15 Jul 2009

Manek Urai buka lembaran baru

Berakhirnya keghairahan 8 Mac
Manek Urai buka lembaran baru

Oleh Lim Hong Siang

Pakatan Rakyat dikejutkan apabila kubu PAS di Kelantan, kawasan DUN Manek Urai hampir ditembusi UMNO-Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil yang diadakan semalam. Calonnya Mohd. Fauzi Abdullah hanya menang tipis dengan majoriti 65 undi, berbanding majoriti 1,352 undi pada 8 Mac 2008.

Secara sinisnya, keputusan semalam boleh dibaca sebagai "BN berjaya mempertahankan kekalahan dalam pilihan raya kecil di Semenanjung Malaysia" sejak 8 Mac 2008, namun ada juga munasabahnya sekiranya kemenangan tipis PAS ini ditafsir sebagai "kemenangan moral" BN.

Malah, editor Malaysiakini (versi bahasa Cina) Yong Kai Ping menganggap keputusan pilihan raya kecil Manek Urai, bersama peningkatan populariti Perdana Menteri Ke-6, Najib Abdul Razak (menurut soal selidik Merdeka Centre), telah membuka lembaran baru dalam pergolakan politik tanah air ini.

Keghairahan selepas Tsunami Politik

Mengimbas kembali tsunami 8 Mac 2008, Yong Kai Ping melakar gambaran bagaimana rakyat secara umumnya masih ghairah dengan kebangkitan kuasa rakyat, malah Pakatan Rakyat mula dibuai khayalan "menuju ke Putrajaya". Sementara itu, UMNO-BN yang diterajui Abdullah Ahmad Badawi, dan Najib selepas itu terus diselubungi suasana yang merudum.

Pakatan Rakyat dan pemimpin utamanya, Anwar Ibrahim dilambung dengan sorakan dan harapan yang tinggi, sebaliknya Barisan Nasional dan Najib yang terbelenggu dengan imej yang negatif terus dilempar dengan pelbagai tuduhan. Menurut keputusan soal selidik Merdeka Centre, populariti Najib hanya berada pada paras 45% di peringkat awal beliau mengambil alih tampuk pimpinan.

Keghairahan tersebut telah berakhir dengan senario baru politik mutakhir ini.

"Najib telah meraih populariti yang sepatutnya dimiliki seseorang pemerintah. Dengan keputusan pilihan raya kecil Manek Urai, tempoh bulan madu Pakatan Rakyat telahpun tamat. Ini bermakna, mulai malam ini, pemerintah dan pembangkang dalam keadaan seri, dan ini merupakan senario yang menarik," kata Yong.

Lihat BN, bukan PR

Penganalisis politik yang fasih dalam bahasa Cina, Jamaluddin Ibrahim (gambar kiri) pula mengingatkan bahawa tsunami politik yang mengombak pada 8 Mac tahun lepas disebabkan ketidakpuasan rakyat terhadap BN, bukannya sokongan terhadap PR.

"Tiada Pakatan Rakyat sebelum 8 Mac, rakyat mengundi untuk membantah BN."

Maka, Jamaluddin bertanggapan bahawa BN masih dijadikan sebagai sasaran mahupun rujukan ketika memahami pergolakan politik tanah air Malaysia.

Keresahan mula timbul apabila Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor kini menghadapi masalah luar dan dalaman, selepas lebih satu tahun mentadbir.

PR Kedah hanpir disembelih apabila DAP Kedah mengambil keputusan untuk keluar dari pakatan setelah ledakan isu pusat penyembelihan babi. Sementara Pulau Pinang pula menemui jalan buntu di Kampung Buah Pala, ditambah pula pertelingkahan antara DAP dan PKR. Malah, Selangor kini kecoh dengan tuntutan rombakan barisan EXCO, ditambah dengan tuduhan daripada ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang juga dari Pakatan Rakyat.

Tangkis dengan langkah konkrit

Pergelutan di atas mungkin mencungkil keraguan rakyat terhadap kredibiliti dan kebolehan PR untuk mentadbir negara. Lantaran itu, kekhuatiran dilanjutkan dengan andaian sekiranya masyarakat kita tidak sanggup menanggung risiko yang terlalu tinggi demi reformasi, maka mereka mungkin "termakan" dengan janji "perubahan" yang dilaksanakan oleh Najib.

Walau bagaimanapun, Yong Kai Ping (gambar kanan) ketika mengulas kemungkinan Najib mengambil kesempatan atas "ketakutan" ini untuk terus berkuasa, berkata bahawa "ketakutan" ini wujud kerana kekurangan rasa selamat dalam minda rakyat.
Justeru itu, apabila Utusan Malaysia memainkan isu seperti Melayu mungkin hilang kuasa, masyarakat Melayu mula berasa tergugat.

Yong Kai Ping berpendapat PR tidak cukup sekadar menangkis hujah tersebut, malah perlu mengambil langkah yang konkrit untuk menghapuskan keresahan masyarakat Melayu, misalnya mengemukakan cadangan bagaimana meningkatkan pendapatan golongan menengah-rendah.

Yang pastinya, BN dan PR kini memasuki peringkat yang baru dalam pergelutan politik Malaysia, dengan perbicaraan kes liwat Anwar dan cadangan "Kerajaan Perpaduan" yang terus menghantui PR. Politik penampilan imej dan silat lidah yang memihak kepada PR sebelum ini akan menjadi lembaran politik yang terselak...


*Yong Kai Ping bersama penganalisis politik Josh Hong dan Jamaluddin Ibrahim merupakan ahli panel dalam forum yang bertajuk "100 Hari Pentadbiran Najib". Forum yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor ini dianjurkan oleh therocknews, satu media internet dan Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor.