19 Apr 2011

Nuklear, Rare Earth, Nyamuk GM...

| Apr 19, 2011 12:23:51 pm

Saya gembira kerana dapat menyertai perbahasan titah ucapan bagindaYang diPertuan Agong. Sebelum saya memulakannya, izinkan saya membuat sedikit komen tentang apa yang berlaku lebih awal. Sepanjang pagi tadi beberapa orang mengucap tahniah kerana kemenangan BN di Sarawak. Tiada salahnya ini, akan tetapi kurang enak didengar apabila pada masa sama diperkecilkan pula prestasi PAKATAN.

Seorang teman dari UMNO bertanya saya: Syed, tidak mahu ucap tahniah ke? Saya tiada masalah mengucap Syabas. Akan tetapi, saya ingin mengingatkan bahawa kami berjaya meningkatkan bilangan kerusi yang dimenangi sekali ganda. Lebih penting lagi kami berjaya menurunkan 8% undi yang diperolahi BN dari 63% ke 55%. Benar BN mendapat lebih dua pertiga kerusi, Akan tetapi ia gagal memperolehi dua-pertiga undi.

Ini berlaku walaupun Kerajaan UMNO-BN menggunakan jentera Kerajaan, memperalat media electonik serta cetak, mengugut melalui SB, menabur wang dan seterusnya. Tidak habis-habis mereka gunakan isu fitnah sodomi dan video seks.

Saya teringat kepada sebuah tweet yang saya terima, berbunyi: Pakatan menang dengan maruah, BN menang dengan rasuah. Ingatlah, Sarawak bukan lagi "fixed deposit" BN.

Sekarang saya memulakan bahasan.

A. Pertumbuhan Ekonomi dan Ketidaksaksamaan

Sebuah laporan tentang Pertumbuhan Ekonomi oleh Commission on Growth and Development mengiktiraf Malaysia sebagai salah sebuah dari 13 buah negeri yang dapat mempertahan pertumbuhan selama 25 tahun. Pertumbuhan ini berjaya untuk menambah baik taraf atau kualiti hidup di negara ini.

Tidak dinafikan ini satu kejayaan. Akan tetapi perlu diingatkan dari segi pendapatan, Malaysia jauh tertinggal di belakang Singapura, Korea Selatan dan Taiwan.

Perangkap Pendapatan Pertengahan: Ada dua masalah yang membimbangkan dan harus diatasi. Pertama, dari 13 buah negera ini cuma enam buah saja yang berjaya melangkah untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. Malaysia gagal membuat langkahan ini. Ia masih terperangkap sebagai sebuah negara berpendapatan pertengahan (middle income trap).

Dalam perangkap ini Malaysia menghadapi pelbagai masalah. Seorang ahli ekonomi Toh Kim Woon mengemukakan bahawa antaranya ialah:

i. Kekurangan kemahiran penting bagi transformasi ekonomi, terutama pekerja berpengetahuan tinggi dan pakar sains yang boleh menjalankan penyelidikan;

ii. Walaupun ada kumpulan berbakat yang terbatas, namun terdapat pelarian keluar sebilangan besar modal manusia;

iii. Kumpulan berbakat ini perlu dibina, akan tetapi ini dipersulitkan oleh mutu pendidikan yang kian merosot dan peraturan serta amalan imigrasi yang tidak liberal;

iv. Kurang keyakinan bahawa Talent Corporation akan begitu berkesan untuk menyekat pelarian bakat yang ada, apatah lagi untuk menarik pulang yang berada di luar negara.

Pemusatan Kekayaan: Yang kedua, biasanya pertumbuahan ekonomi diukur hanya dengan peningkatan pendapatan perkapita. Ia tidak mengambil kira jurang di antara pendapatan. Dalam keadaan seperti di Malaysia, kita dapati pertumbuhan juga mengakibatkan bertambah lebarnya jurang ketidaksamaan ekonomi.

Ini ialah kerana di Malaysia dan negara-negara lain sepertinya, falsafah ekonomi adalah bertunjangkan pasaran bebas atau laissez faire, di mana peranan modal swasta adalah besar dan mendapat galakan sepenuhnya, Akibat dari falsafah dan amalan ekonomi ini pelebaran jurang sosio-ekonomi tidak akan dapat dibendung.

Apa yang sering berlaku dalam sistem ekonomi sedemikian rupa ialah proses pemusatan kekayaan (concentration of wealth) yang berlaku dengan rakus. Kekayaan negara atau negeri dibolot oleh sebilangan kecil orang, terutama mereka yang mempunyai kuasa politik bersama keluarga dan kroni mereka.

Segelintir dari golongan atasan mempunyai keistimewaan ini menjadi bertambah kaya, manakala sebaliknya sebilangan besar rakyat menjadi bertambah miskin. Memang benar, statistik rasmi menunjukkan pendapatan di kalangan rakyat terbanyak semakin meningkat dan kadar kemiskinan mutlak menurun.

Akan tetapi kemiskinan relatif menjadi bertambah buruk akibat melebarnya jurang sosio-ekonomi. Ketidaksamaan semakin ketara. Ketidaksamaan ini boleh wujud berasaskan wilayah, kaum ataupun kelas sosial. Dalam jangka panjang trend dan implikasi dari kemiskinan relatif ini tidak kurang seriusnya dari kemiskinan mutlak.

Seperti yang kita ketahui angka-angka rasmi menunjukkan bahawa kira-kira 40% dari rumah tangga (household) berpendapatan kurang dari RM1500 sebulan. Seterusnya, dari keseluruhan jumlah pekerja dalam negara ini 34% berpendapatan kurang dari RM700 sebulan, iaitu di bawah garis kemiskinan.

Seperti yang berkali-kali saya tegaskan, lebih 70% dari kedua-dua kategori yang berpendapatan rendah ini terdiri dari orang Melayu/Bumiputera. Sebaliknya di antara mereka yang disenaraikan paling kaya sekali di negara ini terdapat hanya beberapa kerat saja Melayu/Bumiputea. Itupun sebahagiannya merupakan keluarga atau kroni PM sekarang dan dulu. Sepuluh peratus dari mereka yang terkaya ini menguasai 40% dari kekayaan negara.

Kemunduran/Kemiskinan Sabah Sarawak: Di Malaysia, antara dua buah negeri yang dianugerahkkan Allah dengan banyak sumber kekayaan ialah Sabah dan Sarawak. Berdasarkan kajiannya, Bank Dunia mengeluarkan sebuah laporan yang menunjukkan bahawa bagi tahun 2010 Sabah merupakan negeri yang termiskin dalam negara ini. Mengikut laporan ini walaupun dengan usaha-usaha mengatasi kemiskinan yang wujud, tidak ada harapan keadaan ini akan berubah dalam beberapa tahun akan datang.

Beberapa hari selepas laporan ini diumumkan, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (EPU), di bawah Jabatan Ketua Menteri megeluarkan kenyataan, yang dilapor oleh Borneo Post pada 15 November 2010, menafikan laporan Bak Dunia itu. Mengikutnya, dengan usaha Kerajaan Pusat dan juga negeri kemiskinan dapat diturunkan dari 24.2% pada 1976 ke 16.4% pada penghujung 2004.

Namun begitu Emmanuel Jimenez, WB’s Human Development Sector Director (East Asia and pacific Region) menegaskan, "Although efforts by the government have somewhat lessened poverty, it's still not enough".

Tegasnya, walaupun bilangan penduduk Sabah hanya 10% dari penduduk seluruh Malaysia, namun ia mempunyai 40% dari seluruh jumlah kemiskinan dalam negara. Ini berbanding dengan Selangor, yang mempunyai bilangan penduduk hampir suku dari seluruh negara, akan tetapi mempunyai hanya 10% dari golongan miskin itu.

Masalah pemusatan kekayaan pada sebilangan kecil elit politik dan ekonomi kelihatan dengan menjolok sekali di Sarawak. Di sini, sebagaimana yang sudah menjadi skandal umum, Ketua Menteri yang berkuasa selama 30 tahun muncul sebagai salah seorang yang terkaya di Asia. Sekarang beliau terus berkuasa.

Beliau memiliki hampir 40 buah syarikat dan harta di merata dunia. Di dalam negeri Sabah sendiri, beliau menguasai syarikat yang mempunyai monololi ke atas banyak aset dan hampir semua kontrak pembinaan. Selain itu sudah didedahkan bahawa beliau serta anak pinak dan adik beradiknya merampas tanah-tanah adat atau membelinya dengan harga paling murah, kononnya untuk tujuan pembangunan.

Memang benar bahawa setelah berbelanja "berpuluh-puluh billion" seperti yang didakwa oleh Timbalan Perdana Menteri, kadar kemiskinan sudah dapat diturunkan kepada kurang dari 5%. Akan tatapi dari segi penumpuan kekayaan dan jurang melebar di antara kaya-miskin, Sabah dan Sarawak merupakan contoh kemiskinan relatif amat parah.

B. Universiti, Camputangan Politik dan SB

Saya telah beberapa kali menimbulkan soal kemerosotoan mutu pendidikan di peringkat universiti. Oleh kerana kemerosotan ini semakin teruk, izinkanlah saya menegaskan semula hal ini. Salah satu sebab utamanya kemerosotan berlaku ialah campur tangan politik pemerintah yang semakin bertambah. Sekaligus autonomi universiti terjejas.

Perlantikan Naib Canselor, Dekan, Ketua Jabatan: Antara campur tangan itu ialah dalam perlantikan Naib Canselor dan secara lebih terbatas perlantikan Dekan, Ketua Jabatan dan Pendaftar. Biasanya Naib Canselor yang dilantik ialah mereka yang diketahui tidak pernah dan tidak akan menentang pemerintah dan dasarnya. Bahkan ada di antara Naib Canselor ini lebih UMNO dari UMNO berhubung kawalan dan sekatan ke atas kebebasan mahasiswa.

Pemilihan Naib Canselor tidak dilakukan oleh "search committee" yang bebas dan neutral. Kelayakan Naib Canselor yang dilantik tidak mengambil kira kebolehan dari segi pentadbiran universiti dan pencapaian dari segi akademik. Penerimaan dari segi politik lebih diutamakan.

Begitu juga Dekan dan Jabatan tidak lagi dipilih oleh kakitangan akademik. Bahkan mereka dilantik oleh Naib Canselor, yang memastikan lantikan mereka itu boleh diterima dari segi politik oleh pihak pemerintah, khususnya Menteri yang berkaitan. Sering berlaku mereka yang diangkat ini bukannya ahli akademik yang kanan dan dihormati.

Bahkan ahli-ahli Senat Universiti, iaitu badan tertinggi akademik, juga dibataskan kebanyakannya kepada profesor-profesor yang boleh diterima dari segi politik. Dahulu semua profesor layak menjadi ahli Senat. Profesor pula semakin kurang yang diangkat berdasarkan prestasi akademik mereka – pengajaran, penyelidikan dan penerbitan.

Kenaikan Pangkat Profesor: Lebih mudah Dekan dan Ketua Jabatan kurang kelayakan akademik yang diangkat menjadi Profesor atas dasar jawatan pentadbiran yang mereka pegang. Dengan cara begini Naib Canselor beserta Dekan sering boleh menentukan siapa akan menjadi Profesor melalui cara melantiknya sebagai pentadbir.

Akibatnya nilai akademik tidak dipandang tinggi. Ini boleh menjejas dorongan kakitangan untuk bekerja kuat dalam bidang akademik. Ada yang mengambil sikap tidak guna bekerja kuat dalam bidang akdemik kerana tidak dinaikkan pangkat juga. Mutu universiti akan merosot apabila ia tidak lagi menilai tinggi ilmu.

Kita dapati bahawa politik parti ataupun pemerintah semasa yang berkuasa bukan saja mempengaruhi perlantikan dalam bidang pentadbiran universiti. Bahkan kita dapati ada juga campur tangan politik dalam bidang akademik. Sebenarnya soal kenaikan pangkat ke professor harusnya merupakan exercise akademik. Sekarang tidak lagi.

Selain itu kita dapati hal-hal yang harus sepenuhnya terletak dalam bidang akademik juga sudah "diperkosa" oleh politik. Sebagai satu contoh, misalnya, tidak lama dulu Kerajaan membuat keputusan untuk memperkenalkan kurikulum pengajian hubungan ethnik. Pihak berkuasa mengarahkan apa yang seharusnya dilakukan.

Sehubungan ini Kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa terdiri dari beberapa orang akademik untuk menentukan silabus dan menyiapkan buku panduannya. Ini dilakukan di bawah arahan Kementerian. Silabus dan buku panduan disesuaikan mengikut kehendak pemerintah. Bahkan ada mata-mata pelajaran atau penyelidikan dibuat hanya mengikut arahan atau selera pemerintah melalui kementrian berkenaan.

Campurtangan SB: Ada satu aspek yang lebih bahaya dan teruk dari campur tangan politik pemerintah. Ini ialah berhubung campur tangan dari pihak Cawangan Khas ataupun SB. Pada satu masa dulu pelajar-pelajar hanya diterima masuk ke Universiti jikalau mendapat "suitability certificate" yang berasaskan laporan SB. Peraturan ini dilawan oleh mahasiswa dan akhirnya ditarik balik.

Sekarang ini diketahui bahawa seseorang pemohon untuk menjadi pensyarah akan ditapis (vet). Sebelum ia boleh diterima, namanya dirujuk kepada pihak keselamatan (biasanya SB) untuk dikaji dan dihalusi latar belakangnya. Hanya selepas dibersih atau diluluskan oleh pihak SB barulah tawaran jawatan dihantar kepadanya. Biasanya hubungan dan pendirian politik calon itupun boleh menjadi alasan menyekat perlantikan.

Bahkan lebih buruk lagi diketahui bahawa SB campur tangan dalam hal perlantikanProfesor Emeritus. Gelaran ini diberi kepada seseorang yang telah berkhidmat selama tempoh tertentu di sesebuah universiti selepas ia bersara, atas dasar sumbangan dan kecemerlangannya dalam bidang akademik.

Adalah diketahui bahawa ada kes di mana seorang bekas Profesor yang terkenal telah tidak jadi diberi gelaran Profesor Emeritus oleh sebuah Universiti ulung oleh kerana disekat oleh pihak SB. Badan-badan akademik dalam Universiti itu bersetuju mengaugerahkan gelaran ini kepada bekas Profesor berkenaan. Akan tetapi, apabila sampai ke peringkat Lembaga Universiti, campur tangan SB berlaku. Maka tidak jadilah gelaran itu dianugrah.

Mendaftar Ahli Umno dan Pengundi: Selain itu ada juga badan luar yang dibenar melakukan aktiviti dalam universiti sungguhpun tidak ada kaitan dengan urusan akademik dan pentdbiran universiti itu. Misalnya, sebuah badan pelajar dari luar sebuah universiti, yang dipimpin oleh beberapa orang tokoh UMNO, dibenarkan untuk mendaftar pelajar-pelajar menjadi ahli UMNO. Kerja mendaftar ini dibuat di bawah pemerhatian pihak berkuasa universiti itu.

Selain itu, di univesiti yang sama, beberapa orang kakitangan SPR telah dibenarkan mendaftar pelajar sebagai pengundi, tanpa mengira umur mereka. Ini dilakukan di bawah pengawasan pihak univesiti dan kelas belajar ditangguhkan untuk memungkinkan proses pendaftaran itu dilakukan. Mengapakah pendaftaran pengundi dilakukan hanya di universiti ini? Untuk apa atau siapakah undi yang didaftar itu digunakan?

C. Darurat, ISA dan Batang Kali

Baru-baru ini di Dewan Rakyat wakil Lembah Pantai, Nurul Izzah mengemukakan resolusi untuk membincang Perisytiharan Undang-undang Darurat. Resolusi ini ditolak. Saya ingin menimbulkan perkara sama dalam Dewan mulia ini dari sudut lain.

Perisytiharan Darurat dan ISA: Sebelum Merdeka, pemimpin-pemimpin UMNO berjanji akan memansuhkan Undang-undang Darurat yang diisytiharkan oleh penjajah Inggeris pada bulan Jun 1948 untuk memerangi gerila komunis. Akan tetapi janji ini tidak dipenuhi.

Selepas Merdeka Kerajaan Perikatan di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman mengambil langkah untuk memperkenalkan ISA. Disangka ISA akan menggantikan Darurat. Akan tetapi tidak.

ISA dikuatkuasakan pada tahun 1960. Ia mempunyai kuasa yang sama dengan Undang-Undang Darurat, iaitu menahan tanpa bicara dalam mahkamah. Bukan saja ISA dikuatkuasa bahkan Perisytiharan Darurat diteruskan juga. Tidak dimansuhkan.

Semasa rang undang-undang ISA dibincngkan dalam Parlimen, Abdul Razak dan juga Dr.Ismail berjanji bahawa ISA akan digunakan hanya ke atas komunis militan. Akan tetapi tidak lama selepas diluluskan, ISA digunakan untuk menahan tokoh-tokoh politik seperti Ahmad Boestamam dan Burhanuddin Helmy.

Yang anehnya, bukan saja Undang-undang Darurat 1948 diteruskan, bahkan selepasnya empat lagi Undang-undang Darurat diisytihar iaitu: Untuk seluruh negara pada September 1964 berhubung Konfrontasi Indonesia; Untuk Sarawak berkaitan krisis politik di sana pada tahun 1966; Untuk seMalaysia berhubung Peristiwa 13 Mei 1969; untuk Kelantan berikutan pengambil alihan kuasa oleh Pusat pada tahun 1977.

Darurat Rekod Dunia: Berhubung Undang-undang Darurat ini, Malaysia memegang dua rekod dunia. Sebenarnya rekod ini sangat memalukan dari segi politik dan demokrasi negara.

Pertama, dengan Perisytiharan 1948, Malaysia mempunyai undang-undang darurat yang paling lama sekali berkuatkuasa dalam dunia. Selepas kebangkitan rakyat di Tunisia, Mesir dan Algeria, negara-negara tersebut mengumumkan sudah atau akan memansuhkan Undang-Undang Darurat masing-masing. Undang-undang mereka ini telah berkuatkuasa hanya antara 20 hingga 40 tahun saja. Kita lebih 60 tahun.

Kedua, boleh dikatakan di semua negara lain mereka mempunyai hanya satu saja perisytiharan Undang-undang Darurat. Akan tetapi, seperti disebut tadi negara Malaysia yang kecil dan belum begitu panjang sejarah kemerdekaannya memegang rekod dunia dengan mempunyai lima perisytiharan Darurat. Selama berapa lama lagikah kita hendak memegang rekod yang sangat memalukan ini?

Demi menegakkan demokrasi yang tulen di negara ini, Kerajaan UMNO-BN hendaklah memansuhkan perisytiharan semua Undang-undang Darurat ini. Atau adakah kita hendak menunggu dulu sehingga rakyat bangkit beribu-ribu di jalanraya seperti di negara-negara Arab itu?

Mansuh ISA: Bahkan saya berpendapat bahawa ISA juga harus segera dimansuhkan. Undang-undang ini boleh dikatakan tidak relevan. Ia bertentangan dengan nilai agama yang tidak membenar seseorang itu dihukum tanpa dibicarakan; ia sekarang sering digunakan untuk menekan golongan politik dan golongan lain yang menentang kerajaan secara legitimate; tidak ada lagi ancaman dari komunis militan; dan ada kita-kira 30 undang-undng yang boleh digunakan bagi pendakwaan di mahkamah dengan tidak payah menggunakan ISA.

ISA ini juga, seperti Undang-undang Darurat, harus dimansuhkan. Tidak cukup hanya dengan meminda di sana sini. Tidak ada ertinya menampal sulam saja.

Pembunuhan di Batang Kali: Berkaitan dengan penguatkuasaan Undang-undang Darurat 1948, saya ingin merujuk kepada satu peristiwa zalim yang pernah dilakukan, iaitu Peristiwa Batang Kali. Pada 12 Disember 1948, seramai 24 orang lelaki dan perempuan dibunuh dengan kejam. Ada yang dipenggal kepalanya yang dipamerkan
dalam sesetengah akhbar di luar negara. Rumah kediaman dan perkampung mereka di Batang Kali habis hangus dibakar.

Secara kebetulan mereka ini semuanya Cina dan dianggap sebagai komunis. Akan tetapi mereka terbukti hanya pekerja ladang biasa. Tiada apa senjatapun dijumpai pada badan, dalam rumah ataupun di kawasan mereka diami. Yang melakukan kezaliman ini ialah sebuah patrol 16 orang tentera British dari Scots Guard.

Pada tahun 1970 ada percubaan oleh Metropolitan Police di bawah seorang dari Scotland Yard bernama Detective Chief Superintendant Frank Willams untuk dihantar ke Malaysia bagi menyiasat perkara ini. Akan tetapi siasatan ini ditamatkan oleh Kerajaan Konservatif yang baru mengambil alih kuasa kerana tidak mahu sejarah hitam British ini didedahkan. Peristiwa ini sering disebut sebagai Mai Lai British. Mai Lai merujuk kepada kekejaman serupa yang dilakukan oleh tentera Amerika di Vietnam.

Seorang penulis British telah menerbitkan sebuah buku bertajuk Slaughter and Deception in Barang Kali pada tahun 2009. Beliau menyatakan pada tahun 1994 beliau mendapat nota-nota di antara dua orang pegawai tinggi dari Pejabat Luar British dengan seorang ketua polis dari Malaysia. Mereka berbincang tentang penutupan kes kezaliman ini.

Empat orang dari keluarga yang menjadi mangsa telah mengambil kes mahkamah melalui syarikat guaman Bindmans, antara lain untuk menuntut supaya penyiasatan awam dilakukan. Pihak Kerajaan British masih tidak mahu meminta maaf atas semua kekejaman dan kezaliman yang dilakukan.

Sekarang ini beberapa orang anggota Mau Mau yang menjadi mangsa kekejaman British di Kenya sedang memulakan tindakan unang-undang di London. Saya meminta supaya Kerajaan Malaysia tidak akan mengambil apa-apa tindakan untuk bersekongkol dengan Kerajaan British bagi menutup peistiwa kejam di Batang Kali. Berikanlah keadilan kepada mangsa serta keluarga mangsa kezaliman dan kekejaman ini.

D. Ancaman Persekitaran dan Kesihatan

Tenaga nuklear merupakan salah satu daripada contoh utama "high risk technology", yang sangat mengancam. Oleh itu pembinaan kilang untuk menjana tenaga ini tidak harus dilakukan tanpa kajian yang mendalam dan juga tanpa merujuk kepada masyarakat sekitar mana kilang itu hendak didirikan.

Pusat Tenaga Nuklear: Tahun lalu, pada 4 May, Menteri Menteri Teknologi Hijau, Tenaga dan Air dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata bahawa Malaysia merancang hendak membina pusat tenaga nuklear yang akan beroperasi menjelang tahun 2021. Saya tidak mengetahui sedalam mana kajian telah dijalankan untuk rancangan ini. Akan tetapi saya mengetahui bahawa pandangan awam tidak diminta sama sekali berhubungnya.

Salah satu alasan yang diberikan oleh pihak Kerajaan tentang keperluan pusat tenaga nuklear ini ialah untuk memenuhi keperluan tenaga yang bertambah di negara ini. Alasan tersebut tidak boleh diterima. Mengikut Menteri keperluan tenaga di Malaysia pada tahun 2010 ialah sebanyak 14,000MW. Akan tetapi kita mempunyai kapasiti menjana 23,000MW. Ertinya kapasiti melebihi 64% daripada keperluan.

Begitu juga Tenaga Nasional Bhd mengakui bahawa ia mempunyai "electricity supply reserve margin" (margin simpanan bekalan elektrik) sebanyak 66%. Namun begitu, masih beribu-ribu rumahtangga di kawasan desa serta pedalaman negara ini, terutama di Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai bekalan elektrik.

Mengikut seorang pakar nuklear tempatan, Idwar Baharuddin, Malaysia mempunyai lebihan penjanaan elektrik sebanyak 9000MW atau 9GW. Ini bererti Malaysia mempunyai lebihan penjanaan elektrik yang bersamaan dengan 9 reaktor kuasa nuklear, jika tiap-tiap satu boleh menjana 1GW elektrik. Oleh kerana itu tegasya, "Malaysia does not need nuclear power for electricity generation".

Baru-baru ini, berikutan gempa bumi di Jepun, beberapa pusat tenaga nuklearnya di Fukushima telah terbakar dan menghadapi ancaman ketirisan/kebocoran bahan-bahan radioaktif. Ini mengancam persekitaran dan kehidupan (terutama manusia) yang mencapai peringkat bahaya yang sama dengan tragedi nuklear akibat radioaktif yang berlaku di Chernobyl. Ramai menanggung penyakit cancer dan mati akibtnya.

Jepun boleh dikatakan mempunyai taraf keselamatan teknologi binaan yang tinggi. Akan tetapi apabila berlaku malapetaka, tidak ada apa yang dapat menyelamatkan keadaan. Malaysia tidaklah tinggi sangat mutu teknologi pembinaan dan keselamatannya. Kita telah menyaksikan sebahagian stadium roboh dan bumbung mahkamah bocor dan banyak lagi. Apakah sebenarnya jaminan keselamatan yang betul-betul ketat di negara kita ini untuk menjamin keselamatan bagi pusat reaktor nuklear?

Kilang "Rare Earth": Berkaitan soal bahaya nuklear ke atas persekitaran dan manusia ialah percubaan untuk mendirikan kilang "rare earth" di Gebeng, Kuantan. Perkara ini telah ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dalam Dewan Rakyat pada bulan lalu. Saya ingin menyentuh sedikit tentang perkara ini.

Sehubungan perkara ini beberapa orang ahli Parlimen di Australia telah menyatakan kebimbangan mereka atas pengiriman bahan-bahan mengandungi radioaktif thorium dengan kapal melalui Kwinana untuk diproses di Malaysia. Operasi ini dilakukan oleh syarikat Lynas Mount Weld.

Anggota-anggota Parliamen ini menyatakan kebimbangan mereka tentang bahaya yang terdedah kepada penduduk-penduduk dari bahan radioaktif yang dibawa melalui masyarakat Kwinana dan sepanjang laluan pengangkutan itu. Pada masa yang sama Fuziah Salleh telah memberi amaran tentang bahaya radioaktif yang akan dihadapi oleh masyarakat di Gebeng. Beliau berpendapat bahawa bahan bahaya ini tidak harus dibawa masuk ke negara ini, bahkan harus diangkut pulang ke negara asalnya.

Bahaya "rare earth" ini telah dialami beberapa tahun dulu di Bukit Merah, Perak, apabila kilang untuknya telah dibina oleh sebuah syarikat Jepun di sana. Akibatnya, ramai yang mengidap cancer bahkan menghadapi maut akibatnya. Tidakkah kita belajar dari pengalaman? Kilang di Bukit Merah itu akhirnya ditutup berikutan bantahan kuat dari penduduk dan keputusan mahkamah. Mengapa kini mahu dibuka di Gebeng pula?

Saya berasa sangat kecewa kerana dalam dua-dua kes membina pusat tenaga nuklear dan kilang "rare earth" itu nampaknya kepentingan dan keuntungan perdagangan menjadi perkiraan utama. Kebajikan dan keselamatan manusia serta alam sekitarnya seolah-olah tidak diambil berat sedikitpun.

Percubaan Nyamuk GM: Sejak beberapa tahun lalu, negara kita ini diancam oleh penyakit demam denggi dari nyamuk aedes. Nampaknya ancaman ini tidak bekurangan bahkan semakin teruk. Dalam negara ini ia pernah digambarkan sebagai lebih bahaya dan teruk lagi dari penyakit H1N1, yang pada satu waktu begitu diheboh-hebohkan di seluruh dunia.

Untuk mengatasi ancaman denggi ini, National Biosafety Board of Malaysia melalui Institute of Medical Research (IMR) telah merancang untuk melepaskan nyamuk jantan aedes aegypti yang telah disesesuaikan secara genetik atau "genetically modified" (GM). Yang diketahui, hanya sekali saja nyamuk GM ini pernah dilepaskan.

Di Malaysia khabarnya pada tahun lalu telah dibuat satu percubaan untuk melepaskan nyamuk GM. Ini dilakukan secara senyap-senyap. Khabarnya lagi, percubaan ini telah ditarik balik. Kami berharap tidak akan ada percubaan yang akan dilanjutkan bila-bila masa nanti. Ini memandangkan akibat bahaya besar yang boleh timbul daripadanya.

Nyamuk GM ini merupakan apa yang boleh dikatakan sebagai spesi menyerang (invasive specie). Pemahaman dan pengetahuan sains mengenainya masih lagi pada peringkat terlalu awal. Ada kemungkinan nyamuk ini boleh membunuh nyamuk aedes yang sedia ada. Akan tetapi sebaliknya, ia boleh membiak dan menjadi liar sehingga tidak dapat dikawal. Apabila perkara ini berlaku tidak ada cara yang diketahui untuk menangkapnya semula.

Sekiranya Malaysia melepaskan nyamuk GM ini, ia akan merupakan negara pertama dalam dunia yang melakukannya. Nyamuk GM ini suduh diwujudkan kira-kira 10 tahun. Idea tentang menggunakannya bagi menyerang nyamuk aedes yang membawa denggi itu lebih lama lagi difikirkan. Akan tetapi, tiada negara lagi yang berani mencuba melepaskannya, kerana tidak tahu dan takut apakah akibatnya nanti.

Nyamuk GM ini dikeluarkan dan dibekalkan oleh sebuah syarikat British. Janganlah hendaknya Malaysia menjadi "guinea pig" semata-mata kerana ada golongan atau pihak yang mahu mendapat keuntungan dari perdagangan nyamuk GM ini. Sekali lagi kita perlu hindarkanlah menggadai keselamatan bahkan nyawa manusia semata-mata kerana kerakusan perdagangan!

*Ucapan Syed Husin Ali (gambar kanan) di Dewan Negara pada 18 April 2011.

18 Apr 2011

PRN Sarawak: Najib harus panik, tapi PAS...

Lim Hong Siang | Apr 18, 2011 05:29:07 pm

Sesungguhnya, matlamat Pakatan Rakyat untuk menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional gagal pada malam 16 April 2011. Namun demikian, seandainya ditelitikan keputusan PRN Sarawak, Pengerusi BN Najib Razak seharusnya berasa lebih tertekan dan panik, lebih-lebih lagi apabila statistik menunjukkan bahawa BN hanya memperolehi 55% undi popular.

Demikianlah komentar daripada AJK Pusat PAS, Dzulkefly Ahmad (gambar kiri)ketika dihubungi MerdekaReview untuk mengulas keputusan PRN Sarawak. Secara lebih terperinci, dua etnik besar, iaitu kaum Cina dan Iban memberi isyarat kepada BN bahawa mereka berpotensi untuk mencetuskan perubahan yang lebih besar dalam PRU yang akan datang, kata Dzulkefly Ahmad.

Dengan segala yang berlaku, beliau yakin bahawa rakyat lebih bersedia untuk memberi ruang kepada pembangkang dalam pertandingan kerusi parlimen menjelang PRU ke-13, lantas beliau meramalkan bahawa Najib tidak akan mengadakan PRU ke-13 dalam tahun ini. Jikalau inilah situasinya, maka PR bakal mempunyai masa dan ruang yang lebih, malah peluang yang lebih cerah dalam gandingan PAS, DAP dan PKR untuk melakukan pecutan, katanya.

Komitmen pimpinan DAP mengundang kemenangan

Ahli parlimen Kuala Selangor ini juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada rakan partinya, DAP yang memenangi 12 daripada 15 kerusi yang dipertandingkan. Sungguhpun sesetengah menganggap DAP bertanding di kawasan bandar, yang sudah menunjukkan kecenderungan untuk menyokong PR, namun Dzulkefly Ahmad menganggap jentera penerangan DAP cukup hebat - dengan banner, billboard, poster, aktiviti lawatan dan sebagainya yang cukup menarik.

Keputusan PRN Sarawak 2011 sebenarnya sejajar dengan keupayaan parti komponen yang berkempen dengan pendekatan sendiri, hampir secara terpisah. Beliau mengakui, DAP menumpaskan SUPP dengan kekuatan parti tersebut yang sudah 30 tahun bertapak di bumi kenyalang, selain sokongan daripada masyarakat Cina di bandar.

Lebih penting, pimpinan tertinggi DAP dilihat begitu komited untuk berkempen sepanjang PRN Sarawak. Dzulkefly sendiri melalui Stutong, Kuching pada malam 15 April, terkagum dengan perhimpunan puluhan ribu orang di situ - seolah-olah pesta yang besar. "DAP mendapat sentuhan terbaiknya," kata Dzulkefly Ahmad.

Bagaimana pula "sentuhan PAS"? Persoalan menyusul kemudian, diajukan kepada Dzulkefly Ahmad - mengapa PAS gagal "memanfaatkan" sentimen "Undur Taib" untuk memenangkan kerusi bagi partinya?

Beliau terpaksa menjawab dengan cukup berwaspada. Malah sebelum ini apabila beliau menyatakan kekaguman diri terhadap komitmen pimpinan DAP, beliau juga berdepan dengan soalan sebaliknya, iaitu "sejauh mana pula komitmen pimpinan PAS"?

PAS gagal tampil sebagai sebahagian daripada PR

Dzulkefly terpaksa berdepan dengan kekalahan partinya. "PAS dalam penampilan ketiga dalam PRN Sarawak mencari-cari sentuhannya. Pada saya, ...gagal digarap dengan baik, sedikit sebanyak oleh PAS, atau dengan kata lain gagal menampilkan partinya sebagai sebahagian daripada Pakatan Rakyat dan agenda perubahan Pakatan Rakyat."

Ia berdasarkan pengalaman dirinya. Seorang kawan adik iparnya yang bekerja di Sarawak, pro-pembangkang dalam pendirian politiknya berkata, beliau gagal mencari logo DAP atau PKR dalam kertas undi di kawasan PAS bertanding, maka beliau akhirnya memangkah dacing (Barisan Nasional).

Mesej di sebaliknya, "PAS gagal menampilkan dirinya sebagai parti yang sinonim dengan DAP dan PKR. Itu bermaksud, PAS gagal memberi mesej yang jelas kepada pengundi bahawa sokongan terhadap PAS adalah bersamaan sokongan terhadap DAP mahupun PKR."

PAS bertanding di lima kawasan, iaitu Tanjung Datu, Beting Maro, Muara Tuang, Sebuyau dan Sadong Jaya. Selain Beting Maro menunjukkan "kemajuan" dengan perbezaan 391 undi (berbanding 896 undi pada tahun 2006), PAS tewas di Muara Tuang dengan perbezaan 7,843 undi dan Tanjung Datu dengan perbezaan 3,216 undi. Apa yang menarik, kedua-dua DUN Muara Tuang dan Tanjung Datu mempunyai populasi kira-kira 50% daripada kaum Cina dan Iban.

MerdekaReview dimaklumkan bahawa pemimpin DAP tidak diundang untuk berceramah di kawasan Muara Tuang dan Tanjung Datu. Dzulkefly Ahmad kelihatan sukar untuk mempertahankan keadaan sebegitu, cuba membela partinya dengan berkata "tempoh kempen yang terlalu singkat".

Strategi berperang sering disesuaikan dengan keadaan yang sebenar. Maka persoalannya, dengan tempoh kempen selama 10 hari, apakah mesej yang dibawa oleh PAS di Sarawak untuk mengolah sokongan rakyat? Apakah pendekatan "berdakwah" sebagaimana yang dilakukan di Semenajung itu strategi yang tepat untuk menghadapi pertarungan 10 hari?

Dzulkefly terpaksa mengakui, "Mesejnya kurang jelas untuk menonjolkan PAS bersepakat dengan PKR dan DAP." Jelas, beliau enggan secara terbuka mengkritik partinya dalam media, hanya memberi jawapan "mungkin lebih baik jika kami tumpu dengan agenda perubahan bersama Pakatan Rakyat, isu tumbangkan Taib Mahmud...yang lebih mudah untuk diterima masyarakat tempatan dalam masa yang singkat."

Bagaimanapun, Dzulkefly Ahmad menganggap jentera PAS telah bekerja bersungguh-sungguh, dan tidak harus dipersalahkan berikutan kekalahan tersebut. Beliau kekal optimis, melihat kemajuan yang tercapai di Beting Maro, mengharapkan PR untuk mengisi ruang yang sedia ada untuk menumbangkan BN dalam PRU ke-13.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

Saifuddin Nasution: Peguam Negara dijangka akan tetap dakwa Anwar

| Apr 18, 2011 03:25:24 pm

Saya merujuk kepada laporan Bernama yang memetik kenyataan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Acryl Sani Abdullah Sani bahawa siasatan videos seks telah lengkap dari setiap sudut dan ia menjurus kepada Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.

Acryl juga dipetik berkata hasil siasatan itu akan diserah segara kepada Peguam Negara.

Kenyataan ini menunjukkan siasatan polis mendapati tidak ada sebarang asas undang-undang untuk mengaitkan Anwar Ibrahim di dalam video tersebut kerana jelas beliau tidak ada kena mengena dalam isu. Ini selari dengan penafian Anwar Ibrahim yang konsisten mengenainya.

Walau bagaimanapun kita yakin bahawa Peguam Negara dibawah arahan rejim Barisan Nasional akan tetap mencari jalan untuk mendakwa Anwar Ibrahim ke mahkamah. Ini kerana seluruh episod konspirasi ini direka bertujuan menghancurkan kerjaya politik Anwar Ibrahim.

Ini tidaklah mustahil kerana sebelum ini situasi sama berlaku di mana Anwar Ibrahim dihadapkan ke mahkamah atas dan difitnah atas dua tuduhan liwat, walau pun beliau tidak melakukannya.

Parti Keadilan Rakyat kesal kerana Barisan Nasional terus menggunakan politik kotor, jijik malah menginjak batas agama dan peradaban kemanusian demi mengekalkan kuasa politik.

*Kenyataan media oleh Saifuddin Nasution Ismail (gambar kiri) selaku Setiusaha Agung Parti Keadilan Rakyat.

Anwar: Perjuangan bukan mudah, tapi juga bukan mustahil

| Apr 18, 2011 12:04:18 am

Pilihanraya Negeri Sarawak 2011 membuktikan perjuangan menuntut Keadilan untuk semua tanpa mengira batas kaum mahupun kepercayaan bukanlah tugas mudah, namun ianya juga bukan mustahil. Walaupun tidak mengecapi keputusan yang diingini, kita berjaya menanam benih politik murni agar rakyat Sarawak meninggalkan politik perkauman sempit, berani melawan kezaliman yang sekian lama membelenggu dan berusaha memperkukuh amalan Demokratik.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan sepanjang tempoh berkempen, berbekalkan sumber yang terhad serta berilitizam dengan kempen yang bersih, Pakatan Rakyat tetap berjaya menembusi kawasan pendalaman, yang sentiasa dianggap kubu kuat Barisan Nasional.

Sungguhpun demikian, sekali lagi kredibiliti dan integriti Suruhanjaya Pilihanraya tercalar kerana wujudnya laporan bahawa Suruhanjaya itu bertindak berat sebelah ataupun sengaja menutup mata terhadap sebarang penipuan ketika hari pengundian. Saya difahamkan petugas Parti Keadilan Rakyat dinafikan borang 14 di beberapa kawasan sedangkan borang ini penting untuk memastikan keputusan pilihanraya bersih dari penipuan. Selain itu terdapat juga laporan wujudnya usaha membeli undi di beberapa kawasan seperti Dudong, Bawang Assan dan Meradong.

Selain itu keengganan SPR untuk mengira semula undi di kawasan Senadin ternyata mengukuhkan lagi dakwaan ramai bahawa Suruhanjaya Pilihanraya bertindak demi kepentingan Barisan Nasional. Calon Parti Keadilan Rakyat, Dr.Michael tewas dengan majoriti yang tipis iaitu 58 undi sahaja. Mengapa enggan mengira semula tanpa memberi alasan yang munasabah?


Keputusan ini bukanlah satu pengakhiran, bahkan yakinlah ianya satu permulaan kepada satu tuntutan perubahan yang jitu dan menyeluruh. Pastinya ini tidak dapat dicapai sekiranya rakyat Sarawak tidak bersama sama memastikan ianya terlaksana. Saya menyeru kepada rakyat Sarawak yang mahukan Perubahan dan cintakan Keadilan, tingkatkan usaha, jangan sesekali berputus asa, terus mara dan pastikan regim yang korup ini tumbang pada pilihanraya yang akan datang. Kepada seluruh rakyat Sarawak dan jentera Pakatan Rakyat, saya ucapkan terima kasih dan syabas kerana keberanian serta pengorbanan yg dicurahkan. Dengan izin Allah, kemenangan pasti tiba.

*Kenyataan Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang Parlimen merangkap Ketua Umum PKR.

Slogan "Tangkap Taib Mahmud" kedengaran

MerdekaReview | Apr 17, 2011 12:20:06 pm

Tahun 1998 Sarawak tidak terusik oleh ombak reformasi, malah Pilihanraya Umum 2008 pun Sarawak juga tidak terusik. Warga Sarawak kini telah melihat dan sedar bahawa kalau Semenajung boleh berubah, maka mereka juga boleh berubah. Semangat dan roh reformasi kini telah sampai ke Sarawak. Warga Sarawak kini melihat gaya dan cara politik Semenanjung. Ini didikan politik untuk Sarawak.

Semangat dan nasionalisme Dayak telah muncul. Ini akan menumpaskan hegemoni Melanau.

Untuk pertama kalinya rakyat Sarawak mendengar slogan: TANGKAP TAIB MAHMUD!

--Hishamuddin Rais, penulis bebas

Pemenang: Taib Mahmud dan DAP

Pemenang yang terbesar semestinya Taib Mahmud. Beliau telah mencapai prestasi yang disasarkan BN, iaitu mempertahankan majoriti dua pertiga. Pencapaian ini meredakan tekanan dari kerajaan persekutuan yang mendesak agar beliau berundur.

Pemenang kedua besar ialah DAP yang menyapu kesemua kerusi Cina. Jelas, mereka mewakili suara masyarakat Cina Sarawak sekarang.

Pihak yang kalah adalah SUPP, bukan sahaja Presidennya kecundang, malah calon yang dikatakan sebagai "generasi baru" juga kalah kesemuanya. Ini bukan sahaja mencerminkan kemarahan Cina Sarawak, juga memperlihatkan kebuntuan SUPP. Mereka gagal lagi mendakwa diri mereka mewakili kaum Cina. SUPP tidak berbeza dengan parti Gerakan sekarang.

Persoalan pokok, mengapa BN menang di kawasan desa? Jawapan yang mudah, tradisional dan politik wang. Penduduk kampung bergantung kepada pemerintah untuk kemudahan asas, maka secara tradisional mereka menyokong parti pemerintah. Mereka bimbang mereka dihukum kerajaan kerana menyokong pembangkang - lebih perit kehidupun mereka dari sekarang. Maka mereka enggan mengambil risiko dengan memberi peluang kepada pembangkang.

Politik wang - apa lagi yang boleh dikatakan? Saya dimaklumkan bahawa undi dibeli pada wang ribuan ringgit, di tempat yang "hangat". Maka pemerintah menyelesaikan masalah mereka dengan wang - tidak kira betapa kuatnya pengaruh pembangkang di situ. Untuk mereka yang kemiskinan, wang ini sudah cukup untuk perbelanjaan beberapa bulan.

Saya tidak menyalahkan pengundi yang menerima wang, saya cuma menyalahkan pemerintah yang terus memiskinkan penduduk, agar politik wang terus mendapat pasarannya.

Bagaimana dengan masa depan Sarawak? Sarawak mempunyai masa depan yang cerah. Pembelian undi hanya "mujarab" dalam satu dua pilihanraya ini, tetapi bukan selama-lamanya. Pengundi muda tidak akan menerima wang secara membuta-tuli - mereka menerima wang, tetapi wang itu gagal mempengaruhi undi mereka.

Kini, semakin ramai pemuda pemudi yang bekerja di luar negeri, kerana peluang perniagaan di Sarawak dikuasai Taib Mahmud dan kroninya. Bagaimanapun, Taib Mahmud sudah berusia 75 tahun. Paling banyak beliau bertahan untuk satu penggal lagi. Ketua Menteri seterusnya gagal lagi mencontohi Taib Mahmud untuk bermaharajalela. Beliau gagal menikmati kuasa mutlak. Dan ini satu-satunya harapan Sarawak.

--James Chin, Profesor Univerisiti Monash

PR cipta kemenangan besar Sarawak kini dalam arus perdana politik

Phoon Wing Keong | Apr 17, 2011 12:22:49 am

Pakatan Rakyat mencipta kemenangan besarnya dalam PRN Sarawak 2011 setelah berjaya menawan 16 kerusi DUN (termasuk satu daripada calon bebas) . Antara maknanya yang terbesar adalah menyaksikan bagaimana Sarawak masuk ke dalam arus perdana politik Malaysia, dan tidak lagi terpisah dari gelombang reformasi politik negara.

Dalam tempoh kempen selama 10 hari, ceramah anjuran DAP di bandar menarik kelompok manusia yang menakjubkan, sehingga rakyat mula yakin bahawa PR mampu menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional, malah mengambil alih kuasa kerajaan negeri. Namun demikian, ia hanya imaginasi yang tercetus kerana kedahagaan terhadap reformasi. Pada hakikatnya, ia terlalu optimis dan kurang pertimbangan realistik.

Dalam PRN Sarawak 2006, PR hanya mampu menawan 9 DUN di kawasan bandar. Kali ini, DAP dan PKR dari Semenanjung berjaya merampas 15 DUN, malah menumbangkan Presiden SUPP George Chan, dan mengakibatkan SUPP hanya mampu mempertahankan 6 daripada 19 kerusi yang dipertandingkan. Bahkan PR berjaya menawan 3 kerusi di kawasan bukan Cina. Gelombang telah mengombak di kawasan desa-bandar, berikutan kemenangan PR ini - dan semestinya ia memberi tekanan kepada parti politik tempatan.

Pengundi Sarawak dengan jelas menyatakan bahawa mereka tidak lagi menerima perbezaan antara "parti tempatan" dengan "parti Semenanjung", dan semua parti politik adalah parti di bawah bumbung Malaysia. Pengundi hanya mengambil berat tentang idealisme dan tuntutan - bukan lagi perbezaan geografi - lantas pandangan sempit geografi ini digugurkan.

Apabila fikrah sempit politik berdasarkan geografi ini dipecahkan, maka SUPP dan PBB yang rasuah dan tidak cekap gagal lagi untuk berselindung di sebalik "parti tempatan", untuk terus mengabaikan seruan perubahan pengundi.

PR telah mengharungi pertarungan kali ini, dan mendapat kepercayaan daripada pengundi Sarawak. Mereka bukan lagi "parti dari luar", tetapi telah mempunyai asas di Sarawak melalui undi rakyat. Sebaliknya, parti politik yang melabel dirinya "parti tempatan" - telah disingkirkan pengundi tempatan. Apakah mereka masih layak untuk menggelar dirinya "parti tempatan" apabila gagal mendapat restu daripada orang tempatan?

Sepakat dalam nilai politik

Pengundi Sarawak kini lebih mengambil berat tentang "idealisme" daripada "geografi". Perubahan ini membantu untuk membentuk kesepakatan seluruh rakyat dalam nilai politik. Sarawak tidak lagi tersisih dari pinggiran politik Malaysia, sebaliknya lebih rapat dengan arus perdana reformasi politik nasional. Sarawak bukan lagi deposit tetap BN. BN dan UMNO tidak boleh lagi merampas kekayaan dan sumber negeri Sarawak sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan suara rakyat.

Walaupun PR gagal menafikan majoriti dua pertiga BN, namun tidak boleh dinafikan bahawa keputusan PRN Sarawak 2011 adalah kemenangan besar yang bersejarah. DAP dan PKR mempunyai harapan untuk memasuki kawasan desa-bandar, untuk membina akar umbinya pada masa depan.

PRN ini adalah pilihan raya yang paling penting dalam sejarah politik Sarawak. Perhimpunan politik di jalan raya adalah perhimpunan politik terbesar sejak zaman anti-penjajahan pada tahun 1960-an.

DAP menguasai politik Cina

Pada dasarnya, SUPP telah kehilangan reputasi yang dibina sejak 40 tahun yang lalu. Politik Cina di Sarawak bakal dikuasai sepenuhnya oleh DAP. SUPP memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun pada masa depan untuk membina semula imejnya, dan melahirkan pemimpin generasi baru. Dengan kata lain, 10 tahun yang akan datang adalah dekad yang merudum untuk SUPP.

SUPP adalah parti politik tempatan, mempunyai organisasi yang luas. Mungkin tidak pecah berkecai, namun ia tetap akan menemui ajal seandainya tidak memikirkan perubahan. Bukan sahaja pimpinannya akan dipertanggungjawabkan lantaran kekalahan ini, malah hubungannya dengan Taib Mahmud juga bakal berubah.

Pada masa yang sama, PBB yang dipimpin Taib Mahmud juga berdepan dengan krisis pengganti. PR menyasarkan Taib Mahmud sepanjang kempen, dan ini akan dipergunakan Najib untuk mendesak agar Taib Mahmud berundur. UMNO berharap Taib berundur sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bagaimanapun, UMNO juga khuatir dengan Taib, yang kelihatan masih enggan bersara. Kali ini, sentimen rakyat boleh dijadikan alasan Najib untuk mendesak Taib.

"Angkatan tentera DAP" ini telah berjaya menghapuskan Gerakan pada tiga tahun yang lalu. Kini DAP pula meranapkan SUPP, tinggal MCA yang nyawa-nyawa ikan. Sehati senada SUPP berkhidmat untuk "Pek Moh" - Pek Moh makan daging, SUPP minum sup. MCA seharusnya mendapat iktibar daripada kemusnahan SUPP. Seandainya MCA sehati senada berkhidmat untuk UMNO, mereka akan mengalami nasib yang sama.

*Phoon Wing Keong ialah pengkaji politik, diterjemah dan disunting dari teks asal.

BN pertahan majoriti 2/3 tanpa sokongan Cina dan bandar

MerdekaReview | Apr 16, 2011 02:50:56 pm

Parti Bil. DUN dimenangi DUN
PBB (35) 35 N32 Bukit Saban, N56 Baleh, N51 Balingian, N24 Beting Maro, N37 Daro, N55 Katibas, N44 Machan, N21 Simunjan, N38 Jemoreng, N6 Tupong, N15 Muara Tuang, N18 Tebedu, N31 Layar, N20 Sadong Jaya, N35 Belawai, N71 Bukit Sari, N49 Nangka, N36 Semop, N33 Kalaka, N22 Sebuyau, N17 Tarat, N03 Tanjong Datu, N05 Demak Laut, N50 Dalat, N67 Telang Usan, N07 Samariang, N14 Asajaya, N19 Kedup, N08 Satok, N62 Lambir, N04 Pantai Damai, N30 Saribas, N23 Lingga, N68 Bukit Kota, N58 Jepak
SUPP (19) 6 N47 Bawang Assan, N27 Simanggang, N28 Engkilili, N1 Opar, N65 Senadin, N16 Bengoh
SPDP (8) 6 N69 Batu Danau, N42 Meluan, N41 Pakan, N66 Marudi, N02 Tasik Biru, N61 Bekenu
PRS (9) 8 N57 Belaga, N56 Baleh, N43 Ngemah, N25 Balai Ringin, N29 Batang Ai, N52 Tamin, N26 Bukit Begunan, N53 Kakus
PKR (49) 3 N34 Krian, N70 Ba'Kelalan, N11 Batu Lintang
DAP (15) 12 N63 Piasau, N40 Meradong, N45 Bkt Assek, N9 Padungan, N10 Pending, N12 Kota Sentosa, N13 Batu Kawah, N39 Repok, N46 Dudong, N48 Pelawan, N59 Kidurong, N63 Piasau, N64 Pujut
PAS (5) 0 -
SNAP (26) 0 -
PCM (6) 0 -
Individu (41) 1 N54 Pelagus

Dalam pertarungan yang paling sengit dalam sejarah, Barisan Nasional akhirnya berjaya mempertahankan majoriti 2/3 dalam DUN Sarawak, namun kehilangan sokongan pengundi Cina dan penduduk bandar. BN hilang kelima-lima kerusi di bawah kawasan parlimen ibu negerinya, Kuching. Pada masa yang sama, calon keturunan Cina SUPP hampir terkubur kesemuanya di tangan DAP, apabila hanya Wong Soon Koh (Bawang Assan) dan Lee Kim Shin (Senadin) bertahan pada tempatnya.

Seperti di Semenanjung, BN kecundang di kawasan bandar, terutamanya di Kuching. Lima kawasan DUN di bawahnya, Batu Lintang (majoriti 8,381 undi), Batu Kawah (majoriti 543 undi), Kota Sentosa (majoriti 4,824), Pending (7595) dan Padungan (7,880) membawa kepada jumlah majoriti Pakatan Rakyat dengan kira-kira 30,000 undi.

Pakatan Rakyat, bagaimanapun hanya memperolehi 15 kerusi. DAP yang bertanding di kawasan majoriti Cina meraih kemenangan di 12 kawasan, daripada 15 yang dipertandingkan. PAS gagal membuat kejutan apabila tewas di kesemua 5 kawasan yang dipertandingkan, termasuk Beting Maro. PKR hanya menang 3 kerusi, daripada 49 yang ditandinginya. Bagaimanapun, SNAP menerima tamparan sengit kerana dijangka kalah di kesemua 26 kerusi yang dipertandingkan.

PBB memenangi kesemua 35 kerusi yang dipertandingkan, mungkin alasan yang kukuh untuk Taib Mahmud kekal pada jawatan Ketua Menteri. Seperti MCA dan Gerakan di Semenanjung, SUPP mengalami kekalahan yang teruk dengan kehilangan 13 kerusi daripada 19 yang dipertandingkan. Pada tahun 2006, SUPP sudah menerima tamparannya apabila tewas di 8 kawasan daripada 19 kawasan yang dipertandingkan.

Walaupun "tsunami politik" tidak berlaku sebagaimana yang dijangkakan, namun Pakatan Rakyat memperolehi 8 kerusi tambahan, berbanding PRN Sarawak 2006. Pola pengundian PRN Sarawak kali ini juga membayangkan hasrat kebanyakan pengundi yang mahu melihat "sistem dua parti", melihat kepada nasib yang menimpa parti seperti SNAP dan calon bebas.