18 Apr 2011

Saifuddin Nasution: Peguam Negara dijangka akan tetap dakwa Anwar

| Apr 18, 2011 03:25:24 pm

Saya merujuk kepada laporan Bernama yang memetik kenyataan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Acryl Sani Abdullah Sani bahawa siasatan videos seks telah lengkap dari setiap sudut dan ia menjurus kepada Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.

Acryl juga dipetik berkata hasil siasatan itu akan diserah segara kepada Peguam Negara.

Kenyataan ini menunjukkan siasatan polis mendapati tidak ada sebarang asas undang-undang untuk mengaitkan Anwar Ibrahim di dalam video tersebut kerana jelas beliau tidak ada kena mengena dalam isu. Ini selari dengan penafian Anwar Ibrahim yang konsisten mengenainya.

Walau bagaimanapun kita yakin bahawa Peguam Negara dibawah arahan rejim Barisan Nasional akan tetap mencari jalan untuk mendakwa Anwar Ibrahim ke mahkamah. Ini kerana seluruh episod konspirasi ini direka bertujuan menghancurkan kerjaya politik Anwar Ibrahim.

Ini tidaklah mustahil kerana sebelum ini situasi sama berlaku di mana Anwar Ibrahim dihadapkan ke mahkamah atas dan difitnah atas dua tuduhan liwat, walau pun beliau tidak melakukannya.

Parti Keadilan Rakyat kesal kerana Barisan Nasional terus menggunakan politik kotor, jijik malah menginjak batas agama dan peradaban kemanusian demi mengekalkan kuasa politik.

*Kenyataan media oleh Saifuddin Nasution Ismail (gambar kiri) selaku Setiusaha Agung Parti Keadilan Rakyat.