24 Jul 2009

Beng Hock, kuasa mereka dari Putrajaya

Beng Hock, kuasa mereka dari Putrajaya

Oleh Ooi Heng

Antara kementerian dalam kabinet, institusi politik yang paling dipertikai, misalnya Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) yang terlibat dalam tragedi kematian Beng Hock, Jabatan Peguam Negara yang mengheret Anwar Ibrahim ke mahkamah dua kali dalam jangka masa 10 tahun, Biro Tata Negara (BTN) yang perlu bertanggungjawab terhadap "perkauman yang diinstitusikan" (institutional racism)... institusi manakah yang bukan diletakkan di bawah kawalan Jabatan Perdana Menteri (JPM)?

Begitu juga, institusi politik yang kononnya berkecuali, adil dan bebas, misalnya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan lain-lain, yang mana satu bukannya berasal dari JPM?

Malah, wakil rakyat yang masak dengan operasi parlimen, malah tahu akan kewujudan Jabatan Parlimen Malaysia di bawah JPM, beranikah mereka mendakwa bahawa operasi parlimen tidak berada di bawah kawalan JPM?

Mutakhir ini, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) pun diletakkan di bawah kawalan JPM. Tahukah anda bahawa "kepentingan" JPM telah berkembang ke satu tahap yang "tidak terbatas"? Malah, pemusatan kuasa juga mencecah ketertinggian yang hanya boleh disembah rakyat.

Mungkin anda tidak tahu, sekurang-kurangnya 50 unit badan kerajaan yang disusun dalam JPM dari atas ke bawah, kalau tidak silap kira. Semua yang berkenaan dengan pembangunan negara-bangsa, keadilan demokrasi, pembangunan ekonomi, sehinggalah penyebaran ideologi, kalaupun bukan dirangkul JPM, juga akan dicampur tangannya.

Peruntukan JPM bertambah mendadak

Kepentingannya berkembang, kuasanya memusat. Kadar pertambahan peruntukan kepada JPM adalah antara yang paling tinggi dalam kabinet. Menurut laporan Rancangan Malaysia ke-8 dan ke-9, JPM telah memberi lampu hijau supaya kementerian dirinya itu menikmati kadar pertumbuhan peruntukan pembangunan yang melonjak.

Angka peruntukan pembangunan RM9 kalau dibahagi dengan angka perbelanjaan pembangunan RM8, maka kadar pertambahan peruntukan pembangunan yang diperolehi JPM adalah 3.07%, jauh meninggalkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, yang mencatat 1.69%, dengan kedudukan ranking ke-2.

Sebaliknya, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi yang menjadi tumpuan perhatian umum, hanya mencatat 0.60% dan 1.00% kadar pertumbuhan peruntukan pembangunannya.

Kementerian Kesihatan yang gagal mengawal lonjakan kos perubatan, Kementerian Pengangkutan yang mencelarukan sistem pengangkutan awam, dan Kementerian Kerja Raya yang menimbun projek sisa-tauhu, menikmati kadar pertumbuhan peruntukan pembangunan 0.93%, 0.72% dan 0.82% masing-masing.

Justeru itu, sementara kita bertafakur untuk Beng Hock dan menuding jari kepada SPRM, perlu kita merenung kewajaran kuasa JPM yang berkembang secara melampau.

Secara objektifnya, dalam tempoh beberapa tahun pentadbiran bekas PM Abdullah Ahmad Badawi, sememangnya laungan slogan banteras rasuah lebih lantang dari tindakannya, namun legasi yang ditinggalkan Pak Lah sebelum meninggalkan Putrajaya, iaitu Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 dan SPRM, lebih baik daripada kerosakan terhadap sistem politik yang dilakukan oleh Mahathir Mohamad dalam tempoh 22 tahun pentadbiran.

Sesetengah ahli parlimen Pakatan Rakyat yang meneliti kandungan rang undang-undang ini beranggapan, seandainya rang undang-undang ini diluluskan, walaupun dengan niat baik untuk membanteras rasuah, tetapi pengoperasian kuasa yang ditetapkan itu masih mempunyai masalah dari segi strukturnya. Seperti banyak institusi politik yang menekankan keberkecualian, keadilan dan kebebasan, kuasa mereka semua datangnya dari JPM, dan bukannya daripada parlimen yang menjadi lambang kepada semangat demokrasi.

Semuanya orang Perdana Menteri...

Pada 15 Disember 2008, Menteri JPM Mohd. Nazri Aziz ketika membentangkan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 untuk bacaan kedua, Ahli Parlimen DAP Ipoh Timur Lim Kit Siang telah meminta supaya menangguhkan perbahasan untuk sekurang-kurangnya 4 minggu, supaya wakil rakyat dan masyarakat sivil mempunyai masa yang secukupnya untuk mengkaji rang undang-undang yang akan memberi kesan jangka panjang ini. Seperti biasa, permintaan itu ditolak.

Malah, seperti yang diduga, apabila rang undang-undang ini diluluskan, Ketua Pesuruhjaya SPRM ditetapkan supaya dilantik Yang Dipertuan Agung atas nasihat PM. Juga, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah yang diberikan peranan untuk memantau dan mengimbangi SPRM, ahlinya juga "dilantik YDPA atas nasihat PM". Malah, ahli Jawatankuasa Aduan juga dilantik secara terus oleh menteri (Menteri JPM semestinya termasuk PM).

Satu lagi Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah, ahlinya dinamakan oleh ketua majlis mesyuarat dewan rakyat dalam parlimen (nominated by the Leader of the House of Representatives), kemudiannya dilantik YDPA. Tetapi, siapanya ketua majlis mesyuarat dewan rakyat ini? Jangan salah faham, orang ini bukan speaker dewan, tetapi PM. Malah, laporan tahunan Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah ini perlu diserah kepada PM, kemudian salinannya diserah kepada parlimen. Dengan kata lain, laporan tersebut tidak diserah secara terus kepada parlimen.

Maka, sesiapa yang tajam matanya akan mengajukan satu soalan, sekiranya orang yang terlibat dalam penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa bukan lain tetapi PM, adakah prosedur dan operasi siasatan SPRM kekal sama? Adakah Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah akan mematuhi apa yang terkandung dalam akta, "to advise the Prime Minister on any aspect of the corruption problem in Malaysia", mencadangkan PM untuk meletak jawatan, bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM, supaya memudahkan siasatan SPRM?

Berbalik kepada kes Beng Hock, seandainya Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah tidak mencadangkan kepada PM untuk menubuhkan Suruhanjaya Di-Raja segera, dan tidak mencadangkan kepada PM supaya menggantung jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika siasatan dijalankan; malah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah juga tidak meletak jawatan secara kolektif... Maka, seandainya seorang PM terlibat dalam penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa pada masa depan, kita sudah dapat menjangkakan tindakan SPRM.

Kalaulah kuasa parlimen pun datangnya dari JPM, maka dalam negara ini, sesiapa yang memonopoli kuasa, dialah lambang kebenaran. Tidak kira sama ada mata lebam Anwar, cebisan tulang gadis Mongolia, mahupun tragedi A.Kugan dan Teoh Beng Hock, janganlah terlalu pilu. Ini kerana tragedi bukan ditentukan kepiluan, tetapi kuasa.


*Artikel ini ditulis Ooi Heng, disiarkan di merdekareview, diterjemah dan disunting Lim Hong Siang.