21 Apr 2011

Myemail.my: Propaganda ditransformasi kepada pemantauan?

Ooi Heng | Apr 21, 2011 12:21:43 pm

Geram betul otak durianku! Sementara kita menyaksikan bagaimana isu fitnah video seks membawa masyarakat Malaysia ke arah kegilaan peradaban, kini rejim Najibnomics cuba membawa 16 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas ke arah kegilaan pemantauan (surveillance).

Bertopengkan slogan seperti "transformasi" dan "ETP" yang cuba mendoidoikan rakyat, Kerajaan Najib nampaknya sedang berusaha menangani cabaran dunia siber dan politik semasa dengan projek E-mel 1Malaysia yang cuba menyeragamkan tabiat warga siber lantas memudahkan kawalan terhadap warga siber atas nama keselamatan transaksi urusniaga kerajaan (awam) - tetapi dikendalikan oleh syarikat swasta yang terjalin hubungan nepotisme.

Bukankah transformasi yang diwar-warkan sepatutnya membawa perubahan ke arah emansipasi insan dan bukannya ke arah kegilaan? Otak durianku tidak faham, siapa yang mengilhamkan idea pemantauan ini kepada Perdana Menteri yang agung lagi mengagungkan? Selain percubaan menyelamatkan Syarikat Tricubes Berhad yang berdepan dengan masalah kewangan melalui pemberian kontrak E-mel 1Malaysia bernilai RM50 juta, apakah Kerajaan Najib cuba meyakinkan rakyat Malaysia bahawa unit PEMANDU yang dipertanggungjawabkan dengan "tugas transformasi" sebenarnya merupakan "unit propaganda" demi menyelamatkan rejim UMNO-BN?

Mengapa PEMANDU memasukkan projek bersifat pemamtauan dalam senarai panjang Program Transformasi Ekonomi (ETP)? Bukankah insan bergelar Idirs Jala (gambar kanan) kelihatan seperti seorang hero yang membawa pelan transformasi yang maju ke depan? Takkan beliau tidak tahu apa itu hak dan kebebasan peribadi atau privacy seseorang? Takkan beliau tidak membaca buku sejarah dan memahami bagaimana rejim pemerintah masa lampau melancarkan propaganda bertopengkan agenda transformasi masyarakat dan cuba memperbodohkan rakyat sesebuah negara lantas memudahkan kawalan terhadap rakyat dilakukan?

Propaganda yang dimaksudkan otak durianku merujuk kepada keadaan di mana rakyat dipaksakan untuk menyetujui "secara sukarela" dan secara massa sesuatu program kerajaan yang pelaksanaannya berkecenderungan menyeragamkan tabiat rakyat sehingga kawalan berkesan dalam era siber menjadi mungkin. Percubaan membentuk ketaksuban rakyat terhadap segala projek 1Malaysia sehingga retorik 1Malaysia berubah daripada slogan kepada identiti warga Malaysia secara paksaan sedang bergiat secara aktif.

Sedarkah Idris Jala bahawa Orang Asli, Iban Laut, Kadazan, Bidayuh, Melanao, Penan, Kelabit, Melayu, India, Cina dan etnik lain telah berdekad lama diperbodohkan oleh rejim pemerintah yang melakukan kawalan hampir sepenuhnya semenjak seseorang dilahirkan hingga dikuburkan? Kini warga siber pula cuba diperbodohkan?

Sesungguhnya, Kerajaan Najib telah membelanjakan sekitar RM60 juta untuk kegunaan penubuhan "unit propaganda" dan tambahan sekitar RM60 juta lagi untuk operasi unit tersebut…… Alamak! Terlanjur kata pula. Takkan duit berpuluh-puluh juta digunakan untuk propaganda, mestilah duit itu digunakan untuk "transformasi" dan "kebaikan rakyat". Inikan Kerajaan 1Malaysia 1Melayu 1Bumi?

Sukar untuk otak durianku menggalur-galur asal-usul idea propaganda yang begitu canggih. Jangan-jangan APCO lagi yang mengilhamkan idea sedemikian kepada pemimpin teragung yang sedang memikirkan kaedah menyelamatkan UMNO-putra bertopengkan Najibnomics! Kalau ya, adakah APCO cuba meyakinkan Perdana Menteri bahawa perkhidmatan e-mel percuma seperti Hotmail dan Gmail merupakan agenda "imperialisme budaya Barat", maka agenda Najibnomics haruslah memasukkan suatu pelakaran yang menggambarkan Najib sebagai seorang hero anti-imperialisme budaya Barat dengan berbekalkan E-mel 1Malaysia kepada 16 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas?

Tahukah Kerajaan Najib pengintaian maklumat peribadi tidak kira oleh pihak kerajaan atau pihak swasta adalah bercanggah dengan perlindungan hak peribadi seseorang yang diutamakan oleh dunia yang bertamadun seperti yang digariskan di bawah Artikel 12 Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 seperti berikut:

"Tiada sesiapa pun yang boleh dikenakan kepada sebarang gangguan sewenang-wenangnya terhadap keadaan peribadi (privacy), keluarga, rumahtangga atau surat-menyuratnya, atau percerobohan ke atas maruah dan nama baiknya. Setiap orang berhak kepada perlindungan undang-undang terhadap gangguan atau percerobohan sedemikian."

Sedarkah Kerajaan Najib bahawa laporan yang dikemukakan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa Privacy International bahawa, Malaysia menduduki tempat terakhir bersama-sama dengan China dan Russia yang dikategorikan sebagai "endemic surveillance societies" dengan markah indeks serendah 1.3 pada tahun 2007?

Menyentuh China sebagai surveillance societies atau masyarakat pemantauan, umum sedia maklum bahawa Kerajaan China merupakan Kerajaan Komunis yang sedang giat mengawal aktiviti dunia siber warga China dengan seribu bentuk kawalan. Kesan kawalan ketat yang dirasai warga China sekian lama mirip dengan kesan kawalan berbentuk panoptisme.

Menurut ahli falsafah British Jeremy Bentham, rekebentuk Panopticon adalah sebegitu rupa sehingga segala gerak geri banduan (dianalogikan dengan warga China) diawasi oleh penyelia (dianalogikan dengan rejim komunis) yang bertugas dalam menara Panopticon, tetapi pada masa yang sama, banduan tidak dapat melihat keadaan dalam sekitar menara Panopticon.

Dalam tesis penulisan Ketua Pengarang MerdekaReview Chang Teck Peng, beliau memetik penjelasan Bentham iaitu perlakuan dan fungsi kuasa berbentuk panoptisme adalah sedemikian rupa di mana kuasa seharusnya nyata (visible) dan tidak dapat diketahui (unverifiable).

"'Nyata' membawa maksud bahawa banduan sentiasa menyedari kewujudan menara pusat yang tinggi itu di depan mata, manakala 'tidak dapat diketahui' bermaksud banduan itu tidak mengetahui sama ada dia diawasi pada mana-mana ketika, tetapi dia sudah pasti bahawa dia memang sentiasa diawasi."

Dalam sejarah tamadun manusia dan emansipasi insan, kawalan secara tidak langsung dan hampir sepenuh yang dilakukan oleh rejim komunis seperti yang dilakarkan dengan konsep panoptisme juga dapat dilakukan oleh mana-mana rejim pemerintah yang lain.

Apakah rejim Najibnomics sesungguhnya menyokong kawalan berbentuk panoptisme bertopengkan agenda transformasi ekonomi? Jika tidak, Kerajaan Najib sewajarnya memberhentikan projek E-mel 1Malaysia dan bukannya membiarkan PEMANDU memasukkan projek tersebut dalam senarai panjang ETP, kemudian menjelaskan kononnya penggunaan E-mel 1Malaysia adalah secara sukarela.

Semasa Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Data Peribadi 2009 untuk bacaan kedua pada 5 April 2010, beliau menegaskan bahawa fungsi akta tersebut merangkumi perkara-perkara berikut:

1. Melindungi data peribadi individu supaya tidak disalah guna;
2. Mematuhi Undang-undang Perlindungan Data Peribadi supaya hak rakyat terpelihara; dan
3. Tindakan penguatkuasaan untuk membanteras penyalahgunaan data peribadi.

Sepanjang perbahasan RUU tersebut, persoalan sama ada RUU tersebut dapat mengawal selia data peribadi dalam transaksi yang melibatkan urusan kerajaan menjadi tajuk perbahasan hangat. Hal ini kerana di Malaysia, kerajaan merupakan pihak yang paling banyak terlibat dengan data peribadi, bukan mana-mana pihak yang lain.

Namun tanpa bilangan ahli parlimen yang cukup ramai daripada pihak pembangkang, Akta Perlindungan Data Peribadi 2009 diluluskan tanpa mengeluarkan frasa kata "transaksi komersial" atau memasukkan frasa kata "urusan awam atau kerajaan", maka Seksyen 2 telah menetapkan bahawa akta tersebut hanya merangkumi transaksi komersial dan berbunyi seperti berikut:

2. (1) Akta ini terpakai bagi—
(a) mana-mana orang yang memproses; dan
(b) mana-mana orang yang mempunyai kawalan terhadap atau membenarkan pemprosesan, apa-apa data peribadi berkenaan dengan transaksi komersial.

Meskipun PEMANDU menjelaskan E-mel 1 Msia ialah inisiatif diterajui swasta, oleh Tricubes Berhad, dengan pelaburan daripada syarikat swasta dan bukannya kerajaan, tetapi masih banyak tanda tanya yang menanti-nanti jawapan daripada Kerajaan Najib.

Memandangkan akta tersebut hanya mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial, sementara Tricubes Berhad semasa melancarkan perkhidmatan "Citizen Inbox" – myemail.my, menegaskan bahawa perkhidmatan e-mel tersebut akan membolehkan rakyat Malaysia secara langsung berkomunikasi dengan pemimpin-pemimpin kerajaan dan menerima maklum balas secara langsung daripada mereka, maka persoalannya adalah, adakah data peribadi warga Malaysia dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2009 apabila kegiatan dan urusan tidak bersifat komersial seperti komunikasi dengan pemimpin kerajaan dilakukan melalui perkhidmatan tersebut?

Sesungguhnya, jika diteliti mesej yang dipaparkan dalam laman web myemail.my, memang ditekankan aspek interaksi dan komunikasi antara warga negara dengan kerajaan, adakah kegiatan sedemikian dianggap melibatkan transaksi komersial? Jika tidak, apakah projek myemail.my akan diberhentikan sehingga kerajaan membentangkan pindaan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2009 yang menjamin perlindungan data peribadi warga Malaysia untuk sebarang urusan dan bukannya terhad kepada transaksi komersial sahaja?

Nampaknya, kini tiba waktu di mana pengundi Malaysia wajar mempertimbangkan bagaimana undi kita dapat menyumbang kepada pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2009 agar hak peribadi kita dilindungi bukan sahaja dari segi transaksi komersial tetapi juga dari segi urusan kerajaan.

Sebelum menggunakan perkhidmatan E-mel 1Malaysia, bacalah karya George Orwell berjudul "1984". Maka fahamlah anda bahawa myemel.my bermaksud "Abang Besar sedang mengawasi anda!"

Baca: 1Malaysia email: Tricubes Berhad dimiliki secara tidak langsung adik Najib

*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.

Anwar mesti dihapuskan, demi survival UMNO

| Apr 21, 2011 11:48:27 am

Demi survival politik UMNO Anwar mesti dihapuskan. Walau dengan apa cara sekalipun watak ini mesti dihapuskan dari arus politik Malaysia. Watak inilah yang menggelorakan arena politik Malaysia yang sebelum ini tenang tidak pernah bergoyang sedikitpun. Sama ada orang suka atau benci, Anwar pernah disenarai oleh TIME MAGAZINE 2008 sebagai antara 100 tokoh dunia paling berpengaruh sebaris dengan Obama, Vladimir Putin, Hillary Clinton, Sonia Gandhi John McCain dan lain-lain. Beliau belum pernah gagal dalam sebarang pertandingan. Jenayah paling besar yang pernah dilakukannya ialah mencabar Mahathir pada tahun 1998. Sejak itu nasibnya pun berubah. Satu demi satu kawan berpaling tadah.

Tsunami Politik 2008 adalah antara kesan dan pengaruhnya. BN hilang kuasa 2/3 di parlimen. Jika tsunami politik berskala lebih besar melanda PRU13 dan Putrajaya terbungkas maka pada ketika itu rakyat akan tahu bahawa terdapat sebuah terowong bawah tanah menghubungkan Putrajaya dan KLIA. Pada ketika itu lubang-lubang tikus di sempadan juga akan menjadi tidak selamat.

Dia adalah penggugat yang mengancam tahta dan singahsana kuasa berupaya menggegarkan tenaga muda progresif membina garis baru politik Malaysia - Negara bangsa yang adil serta hak asasi lebih terjamin.

Politik UMNO adalah warisan politik bangsawan Melayu feudal yang melihat Jebat sebagai orang yang sangat berbahaya. Warisan Pateh Karma Wijaya mencetus fitnah yang menyebabkan Jebat mengamuk dan akhirnya dibunuh. Pun begitu, Jebat tidak pernah mati. Semangat Jebat terus hidup dalam setiap jiwa yang cintakan keadilan.

Dalam konflik kuasa politik orang-orang Melayu sejak dulu fitnah adalah aparat politik yang sangat ampuh untuk menghapuskan musuh. Dalam hal ini Datok Bahaman pernah berpesan kepada pengikutnya agar jangan sekali-kali percaya kepada pembesar-pembesar Melayu. Bahaman adalah panglima raja - bergelar Orang Kaya Semantan menentang dasar cukai tanah yang zalim oleh Inggeris di Pahang akhirnya menjadi orang buruan. Minumannya pernah dibubuh racun dalam satu majlis bersama pembesar-pembesar Melayu di Kota Bharu pada tahun 1896. Ia terselamat dan selepas itu Bahaman kemudian menukar namanya untuk setiap perjalanannya agar jejak beliau tidak dikesan.

Abdullah CD adalah warisan Perang Bahaman pemimpin Regimen 10 yang memakai berbagai nama dihutan akhirnya termakan juga racun yang dimasukkan di dalam makanannya. Dia diracun oleh orang yang diupah pada tahun 1971 yang kemudian telah membuat pengakuan secara pribadi kepadanya. Ketika itu Regimen 10 (Melayu) amat menjadi ancaman terhadap UMNO.

Dalam kes Anwar walaupun dikenali sebagai pemimpin yang begitu toleran namun Anwar adalah pemberontak terhadap ketidakadilan dan kerakusan kuasa kaum bangsawan Melayu yang telah berlanjutan lebih setengah abad. Pidatonya jitu dan mencengkam jiwa pendengar serta mampu mencetuskan gelombang kebangkitan di kalangan orang muda.

Lebih menggugat apabila dia berjaya membawa PAS-DAP duduk semeja sekaligus menghancurkan seluruh usaha UMNO selama ini agar PAS dan DAP terus bercakaran. Anwar juga telah berjaya mengubah persepsi negatif orang-orang Tionghua terhadap PAS. Sokongan orang-orang Tionghua terhadap calon PAS di beberapa kawasan pilihanraya kecil menjadi bukti perkara ini. Sebelum ini PAS adalah "kui" atau hantu kepada orang Tionghua yang selalu diusik-usik oleh pemimpin-pemimpin UMNO supaya menjauhi parti ini kecuali jika mereka sanggup disunat….!

Anwar berjaya melunturkan kepercayaan orang-orang Tionghua terhadap MCA dan Gerakan. Di Bandar-bandar di Semenanjung boleh dikatakan hampir tiada lagi orang-orang Tionghua yang percaya pada MCA atau Gerakan. Kalau adapun mungkin yang sangat terpencil. Arus ini tidak mungkin surut lagi malah diramal akan menjadi gelombang lebih besar dalam PRU 13 nanti. Ada baiknya pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan bungkus kain baju mereka dan tinggalkan parti. Parti itu sudah tidak relevan. Orang-orang Tionghua tidak mudah dibeli dengan duit seperti orang Melayu, Malanau, Iban dan Kardazan. Sekolah Cina telah wujud di Malaya sejak tahun 1930 lagi ketika itu sekolah Melayu pun belum ada. Ini bermakna mereka kenal huruf-huruf p-o-l-i-t-i-k itu lebih awal.

Selain daripada fitnah dan isu perkauman apakah alat lain yang boleh diketengahkan untuk menyekat Anwar kecuali good governance dan jangan menindas rakyat. Dan ini tidak mungkin terjadi! Dalam hal ini pilihan yang ada ialah "Anwar" dia mestilah dihapus demi kesinambungan kuasa bangsawan Melayu itu. Sekali lagi kaum bangsawan menuduh Anwar sebagai orang keciwa yang kononnya memberi harapan kepada orang-orang Tionghua untuk memerintah negara ini.

Fitnah bersiri yang dilancarkan UMNO terhadap Anwar bukanlah suatu yang aneh kerana hanya cara ini sahaja watak ini boleh dihapuskan. Selain Anwar siapa lagi yang boleh menyatukan PAS-DAP yang sepanjang sejarah bertikaian tetapi hari ini telah menjadi benteng baru untuk rakyat sandarkan harapan. Sebelum ini pemimpin-pemimpin besar UMNO tidak pernah percaya bahawa akan wujud barisan alternatif seperti BN. Justeru mereka percaya hanya BN sahaja yang boleh mendirikan kerajaan.

Lebih 50 tahun PAS dan DAP dilaga-lagakan agar berkelahi seperti anjing dengan kucing. Bila anjing dan kucing sibuk bercakar maka ada peluang untuk mereka menyelongkar. Anwar telah menukar emosi anjing dan kucing hingga mereka boleh makan bersama. Justeru kebelakangan ini, strategi melaga-lagakan PAS - DAP sudah tidak berguna lagi. Dalam keadaan ini adakah aneh sekiranya "Anwar" dijadikan sasaran supaya semuanya berkecai! Rekayaksa video lucah dan tayangannya di TV untuk ditonton oleh rakyat adalah hanya untuk memainkan emosi Melayu. Kenapakah isu Sodomi dan video lucah ini langsung tidak mempengaruhi masyarakat Tionghua?

Ternyata isu video lucah ini telah digunakan sepenuhnya oleh UMNO demi menyelamatkan Serawak dalam PRN baru-baru ini. Ia telah ditayangkan tidak henti-henti tanpa ada sedikitpun perasaan bersalah kerana melancarkan fitnah yang besar. Ia belum pasti benar dan dilarang Allah. Kerja terdesak ini hanya sanggup dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang sangat jahat dan rendah akhlaknya.

Isu video lucah ini meletup pada hari DUN Serawak dibubarkan. Tayangan video ini terhenti sebaik sahaja pilihanraya selesai. Kenapa tidak diteruskan saja tayangan itu dan CDnya dibekalkan ke setiap sekolah supaya semua anak-anak kita di sekolah juga tahu siapa itu Anwar Ibrahim! Bila mereka keluar sekolah nanti mereka semuanya akan mendaftar menjadi ahli UMNO.

Anwar adalah pemimpin kepada kelas rakyat yang mendambakan pembelaan yang hidup tapi mabuk dalam derita. Kelas ini miskin namun mereka tidak tahu bahawa tidak sepatutnya miskin dalam sebuah negara yang begitu kaya. Mereka tidak sedar walaupun mereka bekerja keras namun hidupnya berselimut hutang demi menyara keperluan keluarga dan pendidikan anak-anak. Mereka tidak peduli dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang horaa sana dan horaa sini dengan duit yang mereka rompak dan pau daripada rakyat menerusi berbagai sumber cukai, lesen, permit, denda, toll, saman ekor dan sebagainya. Dengan berbagai-bagai cara mereka tekan dan tindas asal mereka boleh dapat duit dari saku rakyat

Semua fitnah ini perlu dilancarkan demi melencungkan perhatian rakyat terhadap pelbagai penyelewengan. Kritikan terbuka Anwar terhadap keterlibatan Najib dalam kes rasuah pembelian jet Sukhoi dan kapal selam Scorpene sebanyak RM500 juta oleh Kementerian Pertahanan telah menjadi rekod umum. Begitu juga desakan yang berulang kali dari Anwar terhadap Najib membenarkan penyiasatan bebas bagi membersihkan namanya dan Rosmah atas dakwaan berwibawa pembunuhan yang terkenal - wanita Mongolia Altantuya Shaaribuu.

Ternyata UMNO bukan saja telah menyalahguna media milik kerajaan malah lembaga-lembaga awam seperti Polis, Pejabat Peguam Negara, Lembaga Kehakiman Suruhan-jaya demi kuasa. Tanpa mempeduli tunjang sebuah negara demokrasi iaitu separation of power seluruh lembaga ini sejak 1998 telah dikerah untuk menghapuskan seorang yang bernama Anwar Ibrahim kerana ia memimpin kesedaran kelas yang mengancam masa depan BN. Untuk menghapuskan watak ini tidak mustahil juga pada PRU 13 kita akan menyaksikan RPK, Nalakarupan dan Ummi Hafilda akan bergabung membalun Anwar. Dalam politik kawan adalah musuh yang paling berbahaya.

Sudah 13 tahun Anwar dipukul dan dibalun. Dihina supaya ia dibenci namun nampaknya watak ini tidak terjejas sedikitpun. Yang terakhir ialah konspirasi video lucah yang tidak begitu rapi perancangannya telah mendedahkan kejahatan mereka selama ini. Sanggupkah mereka menyembelih ketiga-tiga monyet video lucah itu sebagai langkah bermuka-muka terhadap rakyat dan apakah akan terjadi sekiranya ketiga-tiga monyet ini menyanyi mengikut musik kemudian melompat menggigit lengan tuannya sekiranya ia ingin disembelih seperti si toyol.

Anwar tidak akan mati dek keris pundek UMNO yang sebilah itu. Sudah 13 tahun dia dibalun bertalu-talu. Suaranya terus lantang dan matanya tetap tajam memaku wajah orang yang membuat tuduhan terhadapnya. Tidak henti-henti turun naik mahkamah tinggi dan rendah terutama apabila menjelang pilihanraya kecil. Pada 21 Februari 2011 hari dia dibicarakan Sodomi II dia dikatakan sempat pula melanggan seorang perempuan cina - dikatakan pelacur untuk melampiasi nafsu gilanya. Benarkah dia begitu rendah?

*Tulisan ini dipetik dari blog Tongkat Bahaman.

E-Mel 1Malaysia: Projek kerajaan atau projek swasta?

Neo Chee Hua | Apr 20, 2011 05:41:35 pm

"Sebelum saya tidur, biar saya jelaskan bahawa Email 1Malaysia adalah projek sektor swasta. Ia tidak melibatkan dana awam terlibat, dan keseluruhannya adalah sukarela," demikianlah mesej tweeter Perdana Menteri Najib Razak semalam.

Malah sebelum Najib, PEMANDU juga menyatakan bahawa Email 1Malaysia tidak diwajibkan kepada semua warga Malaysia. Ia adalah satu projek yang diterajui Tricubes Berhad dari sektor swasta, dan Tricubes Bhd yang bertanggungjawab terhadap pelaburannya, bukan kerajaan.

Penjelasan ini diumumkan setelah projek bernilai RM50 juta ini mencungkil pertikaian dari pelbagai pihak. Malah, seperti bantahan terhadap pembinaan Menara 100 tingkat sebelum ini, satu laman telah direka di facebook bernama "1M Malaysians who don't want Najib's 1 Malaysia email" , menarik penyertaan puluhan ribu dalam masa 24 jam.

Sungguhpun demikian, maklumat yang diperolehi menunjukkan kata-kata Najib adalah saling bertentangan. Menurut media internet The Malaysian Insider, unit kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memantau projek ini, MAMPU - telah mengeluarkan satu panduan pembidaan. KPI untuk projek ini adalah, menjadikan 100% warga Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas sebagai pengguna Email 1Malaysia menjelang tahun 2015.

Dokumen yang berkenaan juga menunjukkan bahawa syarikat yang berjaya untuk membida projek ini perlu mengemukakan kepada kerajaan, bagaimana untuk menjadikan 50% pengguna Email 1Malaysia menggunakan perkhidmatan tambahan, seperti e-bayar dan sebagainya, menjelang tahun 2020.

Petanda-petanda ia sebagai projek kerajaan

Selain itu, penjelasan Najib dan PEMANDU bahawa projek ini adalah pelaburan sektor swasta dan tidak melibatkan dana awam juga memperlihatkan kontradiksi. Pertama, sila rujuk laporan Bernama pada 19 April.

"Najib berkata kerajaan telah mula meninjau inisiatif tanpa kertas dan e-kerajaan dalam usaha untuk menjadi lebih mesra alam dan moden, inisiatif berikutnya, yang termasuk dalam CCI (Communications Content and Infrastructure) NKEA, merupakan kajian asas terhadap perkhidmatan kaunter dan kerajaan tanpa kertas.

Projek tersebut bertujuan mewujudkan pengukuran asas terhadap inisiatif kerajaan untuk menambah baik perkhidmatan, khususnya dalam transformasi ke arah kerajaan elektronik (EG) dan ke arah tanpa kertas.

Diuruskan oleh Unit Permodenan, Pentadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Rangkaian Telekomunikasi Bersepadu Kerajaan (GITN), projek itu melibatkan kutipan data dan analisis perkhidmatan e-kaunter, transaksi elektronik dan inisiatif kerajaan tanpa kertas dalam sektor awam, penilaian pusat data agensi kerajaan serta perkhidmatan dan infrastruktur rangkaian.

Apabila siap kelak, ia akan memastikan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan lebih telus, sesuai bagi tujuan, berkesan kepada rakyat. Kerajaan akan melabur RM3.261 juta dalam projek itu yang akan menyaksikan pewujudan 155 pekerjaan.

Beliau berkata CCI NKEA juga memulakan inisiatif kerajaan untuk menyediakan akaun e-mel rasmi dan unik serta pengenalan bagi warganegara Malaysia.

Perdana Menteri berkata dengan kesan PNK sebanyak RM39 juta sehingga 2015, inisiatif e-mel 1MY ini akan membolehkan komunikasi langsung dan terjamin antara warga Malaysia dan kerajaan serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada pelanggan dan perniagaan."

Dengan kata lain, projek e-mel 1MY ini adalah sebahagian daripada pelaburan kerajaan di bawah CCI NKEA. Pada masa yang sama, Najib mengumumkan bahawa "Tricubes Bhd akan menerajui pelaburan berjumlah RM50 juta ini yang turut termasuk pembangunan portal web, akaun e-mel semua warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas, pusat setempat bagi perkhidmatan kerajaan, peruntukan untuk perkhidmatan nilai tambah seperti perangkaian sosial, semakan bil dalam talian serta pembayaran, tambahan kepada perkakasan pembangunan web untuk warga dan entiti perniagaan untuk aplikasi membangunkan kreatif."

Bagaimana syarikat bermasalah melabur?

Di samping itu, Tricubes Bhd telah mengeluarkan kenyataan kepada Bursa Malaysia pada 4 April 2011 bahawa syarikatnya memperolehi satu projek e-mel daripada MAMPU. MAMPU mengeluarkan surat rasmi kepada Tricubes berhubung kontrak projek e-mel 1MY pada 29 Mac 2011, dan Tricubes akan berbincang dengan kerajaan dalam projek ini. Tiada maklumat terperinci dilampirkan, tidak dinyatakan sama ada ia Public Private Partnerships (PPP) atau Private Finance Initiative (PFI). Dalam keadaan biasa, ia menunjukkan pada dasarnya, ia adalah procurement.

Pada masa yang sama, menurut laporan The Malaysian Insider, sejumlah lima buah syarikat terlibat dalam pembidaan projek ini. Seandainya projek ini adalah pelaburan swasta, mengapa MAMPU tidak memilih syarikat yang lebih kukuh keadaan kewangannya, sebaliknya memilih sebuah syarikat yang bermasalah kewangan?

Menurut maklumat Bursa Malaysia, Tricubes telah disenaraikan sebagai status BN3 dan perlu mengetengahkan program penstrukturan kewangan, atau berdepan dengan nasib "delist". Selain itu, menurut laporan kewangan 2010 Tricubes, syarikat ini telah mengalami kerugian bersih sebanyak RM3.35 juta (RM3,346,752).

Melihat kepada Tricubes yang sudah dibeban dengan masalah kewangan sendiri, persoalan yang timbul adalah, bagaimana syarikat ini mampu untuk mendapatkan modal yang secukupnya untuk memastikan kestabilan dan kelangsungan projek ini? Tiada jawapan untuk soalan ini daripada Najib, PEMANDU malah Tricubes Bhd sendiri sehingga sekarang.

Baca: 1Malaysia email: Tricubes Berhad dimiliki secara tidak langsung adik Najib

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview. Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal.

20 Apr 2011

Khir Toyo: BLR, Inflasi dan Risiko Politik

| Apr 20, 2011 12:49:44 pm

1. Pada bulan hadapan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengadakan satu lagi mesyuarat membabitkan isu Overnight Policy Rate (OPR). Sebelum ini pada bulan Mac lalu BNM tidak membuat sebarang kenaikan OPR. Pada tahun 2010 sebanyak tiga kali kenaikan OPR diumumkan pada Mac, Mei dan Julai yang menyebabkan kenaikan dari 2.0 kepada 2.75.

2. Kenaikan OPR ini akan berkait langsung dengan kenaikan Base Lending Rate (BLR) atau Kadar Pinjaman Asas. BLR turut meningkat sebanyak tiga kali dari 5.55% pada 2009 kepada 6.30 pada Julai 2010.

3. Salah satu tujuan kenaikan OPR dan BLR ialah untuk membendung inflasi. Kebanyakan kita bukan pakar ekonomi jadi kita sendiri tentu sukar untuk memahami bagaimana menaikan kadar pinjaman asas boleh membantu mengurangkan inflasi. Hakikatnya kita terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang untuk membayar hutang.

4. Apa yang saya faham secara mudah (mungkin betul atau salah pemahaman ini) ialah kenaikan OPR dan BLR akan menaikkan kadar faedah bagi simpanan. Secara teorinya ini akan menggalakkan orang ramai menabung bagi mendapat faedah yang tinggi. Dengan penabungan iaitu menyimpan di bank, orang ramai akan kurang berbelanja. Ini akan mengurangkan permintaan (teori penawaran dan permintaan) sekaligus menurunkan harga barangan. Penurunan harga barangan akan menurunkan inflasi.

5. Namun persoalan yang jarang dijawab oleh pengamal ekonomi yang mahu mengawal inflasi melalui kaedah ini ialah apakah inflasi hari ini disebabkan permintaan yang lebih daripada penawaran atau kerana peningkatan harga barangan keperluan di luar kuasa pembeli?

6. Tanda-tanda BNM hendak menaikkan kadar OPR tampak jelas apabila beberapa penganlisis ekonomi yang "mesra" kerajaan meramalkan kenaikan ini bagi mengawal inflasi.

7. Pada tahun lalu BNM menaikkan OPR sebanyak tiga kali apabila negara mengalami inflasi. Malangnya kenaikan sebanyak tiga kali tersebut gagal mengawal inflasi apabila inflasi terus meningkat pada bulan Disember lalu sehingga kini.

8. Mengapa ia gagal? Ini kerana kenaikan kadar inflasi di Malaysia pada masa kini berkait rapat dengan kenaikan harga barangan asas dan keperluan utama yang sebahagiannya dikawal oleh kerajaan.

9. Misalnya pada tahun 2010 sebelum kenaikan OPR, kadar inflasi negara naik akibat kenaikan ketara bagi kumpulan utama yang berwajaran tinggi seperti makanan dan minuman bukan alkohol (1.6%); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.0%); dan pengangkutan (0.7%). Kenaikan-kenaikan lain ialah minuman alkohol dan tembakau, dan pelbagai barangan dan perkhidmatan masing-masing pada 2.9%; perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan 2.7%; pendidikan 1.8%; restoran dan hotel 1.6%; kesihatan 1.5%; dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah 0.7%.

10. Selepas kenaikan BLR pun, inflasi masih meningkat. Kenaikan kadar inflasi sejak beberapa bulan lalu dilaporkan oleh FOMCA. Menurut Fomca,

"Kadar inflasi Malaysia pada Disember 2010 naik kepada 2.2%, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 19 bulan. Kenaikan kadar inflasi ini berpunca daripada lonjakan harga makanan, komoditi dan penurunan subsidi oleh kerajaan pada akhir tahun 2010. Penurunan subsidi yang menyaksikan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak lima sen seliter, LPG lima sen sekilogram dan gula 20 sen sekilogram serta sambutan perayaan Krismas dan cuti sekolah telah mendorong kenaikan inflasi.

Bagaimanapun, kadar inflasi negara masih jauh lebih rendah berbanding Indonesia 6.9%, Thailand 3%, Korea 3.5% dan India 8.4%."

11. Jelas sekali sebahagian besar punca kenaikan harga barang adalah kerana kerajaan memotong subsidi. Jadi kadar inflasi yang tinggi ini ialah akibat pemotongan subsidi. Justeru kenaikan OPR dan BLR tidak memberi kesan apa-apa kepada inflasi kerana majoriti rakyat membayar barangan ini bukan untuk kemewahan tetapi untuk keperluan.

12. Lihat kenaikan-kenaikan harga barangan yang mengakibatkan inflasi melonjak tinggi adalah akibat daripada pemotongan subsidi dan kenaikan harga bahan tenaga bukannya kerana lebihan permintaan berbanding penawaran.

13. Dengan menaikkan OPR dan BLR, rakyat bukan sahaja terpaksa membayar barangan harian yang tinggi tetapi perlu menjelaskan hutang pinjaman perumahan dan peribadi yang lebih tinggi. Ini bermakna rakyat akan terus dibeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

14. Kenaikan BLR hanya menguntungkan sekumpulan kecil rakyat Malaysia yang mempunyai wang berjuta ringgit dalam simpanan tetap tetapi menindas majoriti rakyat. Saya berharap kerajaan tidak membenarkan polisi ekonomi negara yang membabitkan BLR ini ditentukan oleh birokrat ekonomi BNM sahaja.

Risiko Politik

15. Setiap kali kenaikan OPR dan BLR yang ketara dari tahun sebelumnya, Barisan Nasional akan berhadapan dengan keputusan pilihan raya yang tidak memberangsangkan. Walaupun terdapat banyak faktor lain yang mempengaruhi keputusan pilihan raya, namun kenaikan BLR turut memberi kesan negatif kepada BN.

16. Keputusan pilihan raya 2008 dan 1999 berbanding 2004 dan 1995 kepada BN boleh dihubungkan dengan naik turun BLR. Pada 2008, BLR ialah sebanyak 6.75 berbanding pada 2004, 6%. BLR 6% kekal sehingga 2006 sebelum dinaikkan pada 2007 dan 2008. Akibatnya kita tahu apa yang berlaku pada tahun tersebut kepada BN.

16. Pada 1999, BLR ialah pada 8% dan kita juga tahu nasib BN ketika itu. Memang benar ada faktor lain yang lebih besar. Namun himpitan terhadap majoriti rakyat yang mempunyai pinjaman ini menyebabkan pembangkang mengambil kesempatan membakar kemarahan rakyat terhadap isu Anwar Ibrahim. Pada 1995 BN mencapai kemenangan cemerlang, BLR ketika itu ialah 6.6 (berbanding 1994 sebanyak 8.25% dan 1993 sebanyak 9.5%).

17. Jadi fikir-fikirkanlah sebelum menggunakan taktik OPR dan BLR ini untuk mengawal inflasi. Inflasi tak terkawal, rakyat makin susah. Bukankah tujuan mengawal inflasi untuk membantu rakyat. Tapi jika ia lebih menyusahkan rakyat apa perlu dikawal dengan kaedah ini?

18. Dalam usaha mengatasi kadar inflasi yang tinggi jangan pula kita menjadi seperti tikus membaiki labu.

*Khir Toyo (gambar kiri) ialah bekas Menteri Besar Selangor, dipetik dari blog-nya.

1Malaysia email: Tricubes Berhad dimiliki secara tidak langsung adik Najib

Neo Chee Hua | Apr 20, 2011 11:54:31 am

Syarikat Tricubes Berhad yang diberikan kontrak 1Malaysia email bernilai RM50 juta kini berdepan dengan masalah kewangan, dan disenaraikan Bursa Malaysia sebagai status GN3. Seandainya syarikat ini gagal mengetengahkan program menstruktur semula kewangannya pada hujung Oktober 2011, maka ia mungkin berdepan dengan nasib untuk ditarik dari penyenaraian (delist).

Apa yang menarik, pemegang saham kedua terbesar Tricubes Berhad adalah Commerce Technology Ventures Sdn Bhd, iaitu Private Equity Fund yang ditubuhkan Bank Negara bersama Commerce Group (atau Bumiputra-Commerce Holdings Berhad Group).

Commerce Group atau Bumiputra-Commerce Holdings Berhad Group kini telah dinamakan sebagai CIMB Group, diterajui oleh adik Perdana Menteri Najib Razak, iaitu Nazir Razak (gambar kanan). Nazir Razak adalah Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan telah memberikan satu projek baru bernilai RM50 juta kepada Tricubes Bhd untuk mendirikan satu laman internet, dan setiap warga negara berumur 18 tahun ke atas akan dibuka satu akaun email - "1Malaysia email" untuk kegunaan rasmi; sementara mendirikan pusat perkhidmatan e-kerajaan, termasuk laman sosial, pembayaran hutang melalui internet dan sebagainya.

Namun demikian, menurut maklumat Bursa Malaysia, Tricubes telah disenaraikan sebagai status BN3 dan perlu mengetengahkan program penstrukturan kewangan, atau berdepan dengan nasib "delist".

Dalam satu kenyataan Tricubes pada 29 Oktober 2010, lantaran daripada kebimbangan oleh juruaudit terhadap laporan kewangan Tricubes sehingga 31 Mac 2010, ditambah pula shareholders' equity yang lebih rendah daripada 50% modal sehingga Jun 2010, maka ia telah melanggar peraturan penyenaraian, lantas dimasukkan ke adalam status GN3.

Selain itu, menurut laporan kewangan 2010 Tricubes, syarikat ini telah mengalami kerugian bersih sebanyak RM3.35 juta (RM3,346,752). Meskipun Tricubes memohon agar Bursa Malaysia mengecualikan dirinya daripada peraturan GN3, namun Bursa Malaysia enggan meluluskan permintaannya.

Menurut peraturan GN3 di Bursa Malaysia, Tricubes perlu mengemukakan satu rancangan penstrukturan semula kewangannya dalam tempoh 12 bulan, bermula 29 Oktober 2010 (tarikh dimasukkan ke status GN3). Malah, rancangan tersebut perlu diluluskan Bursa, malah dilantik penajanya dalam masa tiga bulan, dan menghabiskan program penstrukturan semula dalam masa enam bulan selepas diluluskan Bursa.

Jikalau Tricubes gagal mematuhi mana-mana peraturan, maka Bursa Malaysia boleh menghentikan sementara jual-beli saham syarikatnya, dan kemudian menarik penyenaraiannya (delist).

Menurut kenyataan terbaru Tricubes pada 1 April 2011, tiada perkembangan yang besar dalam rancangan penstrukturan semula kewangan syarikat tersebut. Menurut had tempoh, Tricubes harus menghantar laporan penstrukturan kewangannya sebelum 29 Oktober 2011, dan mendapat kelulusan daripada Bursa Malaysia - untuk mengelakkan dirinya daripada ditarik penyenaraiannya (delist).

Sebagaimana yang diketahui, Tricubes cuba membida 32.2% saham Pos Malaysia daripada Khazanah Nasional Berhad, tetapi gagal.

Pada saat-saat yang genting ini, Najib membawa cahaya harapan kepada penstrukturan semula kewangan Tricubes apabila mengumumkan pemberian projek 1Malaysia email bernilai RM50 juta kepadanya. Berikutan kontrak ini, Tricubes mungkin sempat untuk mengemukakan rancangan penstrukturan kewangannya sebelum hujung Oktober.

Apa yang dipertikaikan, PEMANDU yang mendakwa diri mengutamakan meritokrasi dan ketelusan itu, melantik sebuah syarikat yang berdepan dengan masalah kewangan untuk melaksanakan projek kerajaan ini.

Menurut maklumat rasmi, pemegang saham kedua terbesar Tricubes adalah Commerce Technology Ventures, ditubuhkan pada Julai 2000, dengan fungsi utamanya membekalkan modal untuk pembangunan teknologi. Sehingga hari ini, syarikat ini telah melabur di 22 buah syarikat, termasuk 10 buah syarikat telekomunikasi, enam syarikat advanced manufacturing, lima syarikat life science dan satu lain-lain.

Modal Commerce Technology Ventures dikendalikan CAV Private Equity Management Sdn Bhd, syarikat ini adalah salah satu syarikat di bawah CIMB Group. Menurut laporan kewangan Tricubes 2010, Commerce Technology Ventures merupakan pemegang saham kedua terbesar yang memegang 15.63% saham. Pemegang saham terbesar Tricubes adalah Khairun bin Zainal Mokhtar - selain memiliki 15.72% saham secara langsung, juga memiliki 14.17% saham melalui Ambank.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview. Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal.

19 Apr 2011

Zairil kepada Mahathir: Usah berkata jika tiada yang bernas

| Apr 19, 2011 04:03:47 pm

Saya berasa amat kesal dan kecewa dengan kenyataan terbaru Mahathir Mohamad yang mendakwa bahawa parti DAP telah berjaya membawa politik perkauman kepada Sarawak. Tuduhan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab dan tidak berasas sama sekali.

Sebaliknya, adalah sindiran-sindiran yang sebegitu rupa yang menjadi punca ketegangan antara kaum di Malaysia. Sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan negarawan yang dihormati ramai, beliau sepatutnya lebih matang dan tidak mengapi-apikan tohmahan yang boleh memecah-belahkan rakyat.

Sebagai seorang yang telah terlibat secara terperinci dalam proses perancangan, perangkaan strategi dan pelaksanaan kempen DAP untuk Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, saya boleh mengesahkan dengan tegasnya bahawa tiada sedikit pun unsur perkauman yang cuba dibangkitkan oleh parti kami.

Sepanjang kempen, isu-isu yang telah kami tekankan adalah seperti masalah pentadbiran, penyalahgunaan kuasa, rasuah yang berleluasa, polisi ekonomi yang tidak memanfaatkan rakyat, inflasi yang kian melambung dan kegagalan kerajaan untuk mengatasi masalah-masalah di atas.

Mungkin dalam pendapat Mahathir, hanya masyarakat Cina sahaja yang mengambil berat tentang isu-isu sedemikian? Bukankah itu satu penghinaan kepada rakyat Sarawak dan rakyat Malaysia secara umumnya?

Sebaliknya, pihak yang telah cuba menakut-nakutkan pengundi dengan isu-isu perkauman adalah parti-parti daripada BN seperti SUPP, PBB dan MCA.

Namun, rakyat Sarawak telah membuktikan kematangan mereka kerana tidak termakan umpan bersifat parokial seperti dakwaan bahawa "masyarakat Cina" akan kehilangan perwakilan dalam kerajaan jika wakil-wakil Cina daripada BN tidak berjaya dalam pilihanraya.

Seperti yang sudah sedia maklum, keputusan pilihanraya jelas menunjukkan bahawa rakyat Sarawak menolak sama sekali unsur-unsur politik perkauman dan sebaliknya inginkan wakil-wakil yang memperjuangkan keadilan dan kebenaran!

Tambahan pula, kenaikan undi yang diperolehi parti DAP bukan hanya daripada satu kaum tertentu. Dalam kawasan-kawasan seperti Meradong, Dudong dan Kirudong, kejayaan kami adalah hasil tambahan undi kaum Dayak yang cukup memberangsangkan. Di Batu Kawah pula, kemenangan DAP di situ tidak mungkin akan berlaku tanpa undi-undi orang Melayu/Melanau yang telah meningkat dalam sokongannya terhadap DAP.

Hakikatnya, saya yakin bahawa Mahathir sedar dan memahami dinamik politik di negeri Sarawak dan juga di seluruh negara. Namun disebabkan motivasi politik, beliau memilih untuk memainkan sentimen sempit perkauman untuk menjaga kepentingan BN. Sekali lagi, rakyat boleh melihat dengan sendiri bagaimana pemimpin-pemimpin BN akan menggunakan taktik pecah dan perintah untuk mengekalkan kuasa mereka.

Sebagai pengakhir kata, saya ingin mencadangkan satu pepatah bahasa Inggeris: if you have nothing good to say, say nothing at all. Jika anda tidak mempunyai apa-apa yang bernas untuk dikatakan, usahlah meluahkan walau sekata.

*Kenyataan media oleh Zairil Khir Johari (gambar kanan) selaku Setiausaha Politik kepada Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP).

Memahami kejahilan politik BN

Hafiz Zainuddin | Apr 19, 2011 01:27:00 pm

PR kecundang, BN melemah

Kita tidak boleh menuduh rakyat Sarawak telah silap membuat pilihan. Atas kefahaman dan penilaian tertentu, mereka telahpun menggunakan ruang demokrasi yang disediakan sebaik mungkin. Yang pasti, Pakatan Rakyat nyata kecundang apabila gagal menggantikan BN malah menafikan majoriti 2/3 pun masih jauh.

Sama sekali PRN Sarawak kali ini sedikit sebanyak memberi tamparan kepada PR yang begitu yakin untuk menafikan majoriti 2/3 BN sekaligus membuktikan bahawa congakan awal oleh Zentrum meleset. Walau bagaimanapun, keputusan pilihanraya menunjukkan peningkatan undi kepada PR adapun BN masih selesa dengan kemenangan 55 kerusi dari 71 kerusi bertanding.

Secara umum, rakyat Sarawak masih selesa dengan BN dengan mandat baru yang telah diberikan.

Pada masa yang sama menjelaskan bahawa strategi kempen BN nampaknya gagal mempertahankan majoriti sedia ada walaupun jentera BN bertungkus lumus berkempen. Isu video seks nyata tidak memberi kesan kepada minda rakyat Sarawak malah populariti Najib dan Muhyiddin juga tidak mampu membendung kecenderungan pengundi untuk mengundi Pakatan Rakyat. Kemenangan beberapa kerusi tambahan untuk Pakatan Rakyat juga melucutkan gelaran Sarawak sebagai fix deposit buat BN.

Kemenangan DAP menggusarkan?

Hampir 80% dari 15 kerusi yang di menangi Pakatan Rakyat didominasi oleh DAP. Ternyata, DAP berjaya mengubah sentimen rakyat yang selama ini menyokong SUPP yang mewakili sebahagian besar masyarakat Cina Sarawak. Kesimpulan pertama yang boleh dibuat dari kemenangan besar DAP ini ialah, masyarakat Cina komited dalam meneruskan agenda perubahan dengan memberikan sokongan padu mereka kepada calon-calon Pakatan Rakyat manakala PAS dan PKR pula telah mula diterima di Sarawak dengan peningkatan undi di kawasan-kawasan tertentu. Atas kejayaan besar ini DAP telah dimangsakan oleh media.

Apa lagi yang oleh diperkatakan dengan kemenangan besar DAP ini baik di Semenanjung mahupun di Sarawak? Sudah tentu kemenangan DAP ini menimbulkan rasa kurang senang dari BN yang telah hilang sokongan dan kepercayaan dari masyarakat Cina seolah-olah masyarakat Cina memberi signal kepada kerajaan bahawa "kami tidak perlu lagi diwakili di peringkat federal", "kami boleh berdiri dengan sendiri tanpa bantuan sesiapa".

Perubahan berani yang dilakukan oleh masyarakat Cina Sarawak telah disalah erti sebagai sebuah "kebangkitan Cina". Malah kemenangan DAP ini digambarkan sebagai menularnya "politik perkauman". Persoalannya, apakah jika masyarakat Cina memberi kemenangan kepada SUPP dianggap kemenangan untuk Melayu? Walhal calon-calon yang bertanding mewakili SUPP juga di kalangan masyarakat Cina. Apakah yang sebenarnya cuba digarapkan oleh media perdana negara ini dengan dakwaan yang begitu dangkal dan menjatuhkan imej profesional mereka. Sekiranya kita benarkan dakwaan ini, apa pula yang boleh dijelaskan dengan kemenangan PAS di Kedah dan bertahannya kerajaan PAS di kelantan selama lebih 20 tahun?

Kemenangan PAS dicemburui

Situasi politik dan budaya di Malaysia masih lagi berlegar disekitar faham perkauman sempit malah BN sangat selesa dengan "tradisi" ini. Isu kaum sering kedengaran di negara ini untuk mengalih perhatian rakyat kepada isu sebenar. Sepertimana yang telah diungkapkan oleh Syed Husin Ali dalam bukunya Orang Melayu: Masalah dan Masa Depan menyatakan bahawa "persaingan kelompok atasan diberi wajah kaum".

Masyarakat Bumiputera dan Melayu harus disedarkan dari salah faham ini. Ayuh kita lihat sebagai contoh; Jika PAS yang memenangi sesebuah kawasan atau negeri, orang Melayu akan dituduh sebagai golongan yang tidak mahu bersyukur dengan jasa kerajaan, jika PKR yang menang, rakyat akan dituduh pula sebagai menyokong pengkhianat bangsa dan jika kemenangan itu di pihak DAP (sudah tentu kawasan Cina), kemenangan itu ditafsir sebagai "kebangkitan Cina" Dan menunjukkan seolah-olah masyarakat Cina tidak tahu berterima kasih kepada kerajaan atas dominasi ekonomi yang diperoleh. Apakah kita rakyat Malaysia juga perlu termakan dengan isu-isu sebegini?

Bukan kaum, tapi diskriminasi politik

Saya ingin bertanya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi; apakah rakyat tidak punya hak untuk memilih sehingga jika ia tidak berpihak kepada pemerintah mereka akan dituduh sedemikian rupa? Haruskah rakyat di negara ini terus diperbodohkan dengan pandangan-pandangan berbaur perkauman yang tidak sihat dan ia dibiarkan berleluasa?

Kita masih lagi dalam bahang suasana PRN Sarawak. Kemenangan besar DAP sebenarnya menjelaskan bahawa masyarakat Cina mahu untuk berubah dan berani melakukan perubahan. Apa yang berlaku kepada masyarakat Bumiputera pula, mereka punya azam untuk berubah tetapi masih terperangkap dengan hegemoni Melayu-Melanau dan dibatasi dengan sikap sinikal dan takut apatah lagi masih dimainkan dengan politik projek "jalan raya" yang nampaknya masih belum selesai.

Soalnya sekarang bukanlah "kebangkitan Cina". Orang Cina telahpun bangkit dari kemiskinan mereka sejak selepas merdeka lagi. Keputusan PRN Sarawak sebenarnya menunjukkan bahawa masyarakat Cina cuba bersikap lebih realistik dan berani melakukan perubahan. Selain itu, ia juga membuktikan kepada kita bahawa masyarakat Cina lebih sensitif dan peka terhadap perkembangan politik tanah air. Saya bukanlah memuji tetapi inilah yang harus kita semua fikirkan bersama. Ya, agar kita seluruh rakyat Malaysia lebih realistik dan berani menyatakan pendirian terhadap isu-isu penyelewengan dan salah urus tadbir pemimpin-pemimpin negara.

Memang, Bumiputera-apalagi orang Melayu diutamakan dalam arus pembangunan nasional agar dapat bersaing dengan masyarakat yang lain. Akan tetapi, dilema yang dihadapi bukan diskriminasi dari sisi kaum tetapi apa yang berlaku adalah diskriminasi politik. Lihat sahaja apa yang pernah berlaku di Terengganu berkaitan royalti minyak yang ditukar kepada Wang Ihsan apabila PAS berjaya membentuk kerajaan di sana. Begitu juga diskriminasi berbelas-belas tahun kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri Kelantan dalam hal peruntukan kewangan dalam projek bekalan air bersih yang sehingga kini menjadi tanda soal.

Nampaknya isu perkauman ini sengaja terus dibangkit dalam mempertahan monopoli politik BN agar dilihat perjuangan mereka relevan sehingga sekarang. Apakah kemiskinan sebahagian masyarakat bumiputera di bandar dan di kawasan pedalaman di hadapan mata kita membuktikan BN benar-benar memperjuangkan nasib golongan ini? Dan apakah kita masih tidak malu kerana masih dicengkam dengan hegemoni kaum ini? Sejarah telahpun membuktikan kebenaran dan telah sampai masanya untuk kita merevolusikan minda!

*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.