20 Apr 2011

Khir Toyo: BLR, Inflasi dan Risiko Politik

| Apr 20, 2011 12:49:44 pm

1. Pada bulan hadapan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengadakan satu lagi mesyuarat membabitkan isu Overnight Policy Rate (OPR). Sebelum ini pada bulan Mac lalu BNM tidak membuat sebarang kenaikan OPR. Pada tahun 2010 sebanyak tiga kali kenaikan OPR diumumkan pada Mac, Mei dan Julai yang menyebabkan kenaikan dari 2.0 kepada 2.75.

2. Kenaikan OPR ini akan berkait langsung dengan kenaikan Base Lending Rate (BLR) atau Kadar Pinjaman Asas. BLR turut meningkat sebanyak tiga kali dari 5.55% pada 2009 kepada 6.30 pada Julai 2010.

3. Salah satu tujuan kenaikan OPR dan BLR ialah untuk membendung inflasi. Kebanyakan kita bukan pakar ekonomi jadi kita sendiri tentu sukar untuk memahami bagaimana menaikan kadar pinjaman asas boleh membantu mengurangkan inflasi. Hakikatnya kita terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang untuk membayar hutang.

4. Apa yang saya faham secara mudah (mungkin betul atau salah pemahaman ini) ialah kenaikan OPR dan BLR akan menaikkan kadar faedah bagi simpanan. Secara teorinya ini akan menggalakkan orang ramai menabung bagi mendapat faedah yang tinggi. Dengan penabungan iaitu menyimpan di bank, orang ramai akan kurang berbelanja. Ini akan mengurangkan permintaan (teori penawaran dan permintaan) sekaligus menurunkan harga barangan. Penurunan harga barangan akan menurunkan inflasi.

5. Namun persoalan yang jarang dijawab oleh pengamal ekonomi yang mahu mengawal inflasi melalui kaedah ini ialah apakah inflasi hari ini disebabkan permintaan yang lebih daripada penawaran atau kerana peningkatan harga barangan keperluan di luar kuasa pembeli?

6. Tanda-tanda BNM hendak menaikkan kadar OPR tampak jelas apabila beberapa penganlisis ekonomi yang "mesra" kerajaan meramalkan kenaikan ini bagi mengawal inflasi.

7. Pada tahun lalu BNM menaikkan OPR sebanyak tiga kali apabila negara mengalami inflasi. Malangnya kenaikan sebanyak tiga kali tersebut gagal mengawal inflasi apabila inflasi terus meningkat pada bulan Disember lalu sehingga kini.

8. Mengapa ia gagal? Ini kerana kenaikan kadar inflasi di Malaysia pada masa kini berkait rapat dengan kenaikan harga barangan asas dan keperluan utama yang sebahagiannya dikawal oleh kerajaan.

9. Misalnya pada tahun 2010 sebelum kenaikan OPR, kadar inflasi negara naik akibat kenaikan ketara bagi kumpulan utama yang berwajaran tinggi seperti makanan dan minuman bukan alkohol (1.6%); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.0%); dan pengangkutan (0.7%). Kenaikan-kenaikan lain ialah minuman alkohol dan tembakau, dan pelbagai barangan dan perkhidmatan masing-masing pada 2.9%; perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan 2.7%; pendidikan 1.8%; restoran dan hotel 1.6%; kesihatan 1.5%; dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah 0.7%.

10. Selepas kenaikan BLR pun, inflasi masih meningkat. Kenaikan kadar inflasi sejak beberapa bulan lalu dilaporkan oleh FOMCA. Menurut Fomca,

"Kadar inflasi Malaysia pada Disember 2010 naik kepada 2.2%, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 19 bulan. Kenaikan kadar inflasi ini berpunca daripada lonjakan harga makanan, komoditi dan penurunan subsidi oleh kerajaan pada akhir tahun 2010. Penurunan subsidi yang menyaksikan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak lima sen seliter, LPG lima sen sekilogram dan gula 20 sen sekilogram serta sambutan perayaan Krismas dan cuti sekolah telah mendorong kenaikan inflasi.

Bagaimanapun, kadar inflasi negara masih jauh lebih rendah berbanding Indonesia 6.9%, Thailand 3%, Korea 3.5% dan India 8.4%."

11. Jelas sekali sebahagian besar punca kenaikan harga barang adalah kerana kerajaan memotong subsidi. Jadi kadar inflasi yang tinggi ini ialah akibat pemotongan subsidi. Justeru kenaikan OPR dan BLR tidak memberi kesan apa-apa kepada inflasi kerana majoriti rakyat membayar barangan ini bukan untuk kemewahan tetapi untuk keperluan.

12. Lihat kenaikan-kenaikan harga barangan yang mengakibatkan inflasi melonjak tinggi adalah akibat daripada pemotongan subsidi dan kenaikan harga bahan tenaga bukannya kerana lebihan permintaan berbanding penawaran.

13. Dengan menaikkan OPR dan BLR, rakyat bukan sahaja terpaksa membayar barangan harian yang tinggi tetapi perlu menjelaskan hutang pinjaman perumahan dan peribadi yang lebih tinggi. Ini bermakna rakyat akan terus dibeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

14. Kenaikan BLR hanya menguntungkan sekumpulan kecil rakyat Malaysia yang mempunyai wang berjuta ringgit dalam simpanan tetap tetapi menindas majoriti rakyat. Saya berharap kerajaan tidak membenarkan polisi ekonomi negara yang membabitkan BLR ini ditentukan oleh birokrat ekonomi BNM sahaja.

Risiko Politik

15. Setiap kali kenaikan OPR dan BLR yang ketara dari tahun sebelumnya, Barisan Nasional akan berhadapan dengan keputusan pilihan raya yang tidak memberangsangkan. Walaupun terdapat banyak faktor lain yang mempengaruhi keputusan pilihan raya, namun kenaikan BLR turut memberi kesan negatif kepada BN.

16. Keputusan pilihan raya 2008 dan 1999 berbanding 2004 dan 1995 kepada BN boleh dihubungkan dengan naik turun BLR. Pada 2008, BLR ialah sebanyak 6.75 berbanding pada 2004, 6%. BLR 6% kekal sehingga 2006 sebelum dinaikkan pada 2007 dan 2008. Akibatnya kita tahu apa yang berlaku pada tahun tersebut kepada BN.

16. Pada 1999, BLR ialah pada 8% dan kita juga tahu nasib BN ketika itu. Memang benar ada faktor lain yang lebih besar. Namun himpitan terhadap majoriti rakyat yang mempunyai pinjaman ini menyebabkan pembangkang mengambil kesempatan membakar kemarahan rakyat terhadap isu Anwar Ibrahim. Pada 1995 BN mencapai kemenangan cemerlang, BLR ketika itu ialah 6.6 (berbanding 1994 sebanyak 8.25% dan 1993 sebanyak 9.5%).

17. Jadi fikir-fikirkanlah sebelum menggunakan taktik OPR dan BLR ini untuk mengawal inflasi. Inflasi tak terkawal, rakyat makin susah. Bukankah tujuan mengawal inflasi untuk membantu rakyat. Tapi jika ia lebih menyusahkan rakyat apa perlu dikawal dengan kaedah ini?

18. Dalam usaha mengatasi kadar inflasi yang tinggi jangan pula kita menjadi seperti tikus membaiki labu.

*Khir Toyo (gambar kiri) ialah bekas Menteri Besar Selangor, dipetik dari blog-nya.