100 Hari Najib
Kuasa Diutamakan, Demokrasi Ditinggalkan
Kuasa Diutamakan, Demokrasi Ditinggalkan
Oleh Lim Hong Siang
Tiada senyuman semanis madu dalam tempoh 100 hari pertama Najib Abdul Razak menerajui kerajaan persekutuan, termasuk Perdana Menteri ke-6 itu sendiri.
100 hari satu Malaysia diselubungi syak-wasangka. Sementara rakyat mengalu-alukan ketegasan Najib merombak beberapa dasar dalam bidang ekonomi dan pendidikan, krisis Perak terus menusuk ingatan kita. Di luar pejabat Perdana Menteri, ketegasan ini terjelma dalam bentuk kekerasan. Pasukan keselamatan dikerah sepenuhnya untuk menangkis kebangkitan "gelombang hitam" dari kalangan rakyat.
100 hari Najib dihantui bayang dirinya. Beliau menerima tamparan yang menyengitkan dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau, empat hari selepas mengambil alih tampuk pemerintahan. Tuduhan yang dilontarkan terhadap beliau walaupun dipadamkan dari skrin televisyen, divakumkan dari udara, dikosongkan dari dada suratkhabar, namun kekal tidak terjawab dalam hati rakyat. Konsep "1Malaysia" terus dipertikai, dijadikan bahan sindiran dari mulut ke mulut, malah diubahsuai kepada 1Malaysia Gelita (1 Black Malaysia) yang ternyata menarik lebih perhatian.
Ini bulan madu yang tidak manis, buat satu Malaysia.
Bertitik tolak dari kemelut Perak
Jangka masa 100 hari mungkin belum cukup panjang untuk dijadikan kayu ukur prestasi seseorang Perdana Menteri, meskipun kita sedar bahawa "satu minggu dikira terlalu panjang dalam politik". Kita menyedari bukan banyak yang mampu dilakukan dalam tempoh 100 hari, lebih-lebih lagi untuk langkah yang diambil memperlihatkan kesannya.
Justeru itu, apa-apa yang dilakukan (dan tidak dilakukan) dalam tempoh ini amatlah penting. Pengkritik Najib terbukti tepat apabila kita terpaksa menyaksikan bagaimana polis tanpa uniform (a.k.a Special Branch) merempuh Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei, speaker DUN Perak yang sah diheret secara kasar dari tempat duduk dalam dewan yang mulia, hampir 150 orang ditangkap atau ditahan keseluruhannya kerana tuntutan pembubaran DUN Perak....
Adegan ini seharusnya tidak tertulis dalam skrip 100 hari pertama pemerintahan PM baru. Dalam zaman pemerintahan PM ke-4, Mahathir Mohamad yang dianggap paling keras menekan pun, Operasi Lalang dengan 119 orang buruan hanya berlaku selepas enam tahun Mahathir berkuasa.
Setelah jemu direndam dalam janji manis oleh PM ke-5, Abdullah Ahmad Badawi, rakyat kini lebih celik menilai seseorang pemimpin berasaskan "merit"nya. Rakyat yang dicengkam kuku besi tetap berasa sakit meskipun didodoi dengan senyuman yang mesra.
Dengan kata lain, rakyat yang merasai bahang dari kemelut Perak tidak akan terpedaya dengan "keterbukaan" yang dijanjikan Najib. Cara pengendalian krisis Perak ternyata mengulangi corak pemerintahan Mahathir. Apa yang cuba dilakukan Najib di Perak bukan untuk memenangi hati rakyat, tetapi untuk mengembalikan kuasa. Itupun bukan dengan cara memujuk, tetapi secara paksaan dan ugutan, dengan kuasa yang masih dalam genggaman.
Agenda Besar: Kekalkan kuasa BN
"Ubah atau diubah rakyat", pengakuan daripada Najib selepas tsunami politik 8 Mac 2008. Namun, tafsiran terhadap konsep "perubahan" antara pemimpin BN dengan rakyat ada bezanya. Untuk kebanyakan pemimpin UMNO/BN, apa yang diperlukan hanya "penjenamaan semula", tetapi apa yang dituntut rakyat jauh lebih daripada itu.
Maka, tidak hairanlah apabila kata-kata Anwar terselit dalam teks ucapan Najib sekarang, setelah mengenalpasti hujah tersebut diterima dan disenangi rakyat. Nyata sekali, Najib bukan pemimpin reformasi. UMNO di bawah pimpinan beliau masih cuba untuk menjatuhkan kebangkitan Anwar Ibrahim selepas 8 Mac 2008 dengan retorik "ketuanan Melayu", melempar tuduhan "pengkhianat Melayu", "agen Cina" terhadap pemimpin Pakatan Rakyat ini.
Malah, ruang politik sebelum 26 Ogos 2008 yang dianjurkan, hanya seluas dubur Saiful Bukhari Azlan. Hanya apabila pendekatan Anwar Ibrahim / Pakatan Rakyat terbukti menjadi arus perdana dalam politik, apabila rakyat mual dengan politik perkauman, jijik dengan politik dubur yang cuba ditonjolkan di ruang awam, barulah liberalisasi bidang ekonomi dimasukkan sebagai agenda, pemansuhan PPSMI dilakukan dalam tempoh kempen pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Kelantan.
Peralihan ini memperlihatkan bagaimana Najib berusaha mengekalkan BN di Putrajaya. Mainan politik ini terserlah apabila BN dalam 100 hari ini berjaya memperlagakan parti komponen Pakatan Rakyat. Isu "Kerajaan Perpaduan" terus memerangkap PAS, sehingga pertentangan dalaman antara PAS dengan DAP dan PKR semakin meruncing.
Jelas, Najib sanggup melakukan apa sahaja untuk mengekalkan BN di Putrajaya. Sebagai rakyat, kita perlu memisahkan antara konsep "kekalkan kuasa BN" dengan "reformasikan sistem negara". Agenda utama di sini adalah "kekalkan kuasa BN", sementara "kembalikan sokongan rakyat" hanyalah salah satu saluran ke arah matlamat muktamad tersebut.
Ini menjelaskan mengapa sementara ISA yang ditentang rakyat itu dikaji semula, penggunaannya diteruskan; sementara kebebasan bersuara dijanjikan, wartawan merdekareview terus dihalang untuk membuat liputan sidang media pengumuman kabinet baru; sementara bidang ekonomi diliberalisasikan, Anwar terus dikecam mengkhianati Melayu di kampung.
Namun, apabila "kuasa" berdepan dengan "rakyat", "kuasa" ternyata lebih lantang untuk menenggelamkan slogan "Rakyat Didahulukan". Buktinya, Najib tetap enggan membubarkan DUN Perak kerana tidak berani menghadapi rakyat Perak, malah terus memperlekehkan demokrasi.
Cabaran Najib
Ada asasnya sekiranya tsunami politik itu dibaca sebagai penolakan rakyat terhadap politik perkauman. Malah dalam konsep 1Malaysia yang diutarakan, "penerimaan" itu sebagai nilai yang dijunjung dalam konteks masyarakat berbilang kaum.
Seandainya Najib bertekad menjadi pemimpin berwawasan, beliau perlu melihat jauh lebih daripada itu. Sanggupkah BN bertoleransi, bahkan menerima dengan rendah hati tuntutan rakyat? "Penerimaan" tidak seharusnya dibaca dalam konteks perkauman sahaja, tetapi perlu dilanjutkan ke dalam konteks perbezaan politik. Dengan kata lain, bagaimana pemimpin BN berdepan dengan rakyat yang berbeza pendapat?
Sememangnya bukan tugas yang enteng untuk Najib mengubah UMNO/BN (Perikatan sebelumnya) yang agak lapuk, setelah setengah abad berlalu. BN kini berada di tahap paling kritikal. Pembaikan imej mungkin dapat memukau sesetengah pengundi untuk sementara waktu, tetapi bukan selama-lamanya.
Pakatan politik yang berteraskan perkauman ini sudah menemui jalan buntunya. Kewujudannya menongkah arus perkembangan tamadun dunia, lebih-lebih lagi apabila Amerika Syarikat telah melahirkan seorang presiden berkulit hitam, membuka lembaran baru dalam sejarah tamadun manusia.
Di Malaysia, perkauman hanya akan mencetus lebih kontroversi dalam masyarakat, malah dalam BN sendiripun. Tibanya masa BN berganjak untuk mencari jiwa baru. Kita tidak perlu politikus untuk bersyarah mengenai nilai murni yang terkandung dalam buku teks sekolah rendah seperti "ketabahan". Pemimpin politik berjiwa besar wajib membincangkan nilai sejagat yang teras, seperti keadilan, kebebasan, demokrasi dan sebagainya.
Dasar liberalisasi ekonomi tidak memberi makna apa-apa sekiranya jurang kekayaan di Malaysia semakin melebar, sekiranya tiada akta gaji minima untuk menjamin golongan buruh. Dasar digubal dan dirombak tidak bermakna, sekiranya suara rakyat dibedil dengan gas pemedih mata, disembur dengan water cannon berkimia di jalan raya .
Dengan kata lain, Najib hanya mempunyai satu jalan keluar, iaitu membuka ruang demokrasi di Malaysia. Apabila diterjemahkan kepada tindakan, ia bermakna sistem pilihan raya dikaji semula, media dibebaskan dari cengkaman Kementerian Dalam Negeri, akta kuku besi seperti ISA, OSA, PPPA, AUKU dan sebagainya yang menyekat kebebasan dimansuhkan, atau sekurang-kurangnya dipinda, badan kehakiman dibebaskan, IPCMC ditubuhkan.
Perkara-perkara tersebut di atas hanyalah asas kepada segala perubahan. Bersediakah Najib membuka lembaran baru dalam politik tanah air, di mana kerajaan bersedia berdialog dengan rakyatnya, melalui perbincangan terbuka, perdebatan, penyertaan awam, dan bukannya menyalahgunakan kuasa daulah, memperalatkan lembaga mahkamah, mengerah pasukan keselamatan untuk mengekalkan kuasa BN semata-mata? Dengan kata lain, bersediakah BN menjadi kerajaan bukan sahaja di Putrajaya, tetapi juga di hati rakyatnya?
Sekiranya Najib ingin membuktikan keikhlasan dan kesungguhan beliau untuk berdepan dengan rakyat, beliau seharusnya bersetuju untuk membubarkan DUN Perak. Selagi DUN Perak tidak dibubarkan, satu soalan tetap berligar dalam minda rakyat satu Malaysia selepas 11 Julai 2009-- Di manakah demokrasi?
Seandainya soalan ini tidak terjawab oleh Perdana Menteri Najib, BN akan menemui jawapannya di tong sampah sejarah dalam pilihan raya umum yang ke-13.
* Lim Hong Siang ialah editor merdekareview dalam versi Bahasa Melayu, boleh dihubungi melalui alamat email hongsiang@merdekareview.com