14 Apr 2011

Halangan kemasukan Sarawak: Giliran Haris Ibrahim pula...

Wong Swee Nee | Apr 13, 2011 06:50:50 pm

Presiden Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM), juga pengendali blog The People’s Parliament, Haris Ibrahim menjadi warga Malaysia ketiga yang dihalang menjejak ke bumi Kenyalang sejak pembubaran DUN Sarawak. Beliau diberi notis bahawa dirinya dihalang mengikut Akta Imigresen Seksyen 65(1)(a), tanpa dimaklumkan puncanya.

Ketika dihubungi MerdekaReview, Haris Ibrahim (gambar kiri) berkata dirinya mendarat di Lapangan Terbang Kuching pada kira-kira jam 6 petang, tadi. Beliau kemudian dibawa masuk ke pejabat imigresen, dan diberitahu pada jam 6.24 petang bahawa dirinya dihalang masuk ke Sarawak. Pegawai imigresen tersebut sekadar memberitahu, "Ini arahan dari atas."

Keadaan yang dihadapi Haris Ibrahim agak sama dengan pengalaman aktivis BERSIH 2.0, Wong Chin Huat pada 8 April. Lebih awal, Steven Ng, aktivis sosial juga mengalami nasib yang sama pada 3 April 2011.

Haris Ibrahim menyifatkan larangan ini sebagai perbuatan menyalahgunakan kuasa, semata-mata untuk menghalang aktivis sosial daripada menyebarkan maklumat kepada pengundi tempatan Sarawak.

Haris juga seorang peguam, dan beliau terpaksa kembali ke Kuala Lumpur malam ini. Beliau akan berunding dengan peguam lain untuk tindakan selanjutnya. Pada masa yang sama, beliau mengambil kesempatan untuk menyeru agar pengundi keluar mengundi pada 16 April untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Baca: Lagi aktivis dihalang masuk Sarawak

Baca: Halangan aktivis ke Sarawak bakal bentuk 2Malaysia?

*Wong Swee Nee ialah wartawan khas MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal.