walaupun terkenal dengan imej "berani untuk bersuara" di kalangan masyarakat Cina, namun tidak meraih sokongan dari akar umbi MCA.

Pergelutan antara Pasukan A yang diterajui Ling Liong Sik, dan Pasukan B yang diwakili Lim Ah Lek melabuh tirai pada tahun 2003, setelah PM ketika itu Mahathir Mohamad mencampur tangan, supaya kedua-dua pemimpin tertinggi itu mengundur diri bersama. Jawatan tersebut diwarisi Ong Ka Ting dan Chan Kong Choy, lapisan pemimpin yang lebih muda daripada Chua Soi Lek (pasukan A) dan Chua Jui Meng (pasukan B).

Penyerahan kuasa yang diatur oleh Mahathir ini kemudiannya dibaca sebagai perangkap kepada MCA. Ong Ka Ting dan Chan Kong Choy dilihat sebagai "budak" dalam kabinet ketika itu kerana seniority yang terlalu rendah, jika dibandingkan dengan pemimpin UMNO, bahkan Lim Keng Aik, Presiden Gerakan (kini sudah bersara) dan Samy Vellu, Presiden MIC.

Malah, Ong Ka Ting dikatakan bercita-cita untuk mendirikan dinasti Ong, dengan melantik abangnya, Ong Ka Chuan sebagai Setiausaha Agung MCA. Tuduhan ini dipercayai ramai setelah menyaksikan "skandal seks Chua Soi Lek" yang terbongkar pada akhir tahun 2007, disusuli pula dengan pengumuman Chan Kong Choy untuk menarik diri dari pilihan raya umum, dalam sidang akhbar MCA untuk mengumumkan senarai calonnya.

Semua ini telah memberi gambaran seolah-olah wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan musuh politik dalam parti, supaya memberi laluan kepada Ong Ka Chuan untuk mewarisi jawatan presiden MCA, selepas tempoh pimpinan adiknya sampai ke hadnya.

"Dinasti Ong" ditenggelami tsunami

Namun, manusia yang merancang, Tuhan yang takdirkan. Tsunami politik pada 8 Mac telah menghancurkan segala perancangan pemimpin MCA, seandainya wujud. Pemimpin seperti Donald Lim, Fu Ah Kiau dan sebagainya, ditenggelami ombak tsunami. Pemimpin seperti Chua Soi Lek dan Chua Jui Meng, tidak diturunkan ke gelanggang.

Ong Ka Ting berada di kedudukan seperti Abdullah Ahmad Badawi berada di dalam UMNO. Walaupun beliau menyatakan hajatnya untuk tidak menyandang jawatan menteri, sebagai bukti beliau tidak gila kuasa dan bertanggungjawab terhadap kekalahan MCA, namun tetap tidak diterima oleh sebahagian ahlinya.

Desakan demi desakan dihalakan kepada Ong Ka Ting, agar beliau berundur. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding sebagai Presiden MCA, namun abangnya Ong Ka Chuan, mencuba nasib dengan memasuki gelanggang sebagai calon Timbalan Presiden.

Pertarungan "Imej"

Sementara itu, Chua Soi Lek walaupun mempunyai sokongan yang kukuh dari akar umbi, tetap teragak-agak ketika membuat pencaturan. Selepas dilanda tsunami politik, ahli dan perwakilan MCA menyedari bahawa mereka memerlukan seorang pemimpin yang berimej baik, supaya pengundi menaruh harapan semula kepada parti tersebut.

Namun, Chua Soi Lek (gambar kanan) yang melepasi umur 60 tahun ketika itu, dicalit pula dengan skandal seks, menjangka satu pertarungan sengit seandainya bertembung dengan Ong Tee Keat. Keadaan bertambah celaru apabila Chua Jui Meng mengambil keputusan untuk bertanding sebagai Presiden buat kali kedua.

Dalam perkiraan politik Chua Soi Lek, Chua Jui Meng yang masuk ke gelanggang telah menghakis kemungkinan Ong Tee Keat ditewaskan. Maka, Chua Soi Lek akhirnya mengambil keputusan untuk menguburkan nyawa politik Ong Ka Chuan, dengan bertanding sebagai Timbalan Presiden.

Pergelutan berterusan

Ong Tee Keat walaupun sebelum pemilihan parti, enggan menamakan "pasukan" beliau, dengan mendakwa bahawa dirinya bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapapun, tetap tidak senang apabila perwakilan mengundi Chua Soi Lek sebagai timbalannya.

Ong Tee Keat (gambar kanan) meneruskan serangannya terhadap Chua Soi Lek, dengan melabelkan Chua sebagai "politikus kitar-semula", malah "tercalar" dengan skandal seks. Penyerangan dilakukan bertalu-talu, melalui ucapannya, malah kolumnya dalam Sin Chew Daily seketika dahulu. Chua Soi Lek yang terpilih dengan 1115 undi, tidak memperoleh sebarang tempat dalam kabinet baru, malah dipinggirkan dalam pembahagian jawatan dalam parti itu sendiri.

Tindakan Ong Tee Keat dianggap tidak menghormati keputusan perwakilan MCA, malah disindir sebagai "superman", oleh Ketua Wanita MCA Negeri Sembilan, kerana memakai seluar dalam di luar, umpama membuka pekong di dada.

Chua dituduh meminjam "kuasa luar"

Di sebaliknya, Chua Soi Lek sebagai orang kedua dalam MCA, tidak diberikan apa-apa peranan khas, mula mengatur strateginya untuk mencari jalan keluar. Beliau telah menyebarkan khabar bahawa Pakatan Rakyat pernah menghubunginya, lantas berjaya memperolehi jawatan sebagai Ketua Penyelaras BN, dengan pejabatnya di PWTC.

Persengketaan antara Ong dengan Chua tidak berakhir di sini. Chua kemudiannya mengesahkan bahawa beliau dipanggil oleh Jawatankuasa Disiplin MCA, supaya menghadirkan diri pada 4 Ogos untuk memberi penjelasan berhubung video seksnya itu. Menurut laporan Malaysian Insider, Najib sangat marah atas kejadian tersebut, malah memanggil Ong Tee Keat yang mendakwa dirinya "tidak tahu apa-apa" untuk memberi penjelasan.

Sememangnya, pergelutan antara Ong dan Chua akan berterusan. Kisah bahawa Ong mendakwa dirinya diugut oleh kuasa "kongsi gelap" kerana pendedahan skandal PKFZ, dibalas pula dengan Chua yang mencadangkan supaya Ong membuat laporan polis, adalah antara babak dalam pergelutan kuasa dalaman MCA.

Titik kemuncak pertama dalam pergelutan ini berlaku ketika Chua Jui Meng (gambar kiri) membuat pengumuman untuk keluar parti. Chua Jui Meng walaupun bertanding menentang Ong Tee Keat pada pemilihan parti yang lalu, dilihat sudah berbaik dengan Ong Tee Keat. Chua Jui Meng sebelum meninggalkan MCA, telah menuduh Chua Soi Lek cuba mencelarukan keadaan dalam MCA.

Walaupun Chua Jui Meng menafikan bahawa beliau keluar parti disebabkan Chua Soi Lek, tetapi secara terus terang beliau meluahkan ketidakpuasan terhadap UMNO.

"Dalam permainan politik UMNO untuk mengimbangi antara satu sama lain, MCA dipecahkan kepada dua. Dalam keadaan sebegini, wujudnya satu puak yang pro-UMNO, dan satu lagi pasukan yang diberi mandat oleh perwakilan. Ini untuk memastikan MCA tidak menjadi untuh, lantas semakin berani (jika utuh)," ujarnya.

Sesetengah penganalisa politik membaca tindakan Chua Jui Meng itu sebagai mesej yang disampaikan oleh Ong Tee Keat kepada "kuasa luar" yang cuba mencampuri hal-ehwal MCA. Ini mungkin sebagai amaran bahawa pucuk pimpinan ini bersedia beralih haluan, sekiranya "kuasa luar" tetap mahu mencerobohi MCA.

Cuma, mungkinkah pergelutan yang bukan berpaksikan ideologi dan dasar politik ini, membuka lembaran baru dalam sejarah politik Malaysia?

24 Jul 2009

Beng Hock, kuasa mereka dari Putrajaya

Beng Hock, kuasa mereka dari Putrajaya

Oleh Ooi Heng

Antara kementerian dalam kabinet, institusi politik yang paling dipertikai, misalnya Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) yang terlibat dalam tragedi kematian Beng Hock, Jabatan Peguam Negara yang mengheret Anwar Ibrahim ke mahkamah dua kali dalam jangka masa 10 tahun, Biro Tata Negara (BTN) yang perlu bertanggungjawab terhadap "perkauman yang diinstitusikan" (institutional racism)... institusi manakah yang bukan diletakkan di bawah kawalan Jabatan Perdana Menteri (JPM)?

Begitu juga, institusi politik yang kononnya berkecuali, adil dan bebas, misalnya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan lain-lain, yang mana satu bukannya berasal dari JPM?

Malah, wakil rakyat yang masak dengan operasi parlimen, malah tahu akan kewujudan Jabatan Parlimen Malaysia di bawah JPM, beranikah mereka mendakwa bahawa operasi parlimen tidak berada di bawah kawalan JPM?

Mutakhir ini, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) pun diletakkan di bawah kawalan JPM. Tahukah anda bahawa "kepentingan" JPM telah berkembang ke satu tahap yang "tidak terbatas"? Malah, pemusatan kuasa juga mencecah ketertinggian yang hanya boleh disembah rakyat.

Mungkin anda tidak tahu, sekurang-kurangnya 50 unit badan kerajaan yang disusun dalam JPM dari atas ke bawah, kalau tidak silap kira. Semua yang berkenaan dengan pembangunan negara-bangsa, keadilan demokrasi, pembangunan ekonomi, sehinggalah penyebaran ideologi, kalaupun bukan dirangkul JPM, juga akan dicampur tangannya.

Peruntukan JPM bertambah mendadak

Kepentingannya berkembang, kuasanya memusat. Kadar pertambahan peruntukan kepada JPM adalah antara yang paling tinggi dalam kabinet. Menurut laporan Rancangan Malaysia ke-8 dan ke-9, JPM telah memberi lampu hijau supaya kementerian dirinya itu menikmati kadar pertumbuhan peruntukan pembangunan yang melonjak.

Angka peruntukan pembangunan RM9 kalau dibahagi dengan angka perbelanjaan pembangunan RM8, maka kadar pertambahan peruntukan pembangunan yang diperolehi JPM adalah 3.07%, jauh meninggalkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, yang mencatat 1.69%, dengan kedudukan ranking ke-2.

Sebaliknya, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi yang menjadi tumpuan perhatian umum, hanya mencatat 0.60% dan 1.00% kadar pertumbuhan peruntukan pembangunannya.

Kementerian Kesihatan yang gagal mengawal lonjakan kos perubatan, Kementerian Pengangkutan yang mencelarukan sistem pengangkutan awam, dan Kementerian Kerja Raya yang menimbun projek sisa-tauhu, menikmati kadar pertumbuhan peruntukan pembangunan 0.93%, 0.72% dan 0.82% masing-masing.

Justeru itu, sementara kita bertafakur untuk Beng Hock dan menuding jari kepada SPRM, perlu kita merenung kewajaran kuasa JPM yang berkembang secara melampau.

Secara objektifnya, dalam tempoh beberapa tahun pentadbiran bekas PM Abdullah Ahmad Badawi, sememangnya laungan slogan banteras rasuah lebih lantang dari tindakannya, namun legasi yang ditinggalkan Pak Lah sebelum meninggalkan Putrajaya, iaitu Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 dan SPRM, lebih baik daripada kerosakan terhadap sistem politik yang dilakukan oleh Mahathir Mohamad dalam tempoh 22 tahun pentadbiran.

Sesetengah ahli parlimen Pakatan Rakyat yang meneliti kandungan rang undang-undang ini beranggapan, seandainya rang undang-undang ini diluluskan, walaupun dengan niat baik untuk membanteras rasuah, tetapi pengoperasian kuasa yang ditetapkan itu masih mempunyai masalah dari segi strukturnya. Seperti banyak institusi politik yang menekankan keberkecualian, keadilan dan kebebasan, kuasa mereka semua datangnya dari JPM, dan bukannya daripada parlimen yang menjadi lambang kepada semangat demokrasi.

Semuanya orang Perdana Menteri...

Pada 15 Disember 2008, Menteri JPM Mohd. Nazri Aziz ketika membentangkan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 untuk bacaan kedua, Ahli Parlimen DAP Ipoh Timur Lim Kit Siang telah meminta supaya menangguhkan perbahasan untuk sekurang-kurangnya 4 minggu, supaya wakil rakyat dan masyarakat sivil mempunyai masa yang secukupnya untuk mengkaji rang undang-undang yang akan memberi kesan jangka panjang ini. Seperti biasa, permintaan itu ditolak.

Malah, seperti yang diduga, apabila rang undang-undang ini diluluskan, Ketua Pesuruhjaya SPRM ditetapkan supaya dilantik Yang Dipertuan Agung atas nasihat PM. Juga, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah yang diberikan peranan untuk memantau dan mengimbangi SPRM, ahlinya juga "dilantik YDPA atas nasihat PM". Malah, ahli Jawatankuasa Aduan juga dilantik secara terus oleh menteri (Menteri JPM semestinya termasuk PM).

Satu lagi Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah, ahlinya dinamakan oleh ketua majlis mesyuarat dewan rakyat dalam parlimen (nominated by the Leader of the House of Representatives), kemudiannya dilantik YDPA. Tetapi, siapanya ketua majlis mesyuarat dewan rakyat ini? Jangan salah faham, orang ini bukan speaker dewan, tetapi PM. Malah, laporan tahunan Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah ini perlu diserah kepada PM, kemudian salinannya diserah kepada parlimen. Dengan kata lain, laporan tersebut tidak diserah secara terus kepada parlimen.

Maka, sesiapa yang tajam matanya akan mengajukan satu soalan, sekiranya orang yang terlibat dalam penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa bukan lain tetapi PM, adakah prosedur dan operasi siasatan SPRM kekal sama? Adakah Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah akan mematuhi apa yang terkandung dalam akta, "to advise the Prime Minister on any aspect of the corruption problem in Malaysia", mencadangkan PM untuk meletak jawatan, bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM, supaya memudahkan siasatan SPRM?

Berbalik kepada kes Beng Hock, seandainya Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah tidak mencadangkan kepada PM untuk menubuhkan Suruhanjaya Di-Raja segera, dan tidak mencadangkan kepada PM supaya menggantung jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika siasatan dijalankan; malah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah juga tidak meletak jawatan secara kolektif... Maka, seandainya seorang PM terlibat dalam penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa pada masa depan, kita sudah dapat menjangkakan tindakan SPRM.

Kalaulah kuasa parlimen pun datangnya dari JPM, maka dalam negara ini, sesiapa yang memonopoli kuasa, dialah lambang kebenaran. Tidak kira sama ada mata lebam Anwar, cebisan tulang gadis Mongolia, mahupun tragedi A.Kugan dan Teoh Beng Hock, janganlah terlalu pilu. Ini kerana tragedi bukan ditentukan kepiluan, tetapi kuasa.


*Artikel ini ditulis Ooi Heng, disiarkan di merdekareview, diterjemah dan disunting Lim Hong Siang.

23 Jul 2009

Penyeberangan hakis legitimasi BN

Penyeberangan hakis legitimasi BN

Oleh Lim Hong Siang

Tengku Razaleigh (kiri) menjadi sasaran seterusnya, setelah bekas Naib Presiden MCA, Chua Jui Meng menyeberang ke Pakatan Rakyat pada 18 Julai 2009. Zaid Ibrahim yang dipecat dari UMNO, menyertai Parti Keadilan Rakyat pada bulan lepas, menyeru dalam blog agar bekas Presiden Semangat 46 ini meninggalkan UMNO buat kali kedua.

Ku Li menolak undangan ini secara spontan, melalui kolumnya di Malaysian Insider, menyatakan keinginannya untuk menjunjung semula prinsip yang tergaris ketika UMNO ditubuhkan, dalam parti yang pada pandangan beliau, telah hilang arah selepas 60 tahun.

Penyeberangan dipertikai

Selain pengalaman pahit daripada "penyeberangan ADUN Bota, Nasaruddin Hashim", yang berakhir dengan rampasan kuasa kerajaan negeri Perak, "penyeberangan" pemimpin veteran Barisan Nasional ke Pakatan Rakyat juga dilihat sedikit sebanyak mencalit "imej reformasi" yang cuba ditonjolkan pakatan politik baru ini.

Malah, "penyeberangan" pemimpin BN ke PR telah menimbulkan banyak masalah, termasuk mencetus ketidakpuasan golongan pejuang reformasi yang pernah dibadai gas pemedih mata. Ini kerana pada ketika mereka bertempur dengan FRU, muka lama ini masih berada di pihak yang mewajarkan keganasan polis.

Justeru itu, rebutan kuasa (pangkat) mahupun sumber dalam parti semakin meruncing. Mereka yang "berhijrah" selepas tsunami politik 8 Mac 2008 disambut secara besar-besaran, disusuli dengan tawaran jawatan penting dalam kerajaan negeri pakatan rakyat, secara tidak langsung menyinggung perasaan sesetengah ahli yang sudah turun ke jalan raya sejak tahun 1998 lagi.

Walaupun kebolehan berorganisasi, memobilasi akar umbi tidak boleh disamakan dengan kemampuan mengubal dasar, menguruskan pentadbiran, namun pencaturan sedemikian tetap mencungkil ketidakpuasan sesetengah ahli, dengan dakwaan bahawa mereka telah "dipinggirkan".

Kalau itulah antara masalahnya "penyeberangan", mengapa PR, terutamanya PKR masih mengalu-alukan "penghijrahan" dari BN, satu pakatan politik yang dilihat korup, tidak beridealisme, malah muflis moralnya?

Penyeberangan dua-hala

"Penyeberangan" Chua Jui Meng baru-baru ini walaupun gagal "menarik perhatian" seperti yang dijangkakan, pada detik saat ketika masyarakat Malaysia digemparkan dengan tragedi kematian Teoh Beng Hock, tetap menjadi tajuk perbincangan dalam media bahasa Cina.

Chua Jui Meng (gambar kanan, kedua dari kanan), 66, menawarkan diri untuk bertanding sebagai Presiden MCA pada tahun 2005 dan 2008. Chua yang berada di luar "arus perdana" pimpinan, tanpa bantuan mekanisme parti, bagaimanapun berjaya menafikan 2/3 undi majoriti lawannya, dalam kedua-dua pemilihan parti.

Chua yang disindir sebagai politikus yang gagal dalam MCA, ketika ditemuramah Nanyang Siang Pau, melontarkan pandangan bahawa MCA hanya berupaya melakukan sesuatu jikalau meninggalkan BN. Memandangkan MCA tidak mungkin menarik diri dari BN setakat ini, maka beliau terpaksa meninggalkan MCA.

"Penyeberangan" kali ini walaupun boleh dibaca sebagai satu-satunya "jalan keluar" seorang pemimpin yang menemui jalan buntu dalam partinya, namun tetap memberi makna dalam konteks politik Malaysia.

Penganalisa politik, Phoon Wing Keong dalam tulisannya di rocknews, mendakwa bahawa politik Malaysia kini membuka lembaran baru dengan "penyeberangan dua hala", berbeza daripada "penyeberangan sehala" dari pembangkang ke BN, satu ketika dahulu.

Pemimpin kanan dan veteran BN yang "berhijrah" ke PR (yang masih merupakan pembangkang di peringkat pusat), walaupun tidak semestinya memiliki daya perjuangan yang tinggi, namun tetap mampu menghakis legitimasi dan semangat moral musuh politik, kata Phoon.

Menghakis legitimasi musuh politik

Phoon membuat analisanya dari sudut pencaturan politik. Phoon menganggap Anwar Ibrahim yang pernah berjinak-jinak dengan sistem autoritarian ini, semestinya memahami bagaimana sistem ini dikekalkan. Untuk sistem autoritarian, pilihan raya hanya sebagai alat untuk memberi keabsahan (legitimasi) kepada pemerintah.

Malah, rampasan kuasa di Perak (gambar kanan dari Sinar Harian) dijadikan sebagai contoh untuk menunjukkan bahawa, walaupun sistem pilihan raya yang berlandaskan prinsip "1 orang 1 undi" mungkin memberi keuntungan kecil kepada pembangkang kadang-kala, namun harapan untuk menumbangkan lembaga negara dan parti hanya dengan pilihan raya, adalah impian yang tidak realistik.

Phoon membaca strategi Anwar sebagai cuba menggunakan saluran selain pilihan raya, untuk melancarkan serangan terhadap BN. Anwar cuba menarik elit BN untuk meninggalkan sistem yang lama ini, lantas mempercepatkan proses penghancuran sistem autoritarian ini.

Menurut pengamatan Phoon, "penyeberangan" kali ini tidak mencetus kritikan keras daripada rakan seperjuangan Chua. Ini mungkin membawa makna bahawa senario pergolakan politik mutakhir ini, menjadikan politikus lebih "berhati-hati", kerana lawan hari ini mungkin menjadi kawan pada keesokannya.

Malah Phoon berpendapat, "penyeberangan" ini menunjukkan bahawa pertikaian terhadap sistem autoritarian dan model politik perkauman ini datang dari elit konservatif yang pernah berkongsi kuasa dalam sistem yang sama, sehingga tidak sanggup untuk berselimut dengan harimau.

Cuma, selepas Chua, siapa lagi?

22 Jul 2009

Najib, jangan biar Teoh mati berdendam

Najib, jangan biar Teoh mati berdendam

Oleh Wong Chin Huat

Teoh Beng Hock yang diiringi rombongan seramai 2000 orang, akhirnya disemadikan. Sahabat yang melanjutkan pendidikan di Taiwan, dengan mata yang kemerahan, berkata, "seandainya tragedi ini berlaku di Taiwan, Ma Ying-jeou (Presiden) semestinya sudah menziarahi untuk memberi penghormatan seawal-awalnya."

Perdana Menteri kita berada di luar negari, mengapa Timbalannya tidak muncul? Untuk sahabat ini, tidak cukup sekadar setiausaha politik yang datang menjenguk, ia langsung tidak memperlihatkan keprihatinan dan keinsafan sesebuah negara terhadap tragedi ini.

Sememangnya kita perlu menanti keputusan siasatan "bagaimana Teoh terjatuh", namun Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengaku, tragedi ini berlaku selepas soal-siasat 11 jam berturutan. Bekerja mahupun belajar tidak berlangsung untuk jangka panjang. Masyarakat bertamadun telah mengehadkan waktu bekerja kepada 8 jam, malah belajar pun ada waktu rehatnya. Soal siasat yang berlanjutan sehingga 11 jam, sememangnya sesuatu bentuk hukuman yang zalim.

SPRM sudah tentunya mengetahui bahawa mendiang akan mendaftar perkahwinan pada hari keesokannya, ketika menyoal siasat. Tetapi, bakal pengantin ini masih diperas untuk 11 jam, langsung tidak diambil kira tekanan mental yang dialami bakal pengantin sebelum mendaftar perkahwinan.

Begitupun jikalau Beng Hock tidak menemui ajal, soal siasat 11 jam berturut-turut yang memeras ini, sememangnya mencetus kemarahan umum. Seandainya Ketua Pesuruhjaya SPRM mahupun Menteri Jabatan Perdana Menteri "tahu itu malu namanya", perlu meletak jawatan.

Namun, belumpun punca kematian Beng Hock ditemui, SPRM sudah mendakwa dirinya tidak bersalah, malah enggan memohon maaf dengan soal-siasat berturutan selama 11 jam, sebaliknya menggesa rakyat untuk bertenang. Menteri JPM Mohamed Nazri yang berdarah sejuk membuat tekaan bahawa Teoh membunuh diri, TPM Muhyiddin Yassin dengan sungguh-sungguh menuduh rakyat yang dibakar kemarahan itu sebagai "dipolitikkan". Malah, lidah parti seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia mem-perkaum-kan tragedi ini, lantas menyinggung mendiang dan keluarganya buat kali kedua.

Penyeksaan yang diinstitusikan

Orang sudah meninggal, dibubuh pula garam pada luka, disiram pula minyak ke dalam api. Apakah negara ini tidak berperikemanusiaan? Apakah kerajaan ini berdarah sejuk? Menteri kabinet, sama ada Koh Tsu Koon yang menziarahi seawalnya, mahupun Liow Tiong Lai dan Ong Tee Keat yang selewatnya, disambut dengan tuntutan keadilan daripada keluarga Teoh. Ia mengingatkan orang awam bahawa parti komponen BN telah gagal menghalang negara ini daripada melakukan pembunuhan.

"Takdir Tuhan", ungkapan yang disampaikan daripada Najib melalui setiausaha politiknya, sambil membawa makna penghargaan Teoh sebagai pemuda yang berbakat (dalam bahasa Cina). Mungkin Najib tidak berniat supaya "Tuhan" memikul tanggungjawab ini, tetapi nampaknya Najib juga tidak bersedia untuk meminta maaf atas kesilapan lembaga negara yang mengakibatkan tragedi ini. Perlu diingatkan, SPRM bukan sahaja di bawah jagaan JPM, malah amalannya yang hanya mengendalikan "kes kecil" Pakatan Rakyat, sementara mengabaikan "kes besar" Barisan Nasional, telah memberi keuntungan politik kepada Najib.

Namun, seandainya SPRM adalah badan yang bertanggungjawab kepada parlimen, Najib boleh bertafakur bersama rakyat, dan tidak memikul apa-apa tanggungjawab politik.

Pada hakikatnya, cara siasatan SPRM yang menyeksa ini bukan berlaku buat kali pertama. Januari tahun ini, AJK UMNO bahagian Maran, Halimi Bin Kamaruzzaman telah membuat tuduhan, bahawa dalam tahanan selama 4 hari, pegawai SPRM telah memukul dan membogelkannya, malah mengugut untuk mencucuh kemaluannya dengan puntung rokok, sebagai paksaan supaya beliau mengaku bahawa orang yang rapat dengan Khairy Jamaluddin, Norza Zakaria terlibat dalam politik wang.

Layanan ala Abu Ghraib yang diterima Halimi membuktikan bahawa masalah yang berlaku di SPRM bukan "perkauman yang diinstitusikan" (institutionalized racism), tetapi "penyeksaan yang diinstitusikan"(institutionalized sadism).

Najib yang merupakan sebahagian daripada regim lama, semestinya sedar tentang penyelewangan yang berlaku dalam sistem, lantaran membawa perubahan dalam bidang ekonomi. Mengapa 100 hari pentadbirannya tidak merangkumi pendemokrasian politik, tidak menamatkan kezaliman SPRM? Apakah ini kecuaian semata-mata?

Halimi akhirnya tidak jatuh dari bangunan SPRM negeri Pahang, rakyat juga tidak menegakkan keadilan untuknya. Selepas lima bulan, Beng Hock terlantar di tingkat lima, meninggallkan ibu bapa, tunang dan anak yang tercinta.

Penyeksaaan yang diinstitusikan SPRM itu dapat dilanjutkanan, ia membuatkan seluruh rakyat, bukan sahaja Najib, perlu berasa terhutang kepada Halimi dan Beng Hock.

Seandainya Beng Hock bukan mangsa yang terakhir, anak siapa, adik siapa, ibu bapa siapa yang akan jatuh dari bangunan seterusnya?

Soh Sher Wei (tunang Teoh) tidak mahu apa-apa, hanya mahu Beng Hock kembali ke pangkuannya. Kita tidak dapat berbuat apa-apa untuk merealisasikan impiannya. Tetapi kita mampu memastikan tiada Soh Sher Wei yang seterusnya.

Menamatkan segala hukuman kejam adalah tanggungjawab yang tidak dapat dielakkan oleh Najib. Memastikan Najib berbuat demikian adalah tanggungjawab setiap rakyat Malaysia.

Sekiranya "penyeksaan yang diinstituisikan" dalam SPRM dan badan eksekutif yang lain tidak diakhiri, kita bakal mempunyai Teoh Beng Hock dan Soh Sher Wei yang seterusnya. Malah penyeksaan yang dialami Teoh dan Soh disia-siakan sahaja kerana gagal membawa kesedaran kepada negara dan kerajaan.

Empat tuntutan asas

Hari ini adalah hari ketujuh kematian Beng Hock. Kerajaan Najib perlu menunjukkan keikhlasan untuk membawa reformasi yang berlandaskan anti-penderaan, anti-penyeksaan, anti-kekejaman, agar Beng Hock meninggal dengan tenang.

Empat tuntutan yang asas ialah,-

Pertama, menubuhkan Suruhanjaya Di-raja. Melihat kepada kehendak rakyat, langkah ini tidak dapat dielakkan. Seandainya cadangan ini ditolak kabinet, menteri yang masih berperikemanusiaan perlu meletakkan jawatan. Dan seandainya Suruhanjaya Diraja ini bukan strategi meredakan kemarahan semata-mata, ianya perlu memenuhi dua syarat. Ahlinya perlu dicalonkan pemerintah dan pembangkang, atau lebih daripada separuhnya perlu dicalonkan oleh pembangkang. Syarat seterusnya, bidang kuasa siasatan bukan sahaja terhad kepada kes Beng Hock, malah merangkumi struktur, bidang kuasa SPRM, malah dilanjutkan kepada kes seperti Halimi dan Tan Boon Wah.

Kedua, Ketua Pesuruhjaya SPRM Ahmad Said, malah pegawai yang menyoal siasat Teoh perlu meletak jawatan sebelum siasatan Suruhanjaya Di-Raja tamat, untuk memastikan mereka tidak menggangu penyiasat atau si-mangsa.

Ketiga, Malaysia perlu menandatangani konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, membantah segala bentuk hukuman yang menyeksa, malah mengubal undang-undang untuk memastikan hukuman sedemikian ditamatkan.

Keempat, menubuhkan tabung anti-seksa atas nama Beng Hock, melalui kajian dasar, pemujukan dan pendidikan untuk memastikan Beng Hock menjadi mangsa terakhir. Malah, kes yang lampau perlu disemak semula, supaya keadilan ditegakkan, dan pampasan diberikan kepada mangsa dan keluarga mangsa.

Wacana awam perlu memantau Najib, agar tragedi Beng Hock tidak dilupai. Apabila setiausaha Najib boleh menyampaikan bunga sebagai penghormatan, apabila Khairy Jamaluddin menyeru untuk menubuhkan Suruhanjaya Di-raja, NGO yang rancak membincangkam masyarakat sivil perlu membuat sesuatu yang lebih dari itu.

Hari ini hari ke-7 yang pertama untuk Beng Hock. Mendiang tidak hidup dengan sia-sia, tapi Najib, menteri kabinet, parti, NGO malah seluruh rakyat, bertanggungjawab untuk memastikan Teoh tidak mati dengan sia-sia.

*Wong Chin Huat ialah jurucakap badan bukan kerajaan, Bersih. Tulisan ini disiarkan di kolum merdekareview, sebelum kabinet mengumum untuk menubuhkan Suruhanjaya Di-Raja. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

21 Jul 2009

Misteri kekal Misteri

Misteri kekal Misteri

Oleh Lim Hong Siang

Misteri kematian Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik Exco Selangor kekal sebagai misteri walaupun telah dikebumikan pada hari ke-5. Siasatan polis yang 60% selesai walaupun memberi jawapan kepada soalan tertentu pada peringkat awal, namun juga menimbulkan kesangsian baru yang sukar dijawab.

Pertikaian terhadap SPRM

Dakwaan pihak SPRM bahawa Teoh Beng Hock telah dibebaskan pada jam 3.45pagi, 16 Julai, dan Teoh meminta untuk tidur di pejabat mencungkil keraguan, antaranya:-

1. Sekira-nya Teoh telah di- bebaskan, mengapa dompet, telefon bimbit dan dokumen penting yang lain masih berada di tangan SPRM?

2. Selepas membebaskan Teoh, mengapa SPRM membiarkan Teoh bebas bergerak di pekarangan pejabat SPRM?

3. Mengapa Teoh tidak menghubungi saudara mara mahupun Ean Yong Hian Wah untuk menghantar khabar bahawa dia berada dalam keadaan selamat, tetapi memilih untuk terus tidur di pejabat SPRM?

4. Kereta Teoh berada di tempat meletak kereta. Mengapa Teoh memilih untuk tidur di pejabat SPRM, dan bukannya pulang ke rumah?

5. Mengapa SPRM tidak menghubungi keluarganya, atau EXCO Selangor dengan segera setelah mendapati kematian Teoh pada jam 1.30 tengah hari, 16 Julai?

6. Tan Boon Wah, Ahli Majlis Perbandaran Kajang yang turut disiasat dibenarkan pulang pada jam 1.35 tengah hari, 16 Julai. Teoh dikatakan mati pada pukul 8 pagi, ditemui mayatnya pada 1.30 tengah hari, namun Tan tidak mengetahui apa-apa ketika dibebaskan dari SPRM.

Pertikaian terhadap polis

1. Mayat Teoh ditemui pada jam 1.30 tengah hari, 16 Julai. Pegawai SPRM dikatakan telah mengenalpasti identiti Teoh pada ketika itu, namun mengapa polis gagal mengesahkannya, sehingga jam 5 petang?

2. Mengapa pihak polis Selangor "kembali" ke pejabat SPRM untuk mengumpul bukti, hanya pada hari ke-3 selepas tragedi kematian Teoh?

3. Mengapa polis mengambil telefon bimbit Teoh dari pihak SPRM pada hari keesokan tragedi berlaku, dan bukannya pada hari kejadian berlaku?

Laporan awal mencentus persoalan baru

Menurut siasatan peringkat awal, Ketua Polis Selangor Khalid Abu Bakar tidak menolak kemungkinan bahawa mendiang jatuh dari tingkat 14 yang menempatkan pejabat SPRM. Malah, laporan awal pakar patalogi mendapati bahawa Teoh meninggal dunia kira-kira 4 hingga 5 jam sebelum mayatnya ditemui di tingkat lima, koridor luar bangunan Plaza Masalam.

Dengan kata lain, Teoh mungkin meninggal dunia antara jam 7.30 atau 8.30 pagi, 16 Julai. Soalan yang ditimbulkan daripada ibu mendiang adalah, mengapa mayat Teoh tidak ditemui pada ketika itu (waktu pagi), sedangkan terdapat orang yang melalui tempat tersebut, pada hari yang bukan merupakan cuti awam?

Malah, seandainya Teoh jatuh dari tingkap tingkat ke-14, bahagian pejabat tersebut perlu dikenalpasti. Sama ada tempat di mana Teoh jatuh itu merupakan ruang tamu, pantri, bilik soal siasat, bilik mesyuarat dan sebagainya, adalah petunjuk penting dalam siasatan.

Kontradiksi hujah

Selain itu, hujah yang tidak selaras dan saling kontradiksi, terutamanya berkenaan telefon bimbit Teoh telah mengungkit pertikaian.

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching mendakwa bahawa SPRM telah berbohong dalam perkara ini. Teo Nie Ching memetik hujah Timbalan Pesuruhjaya SPRM Selangor, Abu Kassim Mohamed yang pada mulanya mendakwa SPRM telah memulangkan telefon bimbit, dokumen penting dan kunci kepada Teoh, selepas tamatnya soal siasat.

Namun, polis telah berjaya mendapatkan telefon bimbit Teoh daripada pihak SPRM, setelah perkara ini dipersoalkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat dan khalayak umum.

"Bunuh diri" dipertikai

Di samping itu, kemungkinan Teoh membunuh diri juga disanggah, terutama apabila keluarga Teoh memaklumkan bahawa mendiang merancang untuk mendaftar perkahwinan pada 17 Julai.

Pakar dalam bidang psikologi kriminal merangkap penyiasat persendirian, Loke ketika ditemuramah media cetak bahasa Cina, berkata orang yang bunuh diri biasanya akan meninggalkan warkah, mahupun wasiat, sebelum membunuh diri. Malah, secara umumnya, menurut Loke, orang yang memilih untuk membunuh diri tidak memakai kasut.

Teoh ketika ditemui mayatnya, dengan tangan kanan yang dalam genggaman, dan berpakaian kasut.

Terbunuh, dibunuh atau bunuh diri?

Walau bagaimanapun, sama ada Teoh dibunuh, terbunuh atau membunuh diri, soalan muktamad yang wajib ditanya dalam setiap kes kematian adalah, apakah motifnya?

Soalan ini tidak terjawab untuk banyak kes di Malaysia, dari kes kematian dalam lokap, sehinggalah kematian dalam hutan yang diletupkan dengan C4.

20 Jul 2009

Pulang, marilah pulang...

Pulang, marilah pulang...

Oleh Lim Hong Siang

Pagi ini diselubungi kesayuan. Seorang ibu mendampingi keranda anaknya, mendodoikan lagu "menatapi wajah anak".

"Panggillah mak, pulanglah ke pangkuan mak...," demikianlah harapannya yang diluahkan kepada Beng Hock. Beng Hock berbaring dalam keranda yang menyejuk. Suasana semakin sugul dan hiba.

Buat kali terakhir, ibu Beng Hock menatapi wajah anaknya, bersama ibu mertua Teoh. Air mata menderas. Tangisannya melangkaui hidup dan mati. Tubuhnya dibimbing. Mata yang melihat mengalirkan air mata, telinga yang mendengar menyayat di hati.

Tunang: sakit tak?

Tunang mendiang, Soh Sher Wei yang sudah dua bulan mengandung melahirkan rasa rindu yang tidak terhingga. Dalam upacara sebelum pengebumian, Soh dalam tulisannya yang dibacakan, berjanji kepada Teoh, bahawa dia akan hidup dengan sebaik-baiknya, dengan harapan Teoh akan menemaninya, bersama mendewasakan anak yang bakal dilahirkan.

"Beng Hock, kau meninggalkanku tanpa sepatah kata. Kau pernah berkata, kita masih ada banyak kerja yang belum diselesaikan, masih banyak tempat yang kita nak pergi. Kau kata lagi, yang kau akan temaniku...bagaimana dengan aku sekarang? Bagaimana aku dapat bertemu dengan kau? Aku asyik memikirkan kau, merindui kau...aku hanya mahu kau pulang, pulang ke pangkuanku..."

"Untuk beberapa hari ini, aku menunggu kau. Tapi aku dikecewakan. Aku hanya ingin tahu, bagaimana dengan kau sekarang? Sakit ke tidak? Jangan biarkan aku tunggu lama. Biar aku jumpa dengan kau...hanya sekali, sekali pun cukup."

"Apabila tangisan dan seruan gagal mengejutkan kau, aku tidak dapat menafikan kenyataan bahawa kau telah meninggalkan aku buat selama-lamanya. Betapa tidak kesampaian pun, aku perlu mengucap selamat tinggal kepada kau hari ini. Aku janji, aku akan hidup dengan sebaik-baiknya. Tapi, kau mesti berada di sisi ku, menemani ku untuk menjaganya (anak)."

"Beng Hock, walaupun jodoh kita tamat untuk hidup ini, namun ku tetap berharap, seandainya ada hayat seterusnya, aku harap kita lanjutkan jodoh kita (yang terputus) hidup ini."

Keluarga: biar kami jaga ibu dan bapa

Kekanda dan adinda Teoh juga berucap. "Mengimbas zaman kebudak-budakan, detik hidup antara adik beradik kini menjadi nostalgia. Waktu kita bersama disarati kegembiraan, sehingga kini. Keriangan dan ketertawaan masih berlegar, seolah-olahnya berlaku semalam."

"Tak pernahmu membuat sesuatu yang membimbangkan ahli keluarga, sama ada ketika belajar, mahupun dalam bidang kerjaya. Kau tetap menjadi kebanggaan kami."

"Kami merindui apa yang baik padamu, terutama jagaanmu terhadap anak saudara yang penuh dengan kasih sayang. Setiap kali pulang ke rumah, kamu membawa mereka pergi main, tonton wayang. Ini tidak berlaku lagi, tidak dapat berlaku lagi. Ini merupakan kesakitan yang tidak terpadam dalam hati kita."

"Pergilah dengan baik...semoga kita masih sekeluarga untuk umur hidup selanjutnya..."

Selain itu, mereka juga merakamkan penghargaan kepada saudara-mara dan sahabat yang mengambil berat, menghulurkan bantuan pada saat-saat ini, di samping berjanji menjaga isteri dan anak Teoh.

Upacara pengebumian bermula. Ribuan orang mengiringi keranda Teoh sejauh kira-kira satu kilometer. Menurut adat orang Cina, uban yang lebih tua pantang menghantar mereka yang berambut hitam (lebih muda). Rombongan dipenuhi kain rentang. Hati kedua-dua orang tua disarat kepiluan.

*Tulisan ini dipetik dan diterjemah dari teks ucapan, dan disunting bersama laporan berita asal yang ditulis Chan Wei See, Editor Merdekareview (versi bahasa Cina).

Zaman Keranapan

Zaman Keranapan

Oleh Chia Wei Loon

Zaman yang mana seseorang itu hilang diri dengan pakaian tidur, kini muncul semula, dalam dada akhbar yang disaratkan kepiluan.

Pada Julai tahun 1981, aktivis pergerakan demokrasi di Taiwan, Chen Wen-Chen (lelaki dalam gambar kanan) yang memperolehi gelaran doktor falsafahnya di Amerika Syarikat, menghadiri temujanji di ibu pejabat polis. Pada keesokannya, mayatnya terlantar di kampus Univerisiti Taiwan Nasional. Maka dengan itu, satu keluarga, isteri dan anak kehilangan seorang yang tersayang.

Inilah insiden Chen Wen-Chen yang menggemparkan. Ia seolah-olah nasib yang ditakdirkan pada zaman itu. Mereka yang cintakan tanahair, malah menterjemahkan perasaannya kepada tindakan, mesti dihukum pihak berkuasa, malah mengundang malapetaka yang menggadaikan nyawa.

Sehingga kini, insiden Chen Wen-Chen belum diketahui kebenarannya. Sepanjang 28 tahun ini, aktiviti kenangan dalam masyarakat Taiwan tidak pernah berakhir. Tuntutan untuk mencari kebenaran, sehingga terjananya proses keadilan transisional (Transitional Justice).

Malah, usaha mendukung keperihatinan terhadap hak asasi manusia, toleransi terhadap etnik, keinsafan terhadap budaya, menjadi lambang setiap langkah menuju ke arah demokrasi. Ia turut memperlihatkan kesabaran dan ketabahan yang perlu pada sesebuah masyarakat dalam perjalanan ke arah menegakkan keadilan. Isteri dan keluarganya Chen tetap berada bersama perjuangan.

Langkah peragut nyawa kelihatan jauh, ada kalanya menghampiri secara mengejut. Ia meninggalkan ketakutan dan kemarahan dalam ingatan khalayak ramai. Takut apabila melihat rakan dimangsakan tanpa sebab, marah kerana mendapati semua peragut nyawa adalah angkara manusia, merupakan kesan yang ditinggalkan oleh kegelapan yang ada pada kemanusiaan itu sendiri.

Dalam zaman white terror, demi keperluan kuasa daulah, semua tindakan yang terpesong dari kemanusiaan diwajarkan. Aktivis yang dipukul mati pasukan keselamatan, dan banyak lagi kes yang tergantung, kes silap... segala-gala ini terlaksana dengan menyalahgunakan undang-undang, dengan "kepentingan negara" sebagai alasannya. Atas nama soal-siasat, nyawa diumpamakan lalang.

Mencari kebenaran dalam sejarah

Pada ketika masyarakat rancak membincangkan apa sebenarnya yang berlaku dalam kejadian Teoh Beng Hock, kita sebenarnya juga perlu memanggil siasatan untuk semua "kebenaran" dalam zaman pemerintahan Barisan Nasional, meneliti dan mengembalikan apa yang benar dalam sejarah. Kesengsaraan mangsa perlu dibelai satu demi satu, tanggungjawab pemangsa, perlu dipersoal satu demi satu.

Hanya apabila pemangsa yang tangannya berdarah dihukum dengan undang-undang, barulah sesebuah masyarakat itu memperolehi keadilan. Seperti apa yang dihujahkan penerima hadiah nobel dalam keamanan, penulis Yahudi, Elie Wiesel, siasatan yang tidak menemui kebenaran, atau dilupai secara ansur-ansur, bermakna membunuh mangsa untuk kali yang kedua. Kita tidak mampu menghalang malapetaka pada kali pertama ia berlaku, namun tidak boleh membenarkannya berlaku untuk kali yang kedua.

Pada saat kini, perbincangan kes kematian Teoh membawa makna yang besar. Ia bermakna kita perlu kembali ke titik asal, melihat kes maut itu sebagai kes maut. Dengan kata lain, negara kita yang mengalami tsunami politik pada 8 Mac 2008, dengan kebangkitan kuasa pembangkang yang diiktiraf, kita perlu membedah setiap kenyataan yang diputar-belitkan ke atas kes ini.

Berbalik ke tempat kejadian, rujuk pada bukti, mengambil berat tentang beberapa persoalan asas, apa puncanya kematian Teoh? Seandainya Teoh dibunuh, bila dan bagaimana? Yang lebih penting, kita hendak bertanya, apakah motif pembunuhan?

Sekiranya persoalan ini tidak dibaca dalam konteks masyarakat kita, maka sesiapa yang tahu serba sedikit untuk menalar bagaimana pembunuhan berlaku, semestinya tercengang. Bukankah semua kes kematian semestinya dimulakan dengan soalan tersebut?

Namun, sekali imbas, sebelum soalan-soalan asas ini terjawab, pegawai kita mendakwa tidak tahu ada atau tidak CCTV, atau mendakwa Teoh bunuh diri..., langsung mengabaikan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh pihak yang berkenaan. Dibawa perginya seorang yang hidup, dipulangkannya satu mayat yang dingin. Mangsa dan keluarganya dimangsakan untuk kali kedua.

Malah dalam kes ini, banyak "andaian" diperkukuh, dan tidak membenarkan permintaan keluarga untuk "mempersoal", secara terang-terang menghina daya logik sesebuah masyarakat untuk berfikir dan menalar.

Dari tangisan ke arah tuntutan keadilan

Berbalik kepada persoalan asas, kes kematian Teoh mula memperlihatkan perubahannya, dari tangisan dalam sejarah yang terpendam, menuju ke arah tuntutan keadilan.
Sepanjang masa ini, pembangkang dengan sumber yang serba kurang, bertembung dalam sistem yang autokrasi, sering menjadikan insiden keganasan sebagai sasaran, ketika mengerah tenaga menentang musuh politik. Dalam suasana sedemikian, wacana politik Malaysia di luar arus perdana, disarat penuh dengan kes yang tidak diketahui kebenarannya. Kes demi kes dihubungkaitkan, menjadi simbol autokratik yang utama.

Penindasan politik

Senang kalau mengenang yang sudah meninggal, susah jika menatapi yang masih hidup. Terdapat dua kelemahan sekiranya kita membincang kes politik dengan hujah seperti di atas.

Yang pertamanya, pembunuhan dan kurungan adalah penindasan politik yang paling ekstrem. Apabila keabsahan pemerintah semakin terhakis, maka muslihat yang kasar digunakan. Namun, menggunakan pembunuhan dan kurungan untuk mengukuhkan kuasa adalah salah. Tetapi, sebaliknya, seandainya tiada pembunuhan dan kurungan, ia tidak bermakna penindasan politik tidak berlaku. Penindasan politik tidak semestinya melalui pendekatan keganasan.

Yang keduanya, semua kes penindasan politik ini telah diseragamkan, dibincangkan "ketidakwarasan secara kolektif" dalam Kementerian Dalam Negeri tanpa meneliti setiap kes.

Seandainya fungsi sejarah adalah untuk dihayati dan dijadikan sebagai pengajaran, catatannya semestinya terperinci, dan bukan membuat kesimpulan yang penuh emosi. Hanya apabila proses setiap kes keganasan diteliti, barulah kita dapat memahami ideologi, perintah dan arahan dalam birokrat, bagaimana kuasa yang tidak dipantau mengakibatkan malapetaka berlaku. Hanya dengan ini, pengulangan sejarah dapat dihalang.

Di antara peperangan dengan keamanan, diktator dengan demokrasi, penyalahgunaan kuasa dengan pentadbiran undang-undang, semua negara terpaksa berdepan dengan sejarah yang berdarah, harapan pada masa depan, dan melarang agar aniaya dahulu berulang. Dalam jangka setengah abab ini, ramai yang dijadikan mangsa dalam pemerintahan BN. Kepiluan ini merupakan emosi yang tidak dapat dielakkan pada ketika negara kita dalam proses peralihan.

Usaha menegakkan keadilan perlu diperluaskan ke setiap pelusuk. Membangun semula maruah manusia yang dihina oleh sistem yang autokrasi, adalah asas yang perlu dalam peringkat peralihan ke masyarakat demokrasi. Apabila kita membincangkan keadilan transisional, kita perlu membebaskan diri dari kurungan sejarah, barulah objektiviti tercapai.

Kematian Teoh Beng Hock dan keganasan terhadap mereka yang cuba menegakkan keadilan untuk Teoh, menjadikan masyarakat antarabangsa lebih prihatin terhadap tindak-tanduk Barisan Nasional. Ia juga memaparkan wajah sengsara dalam perjuangan demokrasi.

Ini tanda musnahnya BN, membuktikan bahawa pengambil-alihan Najib sekadar warisan kuasa, gagal memperbetulkan penyelewengan dalam parti-negara. Luka yang terguris dalam zaman autokrasi, belum dirawat. Rakyat masih belum terbebas dari ketakutan. Negara yang merahmatkan bahagia belum lagi muncul, seperti 1Malaysia yang dilakarkan Najib, bukan sahaja telah mati, malah belum lahir.


*Chia Wei Loon kini bekerja di Badan Bukan Kerajaan (NGO), pernah berkhidmat dalam industri media. Artikel ini diterjemah dan disunting Lim Hong Siang.

17 Jul 2009

Misteri Kematian Teo dipersoal

Misteri Kematian Teoh dipersoal

Oleh Lim Hong Siang


Semakin banyak persoalan dilemparkan terhadap SPRM, ekoran kematian Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik Exco Selangor. Pendekatan soal-siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap Teo dalam konteks di mana "kes besar" tidak dikendalikan segera, nyata mencungkil ketidakpuasan.

Teoh Beng Hock, 30 yang merupakan bekas wartawan Sin Chew Daily adalah kenalan ramai wartawan. Pemergian Teo secara tiba-tiba, malah sehari sebelum mendaftar perkahwinan bukan sahaja mengejutkan, malah mencetus kemarahan dalam suasana yang sugul.

Secara keseluruhannya, media cetak akhbar bahasa Cina memberi liputan yang secukupnya untuk penjelasan pihak SPRM dan polis.

Nanyang Siang Pau

Laporan muka depan Nanyang Siang Pau dibubuh dengan tajuk kecil "Siasatan Peruntukan Negeri diakhiri Kematian". Analisis segera yang dipapar di muka surat depan, mengaku bahawa sebarang kesimpulan sebelum hasil siasatan diumumkan adalah tidak wajar.

Walau bagaimanapun, analisis ini berpendirian bahawa SPRM perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan Teoh, memandangkan Teoh ditahan oleh pihak SPRM. Malah, analisis ini menganggap Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) diperkenalkan untuk memantapkan sistem "soal-tanggungjawab", maka pengawai atasan SPRM yang gagal menjalankan tugas dengan baik wajar meletak jawatan untuk menunjukkan sikap kebertanggungjawaban.

Malah, analisa ini menganggap rekod prestasi SPRM (yang sebelumnya BPR) yang kurang memuaskan pasti mengungkit lebih masalah ekoran kematian Teoh. Walaupun banyak laporan yang diterima, namun tiada "buaya" besar ditangkap setakat ini. Malah, kes "lama" melibatkan jumlah wang yang secara bandingnya lebih rendah telah didakwa, turut menyebabkan efisiensi SPRM dipertikai.

Dalam edisi tempatan (KL-Selangor), Nanyang Siang Pau memetik kata-kata penduduk Serdang yang kesal dengan kematian Teoh. Teoh yang juga merupakan pembantu Eon Yong Hian Wah di kawasan DUN Seri Kembangan pernah mengendalikan masalah pengundi. Malah, seorang penjual suratkhabar menangis ketika ditemuramah, mengeluh apabila melihat masa depan seorang pemuda diakhiri sebegitu rupa.

Exco Senior kerajaan Selangor, Teresa Kok yang pernah ditahan sebanyak tujuh hari di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960) ketika ditemuramah, menganggap agak sukar untuk seseorang pemuda berdepan dengan soal-siasat dalam jangka masa yang panjang. Beliau juga membidas tempoh yang lama ketika menunggu untuk disoal-siasat sebagai "penderaan jiwa".

Sin Chew Daily


Sin Chew Daily memaparkan gambar ibu dan kakak Teoh menangis di muka depan, sambil memetik hujah SPRM, Ketua Polis Selangor dan Ketua Polis Negara sebagai tajuk kecil di muka depan. SPRM mendakwa soal-siasat tamat pada pukul 3.45 pagi, sementara Ketua Polis Selangor dipetik menafikan kes bunuh, dan Ketua Polis Negara mengatakan siasatan masih dijalankan.

Dalam muka surat kedua, laporan tertumpu untuk memetik kata-kata ahli keluarga Teoh. Malah, ibu Teoh memaklumkan bahawa beliau pernah menasihati Teoh agar tidak menerima tawaran kerja ini.

"Saya menasihati supaya dia tidak menerima kerja ini pada ketika itu, tetapi dia tidak patuh. Kalau dia patuh nasihat saya, peristiwa ini tidak akan berlaku...," kata ibunya.

Teoh bertukar kerja sebagai setiausaha politik Ean Yong Hian Wah selepas pilihan raya umum, 8 Mac 2008. Malah, bapa Teoh juga tidak tahu bahawa anaknya telah disoal-siasat SPRM sehingga terbaca di suratkhabar semalam (16 Julai).

"Rakan sekerjanya menelefon mengatakan bahawa tidak ada apa-apa berlaku terhadapnya, dan dijangka akan dibebaskan pada jam 5 petang hari ini (16 julai). Tanpa diduga, khabar yang diterima akhirnya adalah dia jatuh dari bangunan...," kata bapanya.

Teman wanita Teoh yang berumur 28 tahun mengesahkan bahawa mereka sudah membuat tempahan di restoran pada 3 Oktober tahun ini, untuk mengadakan jamuan perkahwinan. Cita-cita Teoh untuk menjadi pengantin tidak tercapai akhirnya.

Timbalan Ketua Pengarang, Tay Tian Yan dalam ruang kolum beliau turut mengungkit kes banglo Khir Toyo, mempersoalkan sama ada kes ini telah disoal-siasat, atau dibiarkan sehingga dilupakan kemudian? Beliau menganggap siasatan kes perlu merujuk "berat-ringan" kes tersebut.

Menurut tulisan beliau, walaupun orang ramai sukar membuktikan bahawa SPRM mempunyai motif politik, tetapi amalan sekarang telah mencungkil spekulasi khalayak ramai, malah menimbulkan ketidaktenteraman politikus pembangkang.

China Press

Muka depan China Press disarat dengan gambar tempat kejadian, perhimpunan orang ramai dengan nyalaan lilin, gambar kedua-dua ibu bapanya, dan gambar terakhir yang diambil ketika Teoh dibawa oleh pegawai SPRM.

Laporan kes ini mengisi muka surat ke-4 hingga ke-7 dalam China Press. Tajuk utama memetik hujah abang kandung Teoh, yang mempertikai kemungkinan Teoh membunuh diri. Menurut abangnya, Teoh akan mendaftar perkahwinan pada hari ini (17 Julai), maka tiada sebabnya beliau membunuh diri pada ketika itu.

Dalam edisi Central, koleksi gambar memuatkan ruang muka belakang, malah muka depan menyiarkan hujah yang dipetik dari wakil rakyat, yang masing-masing menuntut SPRM untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian ini.

Oriental Daily

Oriental Daily yang berbentuk tabloid memberi liputan dari muka surat depan ke muka surat A-4, dengan gambar dan kronologi kejadian tersebut. Muka surat A-3 bertajuk SPRM mendakwa Teoh sendiri memilih untuk berada di pejabat SPRM setelah tamatnya soal siasat.

Dalam muka surat A4, hujah pemimpin DAP dikemas- kini, bertajukan "DAP meminta pasukan siasatan yang bebas" untuk menyiasat kejadian ini. Malah, berita memetik Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menggesa SPRM supaya menghentikan sebarang aniaya politik terhadap Pakatan Rakyat, kerana ia tidak memanfaatkan sebarang usaha membanteras rasuah mahupun menegakkan keadilan sosial.

Jurucakap pusat MCA, Gan Ping Sieu turut menganggap Suruhanjaya Pencegah Rasuah Selangor perlu bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut. Gan menggesa polis menjalankan siasatan dengan segera, sama ada kematian Teoh mengandungi unsur jenayah, ataupun proses soal-siasat yang tidak sesuai.

Kwong Wah Yit Poh

Secara per- bandingan, Kwong Wah Yit Poh memberi liputan yang sedikit untuk kes ini. Malah, akhbar yang kilang pencetaknya bertempat di Pulau Pinang ini tidak memasukkan berita dan gambar perhimpunan awam semalam seperti akhbar bahasa Cina lain yang berpusat di Kuala Lumpur.

*Kaleidoskop adalah "digest" kandungan akhbar bahasa Cina. Akhbar yang dirujuk bertarikh 17 Julai, merujuk kepada isu kematian Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik Exco Selangor.

16 Jul 2009

"Kuku besi dibalut baldu"

"Kuku besi dibalut baldu"
Dasar Mesra Rakyat dipertikai


Oleh Lim Hong Siang

"Kuku besi dibalut baldu (iron fist in velvet glove). Baldu yang dimaksudkan adalah dasar yang kononnya mesra rakyat. Kuku besi yang terbalut itu tidak akan menyebabkan kecederaan luaran, tetapi tumbukan itu akan mencederakan organ dalaman dengan parah."

Ibarat yang pernah digunakan oleh media antarabangsa untuk menyifatkan Presiden China, Hu Jintao itu dipinjam oleh Editor Malaysiakini (versi bahasa Cina), Yong Kai Ping ketika mengulas pentadbiran Perdana Menteri ke-6, Najib Abdul Razak.

"Anda akan mendapati Najib cuba mengalih fokus dari politik ke ekonomi, di mana sedikit 'keterbukaan' diperlihat dalam dasar ekonominya. Namun, dari segi politik, kebebasan bersuara, hak berhimpun semakin diketatkan mahupun disekat," ulas Yong.

Yong turut menyindir Najib kerana cuba mengambil pendekatan "berada di barisan depan", menggantikan peranan menteri untuk mengumumkan dasar yang "mengambil hati rakyat". Misalnya, Najib turun padang sendiri, seolah-olah sebagai "Menteri Wilayah Persekutuan" untuk mengumumkan potongan diskaun 50% kepada peniaga kecil di wilayah persekutuan ketika memohon dan memperbaharui lesen perniagaan.

Gerak-geri ini dibaca sebagai usaha Najib untuk menonjolkan imej mesra rakyat. Walau bagaimanapun, 11 "hadiah rakyat" yang diumumkan oleh Najib pada 11 Julai, dan beberapa dasar yang dianggap "terbuka" itu terus dipertikai dalam forum bertajuk "Pentadbiran Najib 100 hari", kelmarin.

Forum ini dianjurkan therocknews, satu media internet dan Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, bertempat di bangunan Dewan tersebut. Antara ahli panelnya ialah Yong Kai Ping, Josh Hong dan Jamaluddin Ibrahim.

Dasar Ambil Hati yang tanpa halatuju

Penganalisis politik, Josh Hong mengkritik dasar yang diumumkan oleh Najib hanyalah gula untuk mengambil hati rakyat. Beliau mengambil contoh "diskaun 20% kepada pengguna lebuh raya sebanyak 80 kali atau lebih", lantas mempersoalkan mengapa Najib tidak memikirkan penyelesaian masalah pengangkutan dari perspektif yang lebih luas, misalnya bagaimana memperbanyakkan pengangkutan awam?

11 Hadiah Rakyat yang diumumkan pada hari ke-100 Najib mengambil alih tampuk kerajaan ternyata tidak memikat hati ahli panel dalam forum tersebut. Yong (gambar kanan) menyetujui dengan mendakwa bahawa liberalisasi ekonomi yang diumumkan Najib itu tidak cukup untuk menghadapi kemelut ekonomi global masa kini.

Malah, Yong menganggap apa yang diperlukan pada detik yang kritikal ini adalah transformasi ekonomi. Beliau mengambil contoh trend dunia kini yang rancak membincangkan low carbon economy, memperlihatkan keprihatianan global untuk mengambil kira persoalan sumber semulajadi yang ada, ketika membincangkan persoalan ekonomi.

Yong menyusuli dengan mengingatkan bahawa keupayaan persaingan Malaysia selama ini bergantung kepada kos buruh yang rendah. Namun, keupayaan ini semakin terhakis apabila China yang bangkit dapat menawarkan kos buruh yang lebih rendah. Yong berpendapat kerajaan perlu mengenalpasti kelebihan yang dimiliki Malaysia, dan merangka model ekonomi baru berdasarkan kelebihan tersebut.

"Hadiah" yang berbentuk gula gagal menyelesaikan masalah negara seandainya masalah sistem dan struktur tidak direformasikan. Sambil berjenaka, penganalisis politik Jamaluddin Ibrahim memperlekah diskaun 50% ketika memohon dan memperbaharui lesen dengan berkata 50% yang selebihnya mungkin dibayar "dari bawah meja".

Josh Hong pula mencabar Najib melakukan perubahan struktur yang sedia ada, misalnya membebaskan badan kehakiman, "membersihkan" pasukan keselamatan, dan bukan hanya menggulakan rakyat.

Populariti Meningkat kerana kawalan media

Peningkatan populariti Najib mengikut soal selidik Merdeka Centre telah memberangsangkan Barisan Nasional. Namun, Josh Hong menyanggah populariti Najib meningkat kerana disenangi dan mendapat keyakinan rakyat, sebaliknya menganggap fenomena ini wujud kerana berjayanya strategi media Najib.

Josh (gambar kiri) mengambil contoh presiden Britain, Jerman malah Jepun, Korea dan Taiwan, yang memperlihatkan penurunan populariti selepas 100 hari, kerana media di negara tersebut mengambil pendekatan yang kritis ketika menilai prestasi pemimpin mereka.

Walau bagaimanapun, keadaan di Malaysia jauh berbeza kerana media arus perdana memperbesarkan berita positif Najib, di samping memperkecil, malah melenyapkan apa yang dilihat negatif terhadap Najib. "Ia memberi satu ilusi kepada rakyat, seolah-olah PM kita agak baik dalam prestasinya."

Yong mengeluh ketika mengulas kawalan media oleh kuasa politik di negara kita. "Adalah sesuatu yang tidak sihat, apabila orang yang berpolitik itu kerjanya mengawal media, semacam penonjolan imej adalah segala-galanya dalam politik. Sudah tiba masanya orang berpolitik tertumpu kepada kerja politik, dan pengamal media tertumpu kepada profesional media."

15 Jul 2009

Manek Urai buka lembaran baru

Berakhirnya keghairahan 8 Mac
Manek Urai buka lembaran baru

Oleh Lim Hong Siang

Pakatan Rakyat dikejutkan apabila kubu PAS di Kelantan, kawasan DUN Manek Urai hampir ditembusi UMNO-Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil yang diadakan semalam. Calonnya Mohd. Fauzi Abdullah hanya menang tipis dengan majoriti 65 undi, berbanding majoriti 1,352 undi pada 8 Mac 2008.

Secara sinisnya, keputusan semalam boleh dibaca sebagai "BN berjaya mempertahankan kekalahan dalam pilihan raya kecil di Semenanjung Malaysia" sejak 8 Mac 2008, namun ada juga munasabahnya sekiranya kemenangan tipis PAS ini ditafsir sebagai "kemenangan moral" BN.

Malah, editor Malaysiakini (versi bahasa Cina) Yong Kai Ping menganggap keputusan pilihan raya kecil Manek Urai, bersama peningkatan populariti Perdana Menteri Ke-6, Najib Abdul Razak (menurut soal selidik Merdeka Centre), telah membuka lembaran baru dalam pergolakan politik tanah air ini.

Keghairahan selepas Tsunami Politik

Mengimbas kembali tsunami 8 Mac 2008, Yong Kai Ping melakar gambaran bagaimana rakyat secara umumnya masih ghairah dengan kebangkitan kuasa rakyat, malah Pakatan Rakyat mula dibuai khayalan "menuju ke Putrajaya". Sementara itu, UMNO-BN yang diterajui Abdullah Ahmad Badawi, dan Najib selepas itu terus diselubungi suasana yang merudum.

Pakatan Rakyat dan pemimpin utamanya, Anwar Ibrahim dilambung dengan sorakan dan harapan yang tinggi, sebaliknya Barisan Nasional dan Najib yang terbelenggu dengan imej yang negatif terus dilempar dengan pelbagai tuduhan. Menurut keputusan soal selidik Merdeka Centre, populariti Najib hanya berada pada paras 45% di peringkat awal beliau mengambil alih tampuk pimpinan.

Keghairahan tersebut telah berakhir dengan senario baru politik mutakhir ini.

"Najib telah meraih populariti yang sepatutnya dimiliki seseorang pemerintah. Dengan keputusan pilihan raya kecil Manek Urai, tempoh bulan madu Pakatan Rakyat telahpun tamat. Ini bermakna, mulai malam ini, pemerintah dan pembangkang dalam keadaan seri, dan ini merupakan senario yang menarik," kata Yong.

Lihat BN, bukan PR

Penganalisis politik yang fasih dalam bahasa Cina, Jamaluddin Ibrahim (gambar kiri) pula mengingatkan bahawa tsunami politik yang mengombak pada 8 Mac tahun lepas disebabkan ketidakpuasan rakyat terhadap BN, bukannya sokongan terhadap PR.

"Tiada Pakatan Rakyat sebelum 8 Mac, rakyat mengundi untuk membantah BN."

Maka, Jamaluddin bertanggapan bahawa BN masih dijadikan sebagai sasaran mahupun rujukan ketika memahami pergolakan politik tanah air Malaysia.

Keresahan mula timbul apabila Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor kini menghadapi masalah luar dan dalaman, selepas lebih satu tahun mentadbir.

PR Kedah hanpir disembelih apabila DAP Kedah mengambil keputusan untuk keluar dari pakatan setelah ledakan isu pusat penyembelihan babi. Sementara Pulau Pinang pula menemui jalan buntu di Kampung Buah Pala, ditambah pula pertelingkahan antara DAP dan PKR. Malah, Selangor kini kecoh dengan tuntutan rombakan barisan EXCO, ditambah dengan tuduhan daripada ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang juga dari Pakatan Rakyat.

Tangkis dengan langkah konkrit

Pergelutan di atas mungkin mencungkil keraguan rakyat terhadap kredibiliti dan kebolehan PR untuk mentadbir negara. Lantaran itu, kekhuatiran dilanjutkan dengan andaian sekiranya masyarakat kita tidak sanggup menanggung risiko yang terlalu tinggi demi reformasi, maka mereka mungkin "termakan" dengan janji "perubahan" yang dilaksanakan oleh Najib.

Walau bagaimanapun, Yong Kai Ping (gambar kanan) ketika mengulas kemungkinan Najib mengambil kesempatan atas "ketakutan" ini untuk terus berkuasa, berkata bahawa "ketakutan" ini wujud kerana kekurangan rasa selamat dalam minda rakyat.
Justeru itu, apabila Utusan Malaysia memainkan isu seperti Melayu mungkin hilang kuasa, masyarakat Melayu mula berasa tergugat.

Yong Kai Ping berpendapat PR tidak cukup sekadar menangkis hujah tersebut, malah perlu mengambil langkah yang konkrit untuk menghapuskan keresahan masyarakat Melayu, misalnya mengemukakan cadangan bagaimana meningkatkan pendapatan golongan menengah-rendah.

Yang pastinya, BN dan PR kini memasuki peringkat yang baru dalam pergelutan politik Malaysia, dengan perbicaraan kes liwat Anwar dan cadangan "Kerajaan Perpaduan" yang terus menghantui PR. Politik penampilan imej dan silat lidah yang memihak kepada PR sebelum ini akan menjadi lembaran politik yang terselak...


*Yong Kai Ping bersama penganalisis politik Josh Hong dan Jamaluddin Ibrahim merupakan ahli panel dalam forum yang bertajuk "100 Hari Pentadbiran Najib". Forum yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor ini dianjurkan oleh therocknews, satu media internet dan Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor.

Kisah benar di-Lokap

Kisah benar di-Lokap
Penahanan Dua Aktivis DEMA

Oleh Ong Jing Cheng

Eksklusif Saya Ong Jing Cheng (gambar kiri) dan seorang kawan saya Yap Heng Lung telah ditahan ketika kami dalam perjalanan ke Akademik Pengajian Islam (API), Univerisiti Malaya untuk berjumpa kawan yang belajar di UM pada jam 8 malam, 12 Julai 2009. Motorsikal kami rosak ketika menghampiri kolam renang pusat sukan, maka kami terus berjalan kaki ke destinasi. Kami dipanggil seorang yang nampak garang dan tidak beruniform, memperkenalkan dirinya sebagai pengawal keselamatan di depan surau API.

Pengawal bercakap dengan suara garang ketika meminta kad pengenalan saya. Saya agak takut dengan orang yang tidak saya kenali dan garang itu. Saya cuba meminta kad identiti dia, tetapi dia menunjuk kad identitinya dengan menutup nombor dengan tangan, namanya Izaham. Oleh kerana dia menutup nombor, saya rasa lagi takut dan mahu terus masuk API untuk berjumpa kawan, tetapi tidak dibenarkannya. Selepas itu, dua orang yang tidak beruniform turut sampai, menambah ketakutan kami.

Bekerjasama dengan polis

Selepas itu, kawan kami Redzuan dan Aizat keluar jumpa kami, dan membuktikan bahawa kami memang ada temujanji, tetapi kami tidak tahu apa sebabnya mereka masih mendakwa kami sebagai penceroboh. Saya berasa takut dan meminta bantuan polis dari balai polis Lembah Pantai.

Tidak lama kemudian, polis beruniform datang dengan kereta polis, mereka meminta kad pengenalan kami, kami terus serahkan dan bekerjasama dengan polis, termasuk membuka beg untuk diperiksa polis.

Seterusnya kami dibawa ke tempat letak motosikal kami, saya ditanya polis tentang lakaran memorandum bertajuk "Jadikan Jalan Raya Kami Selamat" (Making Our Streets Safe) yang terdapat di bakul motosikal saya bawa, di mana memo ini ditulis kepada Perdana Menteri Najib Abdul Razak, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara. Walaupun saya telah menjawab kepada polis, bahawa itu ialah kertas untuk mengelap kotoran motosikal, dan saya telah menggunakannya untuk mengelap rantai motor yang penuh dengan minyak hitam.

Apabila kami dibawa ke balai polis, kita mendapati polis memang tidak profesional. Kami ingin membuat laporan tentang apa yang telah berlaku tetapi tidak dibenarkan. Polis pula menahan kami atas laporan yang dibuat oleh Izaham. Ini adalah double-standard. Membuat laporan polis adalah hak asasi manusia.

Setelah kami ditahan, kami diminta menandatangani satu dokumen tanpa penjelasan, tapi apabila saya baca, ini ialah dokumen yang menafikan hak-hak untuk mendapatkan bantuan peguam, dan nasib baik peguam telah sampai di balai polis dan menyuruh saya supaya tidak menandatanganinya. Mendapatkan bantuan peguam juga merupakan hak asasi manusia.

Ketika pegawai inspektor (IO) suruh polis membawa kami ke lokap, kami meminta untuk membuat laporan polis, namun dia jawab kami boleh buat laporan polis pada pagi esok. Tetapi pada hari esok, iaitu 13 Julai, kami terus dibawa ke Majistret untuk dipanjangkan tempoh tahanan. Pihak polis meminta supaya tahanan disambung empat hari, atas nama tidak bekerjasama dengan polis. Adakah tidak menandatangani surat penafian hak-hak mendapat bantuan peguam dianggap sebagai tidak bekerjasama? Akhirnya kami dipanjangkan tempoh tahanan selama dua hari.

Tiada makanan dibekalkan

Selepas balik dari majistret, kami terus dibawa ke balai polis Brickfield dan tidak diberi makanan tengah hari. Kami meminta makanan tengah hari, tetapi polis berkata tiada makanan di balai polis Brickfield, makanan hanya dibekal di lokap. Kami dibawa ke balai polis Brickfield untuk diambil keterangan oleh pegawai inspektor (IO). Saya meminta supaya ditemani peguam ketika mengambil keterangan, tetapi tidak dibenarkan atas sebab kami telah berjumpa dengan peguam pada malam 12 Julai. Akhirnya, kami tetap memberi keterangan.

Pada pagi 14 Julai, kami dibawa untuk berjumpa special branch. Kami diasingkan ketika soal siasat dijalankan. Mereka menanya tentang maklumat peribadi saya, sama ada ahli keluarga terlibat dalam mana-mana parti politik. Selain itu, mereka kelihatan sangat berminat untuk mengetahui sebab saya berjumpa dengan kawan saya Redzuan. Oleh kerana itu hak peribadi, saya tidak memaklumkan apa-apa.

Candle Light Vigil
budaya Kristian?


Selain itu, mereka juga memberi keterangan tentang perhimpunan menyalakan lilin (candle light vigil) ini ialah budaya kristian, saya disuruh google Good Friday untuk maklumat yang lebih lanjut. Menurut mereka, ISA ialah akta yang perlu untuk menjaga keamanan, tetapi ISA ialah akta yang terakhir untuk digunakan, dan menasihati saya supaya tidak menghadiri himpunan mansuhkan ISA pada 1hb Ogos ini. Kalau hadir, kemungkinan besar akan masuk balik lokap.

Atas usaha orang ramai termasuk rayuan segera (urgent appeal), menelefon pegawai inspektor (IO) kami dan perhimpunan menyalakan lilin (candle light vigil) pada 13 Julai malam, kami telah dibebaskan tanpa bersalah. Saya tengah fikir, polis yang profesional harus menyiasat dan mendapatkan bukti barulah menangkap, tetapi kami telah ditangkap baru disiasat, ini telah menyebabkan kami ditahan dua hari, kehilangan kebebasan sebanyak dua hari. Polis yang profesional seharusnya menyiasat sebelum menangkap supaya rakyat tidak ditahan begitu sahaja.

Macam-macam dalam lokap


Selain itu, polis juga menangkap pembantu siasat sekali apabila menangkap orang yang disyaki.

Terdapat beberapa kes dalam lokap yang kami jumpai. Seorang didapati memilik dadah maka empat orang lagi teman serumah juga ditahan. Kami juga mendapati satu kes di mana seorang budak disyaki mencuri, tetapi nenek, ibu dan lima kanak-kanak lagi juga ditahan termasuk seorang yang berumur 1 tahun. Saya berasa kesian atas kejadian yang saya nampak.

Di samping itu, kedua-dua malam saya dalam lokap, kami berjumlah 20 lebih orang tidur dalam satu ruang yang kecil, dan saya terpaksa tidur dekat dengan tempat buang air kencing, mandi dan berak. Pengaliran air itu tersumpat, bau memang cukup kuat dalam lokap itu.

Polis Meminta Maaf

Sebelum kami dibebas, polis meminta maaf dengan kami, dan memberitahu mereka bukan orang yang suka menangkap orang, saya rasa kemungkinan besar mereka juga mengikut arahan atas yang sangat mengambil berat tentang kawan yang saya mahu jumpa iaitu Redzuan, Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa, dan memorandum kepada Perdana Menteri baru kami, YAB Najib yang baru berkuasa 100 hari pada 11 Julai. Seorang lagi pegawai inspektor (IO) memberitahu API (bukan Adademik Pengajian Islam) panas pada malam Ahad yang saya ditahan. Saya sempat berjumpa dengannya pada hari yang dibebas iaitu 14 Julai, tetapi dia tidak jawab soalan saya, api siapa yang panas?


*Ong Jing Cheng ditahan pada malam 12 Julai atas tuduhan "mencerobohi kawasan Universiti Malaya".